Pagi itu, walaupun tak cukup tidur, saya bangun dengan penuh bersemangat. Menggosok gigi pun laju semacam. Mandi pagi pun sambil menyanyi rancak walaupun air sejuk mencengkam sum-sum. Ternyata saya adalah seorang pelancong yang berdedikasi kerana bangun pagi dan siap cepat.
Setelah bersiap, kami terasa lapar secara automatik. Jadi kami pun mula merayau lagi mencari kedai makan. Tak banyak kedai makan yang buka terlalu awal. Apabila jam 8.00am waktu Medan, baru ada kedai makan yang beroperasi.
Kami memilih kedai yang bertentangan dengan kedai yang kami pergi semalam. Kedai ini tampak lebih islamik. Semua wanita dalam kedai ini bertudung. Makanannya juga lebih pelbagai, Cuma lauk pauk masih belum banyak yang dimasak. Akan tetapi, di Indonesia tiada nasi lemak.
Saya memilih nasi apa entah namanya untuk sarapan. Hidangan itu merupakan nasi putih, telur rebus goreng sambal, sedikit gulai nangka, suhun goreng, dan sedikit sayur. Sambalnya memang pedas dan mengancam. Membuat selera saya naik serta-merta.
Di kedai itu ada kanak-kanak yang kuat berkelahi. Seorang budak lelaki memakai baju Upin & Ipin, seorang budak perempuan, dan seorang lagi masih menggunakan kerusi beroda. Ketiga-tiga mereka masih belum sekolah rasanya. Yang memakai baju Upin & Ipin itu kuat membuli yang lain. Ini bukan buli biasa. Diketuknya kepala yang lain dengan selipar, dan kadangkala menggunakan taktik serangan meludah.
Kami hanya melihat aksi mereka. Memang degil budak itu, astaghfirullah. Akan tetapi, bila waktu tangkap gambar, mereka boleh tersenyum dan berpeluk antara satu sama lain.
Kami makan sampai kenyang. Mana ada orang makan sampai lapar. Setelah kenyang, kami terus berjalan kaki ke jeti, untuk menaiki feri pergi ke pulau Samosir. Pulau Samosir terletak betul-betul di tengah-tengah Danau Toba. Jeti itu terletak di kawasan pasar. Di Parapat ada pasar pagi seperti pasar tani di Malaysia. Pasar itu menjual pelbagai barangan termasuk makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Sampai di Jeti, kami jadi hilang punca kerana tidak tahu mahu naik feri yang mana satu. Ada dua bot besar. Satu ke Tuk Tuk dan satu ke Tomok. Kemudian datang satu lelaki menawarkan khidmat bot kecilnya mahu membawa kami berjalan ke semua pusat pelancongan di Pulau Samosir. Bayaran yang ditawarkan adalah Rp250,000. Katanya termasuk bayaran untuk masuk ke semua muzium dan tugu. Saya tenung muka lelaki bertopi payung warna-warni itu penuh curiga. Lalu saya pergi kembali ke pasar untuk berfikir.
Di pasar, kami terjumpa dengan satu pasangan muda dari Malaysia yang sedang menungu teksi dengan muka ketat. Lalu dengan gembiranya saya tegur mereka dahulu, kerana kini, saya lebih percayakan orang dari Malaysia. Mereka pada mulanya tidak memandang pun pada kami ketika kami suba memanggil mereka. Akan tetapi, bila saya bertanya gaya Kuala Lumpur, mereka terus berubah wajah menjadi peramah.
Rupa-rupanya mereka sudah mahu pulang ke Medan. Mereka sudah pun pergi ke Pulau Samosir semalam. Mereka pun mengalami nasib yang sama, kena bayaran lebih ketika naik teksi, dan tanggung makan pak supir mereka.
Lalu, atas semanga persaudaraan tanah air, mereka menceritakan mana yang sedap pergi, dan apa yang boleh dibuat jika hendak ke Pulau Samosir. Jadi, kami memilih untuk naik feri ke Tuk Tuk. Kerana Tuk Tuk terletak di tengah-tengah.
Perjalanan naik feri besar memang mengasyikkan. Tambang sebanyak Rp7,000 seorang memang berbaloi. Ketika jam 11.00am, kami mula bergerak. Matahari agak terik, akan tetapi udara sejuk buat kami tak terasa hangat. Akibatnya kulit kami terbakar tanpa kami sedari. Kami sampai di Tuk Tuk dalam 1 jam kemudian. Tuk Tuk adalah kawasan peranginan yang banyak hotel dan chalet.
Di pelabuhan, ada beberapa kanak-kanak berenang meminta sedekah. Mereka meminta kami mencampakkan duit, dan mereka akan menyelam mengambil duit itu dan sumbat duit itu dalam mulut mereka. Mereka juga agak memilih meminta kami mencampakkan wang kertas, bukan wang syiling. Ramai pelancong mencampakkan wang, membuat kanak-kanak itu seperti hiburan sarkis. Kasihan.
Setelah turun di Tuk Tuk, kami mula mencara mana patut kami pergi. Kemudian kami singgah di satu kedai yang ada di tepi jalan. Sampai di kedai itu, nasib baik ada satu peta Pulau Samosir terpapar di dinding. Peta itu amat bermakna bagi kami walaupun hanya dilukis guna tangan dan pen marker.
Dari Tuk Tuk, kami mahu pergi ke Makam Raja Sialagan di Ambarita. Menurut peta, hanya 5 kilometer sahaja dai Tuk Tuk. Untuk ke sana, saya dan Zul berkongsi menyewa sebuah motorsikal dengan harga Rp60,000 sejam. Mereka yang lain memilih untuk naik menyewa basikal dengan harga Rp7,000 sejam. Alah, 5km sahaja. Apa salahnya naik basikal kan? Boleh juga nak berjimat.
Sayang seribu kali sayang, rupa-rupanya jalan di Samosir itu harus naik turun bukit. Bayangkanlah berbasikal mendaki bukit sejauh 5km. Pergi balik sudah 10km. Bijak kan? He He He He….
Akhirnya kami semua selamat sampai di Ambarita. Mereka yang mengayuh basikal berehat dahulu, mencungap menyedut oksigen. Setelah cukup oksigen di dada, kami pun mula melangkah masuk ke kawasan Makam Raja Sialagan.
Untuk masuk ke makam itu, kami perlu lalu deretan kedai yang menjual cenderahati. Mereka yang berniaga mula menarik-narik memanggil kami. Oleh kerana kami berhati kental, kami hanya berlalu pergi tanpa membeli apa-apa. Siapa yang lemah pasti akan tewas. Begitulah adat merantau.
Ada satu lelaki yang hanya mengekori kami bersungguh-sungguh ingin meneman kami masuk ke makam itu. Dia menawarkan diri kepada kami untuk menjadi pemandu pelancong. Kami hanya senyum sahaja buat tak reti. Saya yang sentiasa berfikiran sinis lantas bertanya juga dengan senyum sinis.
“Ini kena bayar kan pak? Nggak apa lah. Kami nggak cukup duit.”
“Nggak mahal bang! Murah aja.. Rp80,000 saja. Untuk enam orang bang. Murah aja kan? Itu termasuk bayaran masuk muziumnya bang…”
“Nggak apa lah.. Makasih aja!”
Agak lama juga baru lelaki itu meninggalkan kami. Memang menjengkelkan. Apa boleh buat? Kita merantau di negara orang, mesti sentiasa berhati-hati dalam berkata-kata.
“Tak payah bayar dia weh. Semua kita boleh baca sendiri kat Wikipedia. Aku dah baca dah.” Kata Paan. Lantas Paan menceritakan segalanya, secara tak langsung menjadi pemandu pelancong kami. Di makam itu lah Raja Batak zaman dahulu menyembelih dan makan manusia.
Setelah puas melepak di makam itu, kami pun mahu kembali ke Tuk Tuk. Untuk keluar dari makam itu, kami memilih jalan lain yang tidak melalui kedai jualan seperti kami datang tadi. Akan tetapi, perangkap mereka masih ada. Zul dan Mat Harith siap kena tarik tangan. Lalu mereka beli satu rantai kunci seorang sebagai cenderahati.
Kami memecut ingin kembali ke Tuk Tuk. Untuk kembali, ada satu jalan mendaki yang sangat mencabar. Walaupun untuk saya yang menaiki motorsikal. Yang naik basikal, tak payah cakap. Memang sorong sahaja lah basikal itu. Tak larat nak kayuh. Sampai di puncak, kami berehat lagi sambil menikmati pemandangan. Oh indah. Lagi cantik dari naik Broga. Kalau macam ni, tak naik Broga pun tak ada hal.
Oh ye. Saya tak pernah naik Broga. HaHa.
Saya dan Zul memecut dahulu memulangkan motorsikal sewa kami. Kedai tempat kami menyewa motorsikal bernama TUMIBU Tour & Travel Services. Ia dipunyai oleh Bapak D.R Nainggolan. Dia adalah orang Batak Kristian. Saya rasa dia seorang paderi. Dia juga jujur orangnya.
Di atas meja, ruang rehat kedai itu, ada satu buku aturcara perkahwinan yang telah berlalu. Dapat saya baca juga kutbah mereka dalam bahasa Indonesia. Terdapat juga not gamelan dan lirik lagu-lagu memuji Jesus dalam bahasa Indonesia. Ya, mereka menggunakan perkataan Allah untuk Tuhan.
25 minit kemudian, mereka yang gigih berbasikal pun sampai. Masing-masing dengan wajah yang longlai, lutut yang longgar dan betis yang kejang. Mereka mengakui, keputusan mereka memilih basikal adalah kesilapan besar dalam perjalanan kali ini. Mereka pun duduk rehat sambil minum, menambah tenaga kononnya.
Kami ingin pergi ke Tomok pula, kerana di Tomok ada lagi benda menarik untuk dilihat dan ada lagi banyak kedai untuk membeli cenderahati. Ini adalah seperti yang diceritakan oleh Bapak Nainggolan. Lagipun, feri di Tomok ada sampai pukul 6.00pm, dan dijamin ada setiap 30 minit. Di Tuk Tuk waktu feri nya tidak menentu.
Kami menggunakan perkhidmatan Bapak Nainggolan mengantar kami ke Tomok. Beliau hantar kami dengan menaiki Avanza. Indah juga pemandangan sepanjang perjalanan ke Tomok. Ada juga pengembara remaja lain menaiki basikal. Kami mentertawakan nasib mereka mendaki gunung nanti.
Sampai di Tomok, Pak Nainggolan juga menunjukkan kami jalan singkat jika kami mahu ke jeti nanti, setelah puas merayau. Kami membayar Rp120,000 untuk perjalanan 5km. Alhamdulillah, Pak Nainggolan tidak meminta wang tip lebih.
Kami terus menuju ke belah kanan, di mana terletaknya deretan kedai cenderahati dan juga jalan ke tapak bersejarah. Kebanyakan peniaga hanya memandang mesra kepada kami, dan tidak menarik-narik kami untuk membeli barangan mereka. Saya mula berasa aneh. Tidak mungkin. Maklumlah, saya kan berpandangan sinis orangnya.
Setelah berjalan-jalan, kami masuk ke makam Raja Sidabutar. Untuk masuk ke makam itu, kami dikehendaki memakai selendang yang disediakan. Tak besar mana pun kawasan makam itu. Ketika hendak keluar dari makam, kami diminta membayar wang derma. Beberapa sahaja yang ikhlas. Saya hendak memasukkan wang ke tabung derma, tapi penjaga makam itu meminta beri sahaja ke tangannya. Huh! Korupsi.
Di setiap tempat, pasti ada lambang cicak bersama dua objek bulat. Saya pun bertanya pada orang tempatan, apakah maksud lambang itu. Mereka mengatakan cicak itu lambang kemakmuran. Manakala dua bulatan itu pula lambang kesuburan. Kesuburan? Oh, rupa-rupanya, dua bulatan itu adalah buah dada. Buah dada melambangkan kesuburan. Hmm…
Keluar sahaja dari makam itu, sekumpulan kanak-kanak memandang saya dengan pelik. Ya, mereka akan kagum melihat manusia obesiti. Semua berkumpul melihat saya, sambil tersenyum. Saya senyum kembali sambil mengugut mahu makan mereka. Lalu mereka lari bertebaran.
Di luar makam, peniaga gerai mula menunjukkan taringya. Bermula dengan panggilan manis, kemudian ditambah dengan tarikan tangan. Ada yang merayu, ada yang membuat muka nak menangis, ada yang seperti sangat mesra. Seperti terlalu mahukan kami membeli barang dari mereka. Walaupun hanya seutas rantai kunci. Ada yang sanggup seperti mengemis meminta duit Malaysia sebagai cenderahati.
Mereka memanggil-manggil saya dengan “Abang Tomok! Abang Tomok! Mari singgah Abang…”. Ya, Tomok bermaksud gemuk. Di Pulau itu, saya tak jumpa lagi orang yang obesiti. Di Parapat pun sama. Jadi, orang obesiti diaanggap benda asing bagi mereka. Pokcik pun dipanggil “Abang kurus.. Abang Kurus…”.
Saya membeli 4 helai kain samarinda dengan harga Rp100,000. Itu pun setelah berunding meminta kurang begitu lama. Kain itu saya beli sebeb unik. Ia berbau wangi, semakin wangi apabila digosok. Kemudian saya beli satu beg berwarna cokelat dengan harga Rp25,000. Itu paling murah saya dapat. Di kedai sebelah pula, ada satu wanita merayu kepada saya supaya membeli apa sahaja barang di kedainya walau pun hanya satu. Lalu saya membeli 20 utas rantai kunci. Kemudian dia meminta wang Malaysia RM1 sebagai cenderahati. Saya bagi, dan kemudian lari jauh-jauh.
Saya ingat saya dah selamat, akan tetapi, Zul masih tersekat di satu kedai yang lain. Di sini, kami bertindak seperti satu pasukan komando di mana, tidak akan meninggalkan ahli kumpulan berseorangan. Bahaya. Lagipun Zul seorang yang mudah terpengaruh untuk membeli. Konsumerist mind, kata orang.
Klik sini untuk video :) : http://www.facebook.com/alhadirazak/posts/117342525010746 :)
Setelah menyelamatkan Zul, kami lekas-lekas bergerak pantas. Berjalan laju mengabaikan segala rintihan dan rayuan. Ibarat askar Amerika lari meninggalkan Mogadishu dalam cerita Black Hawk Down. Sempat juga kami singgah di satu kedai hujung. Saya teerbeli satu beg tangan berwarna merah yang saya tidak tahu nak buat apa. Gadis yang menjualnya agak cantik. Jauh lebih cantik dari gadis-gadis lain yang saya jumpa sejak hari pertama di Medan. Beg merah itu saya sudah beri kepada Mak saya. Dan Mak saya pun tak tahu nak buat apa dengan beg itu.
Terima kasih kepada Pak Nainggolan yang memberi panduan jalan singkat ke jeti feri. Kami selamat kerana tidak perlu lagi melalui gerai-gerai yang senantiasa akan mencuba meminta kami membeli barang jualan mereka. Naik sahaja feri, kami semua tersandar keletihan. Matahari memancar terik, dan kami kepanasan sebab feri masih belum bergerak…
2 ulasan:
good stories and info. Tq
Cerita perjalanan saudara n rakan-rakan akan saya jadikan panduan agar tidak mudah tertipu n trpedaya semasa pengembaraan saya ke 4 provinsi semasa di Sumatra pada akhir Dis nanti. Kalau ada klue yg boleh sya jadikan panduan berdasarkan pengalaman saudara semasa disana boleh saudara adkan kepada sya
Catat Ulasan