Isnin, 15 Mac 2010

Gaya memandu remaja sensasi



Sebagai seseorang yang mementingkan gaya hidup, saya akan mengambil kira juga gaya memandu kenderaan. Prinsip biar lambat asal selamat dan berketerampilan sentiasa terpahat dalam jiwa. Lambat tidak bermakna lembab ya. Walaupun 'rock' tapi kedaulatan undang-undang hendaklah dipelihara.

Bukan kerana sifat patriotik atau takutkan polis trafik, cuma takut menyusahkan diri sendiri dan masyarakat lain.

Walaupun saya memperolehi lesen penuh sudah lama, akan tetapi kalau dikira rekod tempoh memandu, masih belum sampai setahun jagung. Apatah lagi jagung dalam tin yang boleh tarikh tamat tempohnya bertahun-tahun.

Paling bergaya adalah memakai kacamata senja ketika memandi di hari yang terik. Selain mengelakkan silau, kita juga boleh menjeling ke arah gadis dalam kereta sebelah tanpa disedari teman lelakinya. Jika gadis itu bersendirian, tak perlu kacamata pun tak apa.

Antara benda paling leceh untuk dibuat adalah minum air sambil memandu. Kecuali jika minum air kotak kerana kepala anda boleh statik tanpa mendongak. Tapi agak leceh juga proses awal mencucuk penyedut minuman ke dalam kotak. Paling tak sedap adalah air botol tutup tak rapat kemudian air tumpah di kerusi sebelah.

Sikap pemandu lain juga selalu saya perhatikan ketika memandu. Banyak juga jenis pemandu di Malaysia ini yang boleh menaikkan darah serta-merta. Ternyata ramai orang bukan sahaja ada kereta laju dan kuat, malah mempunyai otak yang lembab dan bengap.

Memandu dalam keaadaan tidak yakin dengan arah tuju perjalanan agak menyakitkan hati. sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Ini berlaku selalunya kepada pemandu yang tidak tahu jalan. Sambil memandu, dia akan sibuk bertelefon bertanya arah. Kemudian akan masuk ke simpang secara mengejut. Memang darah naik melihatnya. Kita yang dibelakang selalunya akan terperanjat dan huru-hara mengawal kenderaan. Bagi yang kurang sabar akan mencarut serentak menekan hon dengan padu.

Memandu terlalu lembab di lorong tengah sambil bergurau di dalam kereta juga menimbulkan kemarahan mendadak bagi pemandu berhemah di belakang. Memang tak salah memandu perlahan, tapi sila rajin-rajin perhatikan cermin pandang belakang dan ketepi jika sudah banyak kereta beratur di belakang anda. Sumpah, mereka bukan peminat anda.

Mencelah-celah seperti filem lumba kereta adalah tidak berakal untuk dipraktikkan di jalanraya yang sedang sibuk dengan mereka yang ingin pulang ke rumah dalam keadaan selamat.

Memotong barisan ketika pemandu lain masih terhegeh-hegeh beratur, terutamanya di simpang yang kena naik bukit adalah gejala yang boleh menghasilkan pemaki dan pencarut yang hebat. Memang ada rasa nak pelempang. Nescaya ada diantara yang dipotong itu akan meminta doa turun bala disertakan nombor daftar kenderaan. Saya sebagai seorang Melayu Bumiputra memang mudah naik angin dan dengki penuh dendam apabila gejala memotong barisan berlaku di depan mata.

Apabila memandu juga, tolong jangan ikut emosi boleh kan? Jika masih mahu ikut emosi, tolong hanya susahkan diri sendiri dan jangan susahkan orang lain. Peduli apa anda putus cinta, jangan sibuk-sibuk mahu putuskan nyawa pengguna jalanraya yang lain ok! Ingat seronok kah terlibat dalam kemalangan? Kalau seronok, pasti sudah ada pusat hiburan berkonsepkan kemalangan jalanraya.

Masuk simpang tanpa memberi lampu 'signal' juga sangat menyakitkan hati orang yang menanti di persimpangan bertentangan. Dengar khabar, pemandu di belakang juga sakit hati dengan kejadian sedemikian. tolong jangan tambahkan lagi kesakitan pemandu lain. Sesungguhnya, sakit hati ada lima ubatnya.

Apa-apa pun, saya lebih suka memandu dalam keadaan selesa. Oleh kerana itu saya masih memandu tanpa memakai kasut. Kerana saya selesa dalam keadaan begitu. Lagipun, gadis kereta sebelah tak nampak kaki saya.


Nota : Siapa tahu lampu 'signal' dalam Bahasa Melayu?

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

lampu isyarat daaa

KePOMPOM berkata...

lampu penunjuk. haha

..nOWa.. berkata...

setahu saya memandu berkaki ayam adalah trademark milik gadis gadis masa kini..oleh itu atas sebab keselamatan jari kaki, saya menasihati awak agar memakai sekurang2nya selipar jamban ketika memandu..tekanan terhadap pedal minyak juga lebih padu kalau begitu..berbanding menekan dengan tapak kaki, memanglah ianya feel tetapi ianya lebih berisiko kerana jika lapik kaki jarang dihempas ke tiang rumah boleh mengakibatkan batu melekat di tapak kaki..jika dibiarkan boleh mencetus kemalangan segera kerana tergesa-gesa nak tekan brek bilamana dalam masa yang sama nak kesat batu yang terlekat di tapak kaki..ianya pernah berlaku kepada diri saya..jadi percayalah..pakailah selipar sewaktu memandu..

abdul hadi berkata...

apom! ko tipu ke?

noWa, ye ke? sekarang saya pakai stokin.

~MaNjAmAS~ berkata...

bawak la manual.ada berannnnn? hikhik