Pada cuti Tahun Baru Cina yang lalu, Ayah mengajak kami sekeluarga pergi menjenguk Wan di Kampung Gedangsa. Sudah 6 tahun kami tidak ke sana.
Wan bukanlah nenek sebenar saya. Wan adalah ibu mertua kepada adik bongsu ayah saya. Kiranya, nenek kepada sepupu saya. Faham tak? Tolong jangan lembap sangat fikir.
Sampai sahaja di rumah Wan, riuhnya tidak terkata. Ramai yang tidak menduga keluarga kami akan muncul pada hari itu. Kami disambut penuh meriah.
Sambil duduk dan berborak, tanpa disedari waktu Asar sudah masuk. Anjang Leman mengajak kami ke masjid. Ayah, saya, Hakim dan Arip (Suami Pijah) sama ikut naik kereta lumba Anjang Leman.
Oleh kerana terlebih borak, kami agak lewat untuk bergerak ke masjid. Ketika sampai, orang sudah mula hendak solat. Ayah masih kelam kabut mencari tandas. Kami yang lain huru hara angkat wuduk. Nyaris nak tergelebak tergelincir berjalan pantas naik tangga tiga anak.
Anjang Leman dan Hakim sempat mengikut jemaah di rakaat pertama. Saya dan Arip terpaksa menanti rakaat yang kedua. Kami lekas berdiri di belah kanan saf, bersama dengan seorang lagi saudara yang terlambat di sebelah kiri saya.
Saudara itu sopan berbaju melayu, kain pelekat dan kopiah putih. Saya hanya berseluar jeans dan berkemeja t hitam. Arip siap pakai jersi barcelona. Itu kira nasib baik dia rajin pakai baju. Kalau tak memang selalunya malas pakai baju.
Saya solat ikut imam. Hati terasa tenang dan khusyuk. Suasana dingin dan sunyi dalam masjid menyelubungi hati dengan perasaan yang sukar dilafazkan. Saya terus solat ikut imam.
Sehingga imam memberi salam, saya turut memberi salam kiri kanan. Dengan harapan malaikat turut menjawab salam. Saya pandang kiri kanan.
Celaka! Saya cakap dalam hati.
Saudara sebelah kiri dan Arip di sebelah kanan saya sambung habiskan rakaat. Kenapa saya tak sambung? Saya memang pelupa. Itulah akibat terlalu banyak berfikir agaknya.
Secara senyap, saya mengengsot ke belakang, saya solat Asar kembali sendirian.
Balik ke rumah Wan, saya makan kuih apam sambil sambung berfikir.
1 ulasan:
jang...apam tbaek kowt~~.. ngaaAAaaa~~
Catat Ulasan