Setelah Pak Ameng pergi meninggalkan kami, kami pun mula mengemas barang dan terkinja-kinja menikmati kesedapan bilik. Ya, waktu untuk berehat dan mengumpul tenaga.
perjalanan separuh hari memang meletihkan.
"Celaka betul! Siapa ajar buat bilik tak ada kipas?" Pokcik membebel kepanasan.
Ya, kami memang agak panas sebab belum mandi, dan berpeluh naik tangga. Bilik di situ memang tak ada kipas. Jadi kami buka semua tingkap dan pintu.
Zul, Cicak, Mat Harith dan Paan mahu merayau menikmati pemandangan. Saya mahu berehat tidur seketika, sebab saya memang tak cukup tidur dari semalam. Pokcik juga mahu tidur sebentar. Pokcik entah kenapa dia letih, saya kurang periksa. Padahal sudah tidur dalam perjalanan.
Setelah bangun dari tidur, mereka yang merayau tadi pun sudah pulang. Mereka memang suka pulang dalam keadaan riuh sekampung. Senang saya nak bangun. Jam masih belum pukul 5.00pm (6.00pm waktu Malaysia). Akan tetapi, kesejukan sudah mula terasa. Pokcik di katil sebelah tidur dengan berselubung dalam selimut.
"Oh, tadi mencarut panas ye? hahahaha"...
Saya mandi, walaupun kesejukan, demi mencari kesegaran sejati. Setelah kami siap, kami pun mula keluar mencari kedai makan. Perut sudah mula lapar. Orang kata hati-hati mencari kedai makan. Kerana di Danau Toba, majoritinya bukan Islam. Mungkin agak susah nak mencari yang halal.
Tak ada lah susah sangat sebenarnya. Agak banyak juga kedai makan Muslim. Oleh kerana ini hari pertama di sini, jadi kami memilih kedai secara rawak. Masuk sahaja dalam kedai, kami tidak dapat mendapat layanan biasa macam masuk kedai makan. Kami hanya disuruh duduk, dan tiada yang mengambil pesanan kami.
Ini memang menguji kesabaran, dan kami memang lapar. Kemudian datang seorang gadis mengambil pesanan minuman. Habis ambil pesanan minuman, gadis itu terus pergi masuk dapur. Oh! Kami lapar! Bila kami bolh menempah makanan?
Akhirnya Cicak bertanya kepada seorang gadis yang nampak tua sedikit. "Soto ada? Nak satu."
"Ada." Gadis yang menjawab itu langsung berlalu pergi, dan terus menyediakan soto.
Ini tak boleh jadi! Susah betul mahu menempah makanan, walhal hanya kami pelanggan yang ada dalam kedai. Lalu kami terus memanggil seorang gadis yang buat-buat sibuk tengok tv, dan kami terus memesan makanan.
Agar tidak menanti lebih lama, kami semua memesan makanan yang bunyi macam senang. Nasi goreng daging dan mi goreng. Ternyata servis mereka agak lembab. Akibat terlalu lapar, Pokcik mengambil dua mangkuk ikan kering sebagai kudap-kudapan. Kami makan ikan kering cicah dengan sos cili. Tak sangka, sos cili di Indonesia, warnanya aneh, tapi rasanya enak! Kami makan sampai makanan kami siap.
Selesai makan, kami meminta bil. Ternyata, memang murah sebenarnya. Cuma Rp86,000 lebih kurang. Saya tak ingat jumlah sebenar. Tapi ternyata jauh lebih murah dari harga makan tengahahari kami tadi.
Setelah perut kenyang, kami mula merayau. Jam hampir menunjukkan pukul 7.15pm waktu Medan. Kami mula berjalan sekitar pekan Parapat itu. Banyak kedai-kedai di sepanjang jalan. Harganya juga boleh tahan. Tapi, kami bukan kaki membeli-belah. Jadi kami hanya merayau menikmati kedinginan malam.
Akan tetapi, akibat tiada apa-apa sangat, kami kembali ke hotel kami. Singgah sebentar dahulu di kedai runcit bawah hotel. Paan mahu membeli buku nota untuk membuat catatan kepada kekasihnya. Paan memang romantik orangnya.
“Brader bawak angkot tu cakap, malam ni ada pasar malam. Dia kata syok kalau pergi sana.” Tiba-tiba, Cicak mengajak kami pergi pasar malam, setelah memperolehi maklumat dari seorang supir angkot (angkutan kota).
Lantas, akibat kami kebosanan, kami pun naik angkot itu dengan bayaran Rp 2,000 seorang menuju ke pasar malam dengan hati yang girang. Dalam 10 minit, kami sampai ke tapak pasar malam.
“Nanti udah mahu pulang, telepon saya ya mas.” Ujar supir itu setelah memberikan nombor telefon.
Akan tetapi, segala kegirangan itu hancur luluh apabila kaki kami menjejakkan kaki ke kawasan pasar malam itu.
Apa yang dimaksudkan dengan pasar malam di sana sebenarnya adalah tapak pesta atau fun fair. Ingatkan ada jual makanan macam pasar malam di Malaysia. Kebanyakan mesin hiburan juga adalah jauh ketinggalan zaman.
Ada roket yang diperbuat dari tong drum yang dipotong separuh, ada keretapi elektirk yang berpusing dalam lingkungan 10 meter, ada roda ferris using, ada pertunjukan aksi lasak motorsikal dalam relung (tapi ketika kami sampai, tak ada. Yang ada cuma relung kosong), dan beberapa lagi permainan yang bosan.
Oh ya. Ada juga satu permainan aneh, dimana rupanya seperti kuda pusing, cuma tak ada kuda. Manusia bergayut dengan tangan, aksi panjat-panjat, dan semua mekanismanya adalah manual, menggunakan tanaga kinetik manusia. Nampak macam aksi parkour yang lasak dan menggerunkan. Memang betul, darah Indonesia memang berani. Cuba klik link di bawah ini
Ada juga kaunter memancing botol. Hadiah untuk pemenang merupakan sekotak rokok Dji Sam Soe dan satu tin air Red Bull. Langsung tidak kena dengan nafsu saya. Tidak sampai 20 minit, kami mula bosan. Lalu kami sepakat menelefon pak supir tadi untuk membawa kami pulang ke hotel.
“Lekas benar? Nggak seronok ya mas?”
Kami hanya tersengih naik angkot.
Sampai di hotel, kami tidak masuk terus. Singgah lagi di kedai runcit membeli kuaci dan minuman. Mat Harith yang juga sudah mula batuk membeli ubat batuk sepeket. Sepaket? Ubat batuk dalam paket?
Ya, di sini ada ubat batuk yang dijual dalam paket kecil seperti sos cili di restoren makanan segera. Penangan dadah ubat batuk itu jaga terasa sanat kuat. Mat Harith yang biasanya kuat bergurau sebelum tidur, malam itu terus tidur setelah menelan ubat batuk sepaket.
Saya yang hanya minum ubat batuk Malaysia, malam itu begitu susah mahu tidur. Masih terbatuk-batuk. Padahal esok ada perancangan perjalanan yang optimum… Saya memilih gaya tidur atas lantai.
Akibatnya, saya hanya dapat tidur sesudah subuh...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan