Ahad, 17 Mei 2009

Pasar malam penuh aksi, cinta, drama dan tragedi

Senja Selasa itu saya masih buat-buat sibuk di depan komputer.

Tiba-tiba Hawa masuk bilik saya, dah siap mandi. Selalunya susah nak tengok dia mandi kalau dia tak kerja.

"Jom pergi pasar malam. Nak beli yong tau fu"

Pasar malam? Saya sudah mula terbayangkan air jagung. Bukan kerana air jagung tu yang best sangat, tapi gadis yang menjual air jagung. Untung-untung hari ini hati gadis yang menjual air jagung itu terbuka untuk meminang saya sebagai kekasih sehidup semati.

"Ok! Lepas Maghrib kita pergi."

Saya lantas mencapai tuala dan pergi mandi. Sambil mandi saya menyanyi terjerit-jerit sebelum Mak menjerit marah saya dari dapur. Ada ke patut maghrib-maghrib melalak?

Lepas mandi, saya pun pakai seluar sukan dan t-shirt hitam. Sesuai betul dengan gaya jejaka penganggur yang berjalan kaki ke pasar malam. Walaupun Mak selalu marah saya pakai baju hitam. Senang kena langgar Mak kata.

Sampai sahaja di tapak pasar malam, sepert biasa, kena berjalan satu pusingan lengkap dahulu, memerhatikan sasaran dan mangsa-mangsa yang bakal diterkam. Banyak juga lah yang dah ada dalam senarai sasaran saya. Murtabak, kebab, rangka ayam, dan yang sewaktu dengannya.

ketika saya dan Hawa sampai ke selekoh yang terakhir pasar malam, tiba tiba terdengar bunyi orang berlari dan bertekak.

Betul-betul bila saya sampai di hujung jalan, tiba-tiba seorang makcik berumur yang sedang membeli air minuman dirempuh oleh seorang lelaki muda yang sedang berlari laju. Di tangan pemuda itu kelihatan ada banyak kepingan duit.

Semua berlaku begitu pantas.

Saya sempat membuka langkah silat. Saya melompat dua langkah ke belakang. Pemuda yang melanggar itu terus lari menyelinap pantas melintas jalanraya yang sibuk. Ada beberapa orang mengejarnya. Tapi macam tak dapat.


Makcik itu terlentang dan terbaring diam

Pemuda itu tidak berseorangan rupanya. Seorang kawannya yang berlari bersama sudah dikepung. Berlaku aksi seperti dalam siri gusti. Siap ada aksi 'Walls Of Jericho'. Betul-betul macam WWF Smackdown. Walaupun lelaki yang dikepung itu sebesar tubuh The Rock, tapi akhirnya dia tumbang. Macam mana tak tumbang, dah 5 orang lawan satu. The Ultimate Warrior pun boleh demam. Setelah pemuda itu tumbang, dia turt diterajang berkali-kali. Begitu ganas situasi ketika itu.

Saya hanya memerhati dari tepi. Kalau dulu, mungkin saya sudah masuk campur. Tapi saya sudah lama berhenti dari kerja Suria Perkasa Hitam. Saya malas nak masuk campur kerana tak tahu pihak mana yang betul atau salah. Entah-entah nanti ada pistol ke, pisau ke, kerambit ke, jarum dadah ada HIV positif ke. Saya bertindak dengan akal. Lagipun saya bawa Hawa.

Orang kelam kabut menyaksikan pergaduhan, terlupa mengenai makcik yang terlentang tadi. Makcik itu masih terlentang . Lebih menakutkan, kepala makcik berdarah. Banyak pula tu. Mengalir membasahi jalan. Orang ramai mula berkerumun mengelilingi makcik itu.

Pemuda tumbang itu mula digari dan diangkat berdiri. Lah, polis rupanya yang menangkap. Ada 2 orang polis berpakaian preman. Sungguh saya tak sangka mereka polis. Muka masing-masing macam Mat rempit je. Siap pakai topi jaring dan beg lilit pinggang. Misai pun tak ada. Siap ada gelang perak. Polis - polis itu membawa lelaki itu pergi sambil lelaki itu terjerit-jerit

"Woi! Kalau berani bukak gari ni! Kita fight one by one!"

Kepala hotak dia. Ya, semua berlaku dalam keadaan yang sangat pantas.

Oh ya, apa cerita makcik tadi?

Masih ramai mula mengkerumuni makcik yang terbaring diam itu. Ramai hanya menyibuk. Saya tidak dapat masuk untuk tolong kerana sudah ramai yang berdiri sekeliling sambil berkata. "Kenapa? Kenapa?"

Akhirnya seorang lelaki berkopiah, berumur lingkungan 40 tahun tiba, dan berkata "ini mak saya!"

Anak makcik itu menangis, mengangkat makcik itu dibantu oleh 2 lagi pemuda. Saya hanya nampak sehingga itu, dan kembali membawa hawa membeli apa yang patut dibeli.

Akhirnya saya pulang dengan hanya membawa seekor ayam rangka dan segelas coconut shake. Hawa memborong seguni yong tau fu.

Setelah sampai di rumah, baru saya sedar saya terlupa singgah di gerai air jagung.

"Cheiss!" Berbunyi dari mulut saya yang berminyak.

Sabtu, 16 Mei 2009

Dialog Majlis Mesyuarat Jumaat (Mei)

Peringatan : Dialog kali ini agak melampau lucahnya.

Choy : Apa beza tayar dengan kondom?

Amir : Apa dia?

Choy : Tayar, kalau bocor, boleh hilang nyawa. Kondom kalau bocor tambah nyawa.

......................................................................

Cicak : Apa beza pattaya dengan kondom?

Choy : Apa dia?

Hadi : Aku tau! Pattaya telur menyalut, kondom menyalut telur.

Choy : Kepala hotak kau! Mana ada orang pakai kondom salut telur!

Amir : Apa, kau pakai stokin ke buat kondom? Ha Ha Ha Ha!

......................................................................

Cicak : Dalam banyak-banyak tayar, tayar apa yang tak berpusing?

Paan : Tayar keretapi?

Hadi : Tayar kereta kebal?

Amir : Tayar rosak?

Cicak : Semua salah.

Ahmad : Abis tu apa jawapan dia?

Cicak : 'ta, ya, pa, wau,' = tipu dalam bahasa jawi

Ahmad : Itu lagi besar dia punya pusing!

......................................................................

Cicak : Kuda apa berkaki enam?

Choy : Kuda kepang?

Hadi : Kuda mutan?

Cicak : Salah... Kuda tengah "doggy style".

Amir : Binatang kau cicak!

......................................................................

Ahmad : Apa beza susu kotak dengan susu badan?

**Maaf, hanya sampai di sini, tak sanggup menanggung dosa. jika mahu tahu jawapan penuh, hubungi saya :)**

Jumaat, 15 Mei 2009

Apa ada dengan esok?

Esok saya akan kembali bercerita :)

Ahad, 10 Mei 2009

Selamat Hari Hadi, Selamat Tinggal.. :)

Saya akan bercuti dari menulis blog, membaca blog, bermain internet, memeriksa Facebook, berbual di YM, mencari gambar Jang Nara, menonton You Tube, bermain dengan Aneng, bermain Mafia Wars, bermain permainan titik-titik warna warni, dari masa ini.

Ada kekusutan yang hampir berakar, dan ada misi mengubat hati.

Sehingga bertemu lagi, Selamat tinggal

Terima Kasih. :)

Jumaat, 8 Mei 2009

Kena Tag ~ "2009 Cute's 3logger Award"

Saya kena tag. Seperti alasan Ned yang mengeteg saya, kawan punya pasal... hahaha!

Peraturan nak jawab tag ni ialah:

1. Copy badge "2009 Cute's 3logger Award" untuk diletakkan di blog anda.


2. Link/ceritakan kembali siapa yang memberikan award ini kepada anda.

~ Award ini diberi oleh Ned Nadia yang masih dalam tempoh edah dan kemaruk sama Johnny Depp

3. Setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta/hobi diri sendiri sebelum memilih penerima award seterusnya (anda di-tag).

- Masih bujang dan bebas berkeliaran

- Masih tinggal dengan ibubapa.

- Penganggur yang sudah ada ijazah.

- Suka masakan cili padi.

- Tiada apa apa hubungan dengan Marshanda.

- Tidak makan makanan laut dan harta anak yatim.

- Selalu kelihatan memakai t-shirt hitam

- Tak ada duit nak beli kasut Macbeth dan buku Kacip Pipiyapong

- Pernah cuba mengurat Jang Nara

- Bibir pecah-pecah dan air mata mengalir apabila menyapu bonjela

4. Anda perlu memilih 6 penerima award seterusnya dan menyatakan nama mereka di blog.

~ Alin, Angah, Asyikien, Ein, Kavi, Mastot yang jahat.

5. Jangan lupa untuk melawat blog mereka dan meninggalkan komen yang menyatakan:
"anda telah di tag - sila layari blog saya untuk mendapatkan award anda"

Selasa, 5 Mei 2009

Air oren memang sedap

Petang itu, setelah selesai menghantar buku hijau projek akhir tahun di Uniten, saya tidak terus pulang ke rumah.

Saya berhenti di dahulu di ibukota untuk merayau-rayau melihat alam dan manusia. Teringat pula subjek Alam dan Manusia yang saya belajar di sekolah rendah dahulu. Saya tak pernah dapat A subjek itu. Nasib baik subjek itu tidak termasuk dalam UPSR.

Agak panas terik pada hari itu. Memandang ke langit pun saya tak mampu. Begitu terik menyebabkan saya terus masuk ke dalam Pasar Budaya. Menjemah penghawa dingin senafas dua. Saya tewas dengan pemanasan global pada hari itu.

"Balik rumah je lah. Bosan pulak" Saya bercakap dengan diri sendiri

Tiba-tiba, tekak saya gatal nak minum air oren. Mungkin tekak saya kurang vitamin C. Kalau gatal nak minum oren biasa sahaja, tak apa. Boleh sahaja beli di tepi jalan. Tapi gatal mengada-ngada nak minum air oren tanpa campuran. Masam dan menyegarkan. Ibarat datang terus dari ladang.

Kalau macam itu, baik saya makan buah oran sahaja. Akan tetapi, Pasar Budaya bukan seperti pasar lain. Memang tak ada jual buah saya nampak. Apa tah lagi buah oren. Jadi, saya pun merayau-rayau mencari jus oren yang sudah sedia untuk diminum.

Saya malas nak beli fresh oren yang di restoren. Pasal takde la se fresh mana pun. Selalunya mesti tambah gula dengan air masak. Tak pun air paip. Ada kedai yang pernah saya lihat dia tambah perisa oren.

Terus merayau, mencari-cari kedai yang ibarat kedai runcit, dan juga ada jual air minuman. Sekali saya terjumpa satu kedai akhbar yang ada jual air. Saya terus pergi dekat peti ais yang berair-air pintu kaca dia. Memang menggiurkan. Saya masuk meneliti pilihan yang ada.

Tiba-tiba saya ternampak satu kotak air oren berwarna putih.

"100% jus oren asli" "tanpa gula" "tanpa pengawet"

Saya terus percaya. Kalau dia menipu, dia akan masuk neraka. Saya lihat harga dia. RM 2.00 untuk 250 ml. Huh?! Memang tak sesuai langsung dengan gaya hidup jimat saya. Tapi, apabila memikirkan mungkin itu harga yang patut saya bayar untuk keaslian, jadi saya tekad, redha dan tabah.

Saya bayar di kaunter, dan terus keluar dari Pasar Budaya, dan terus naik bas Metro. Dalam bas, saya terus mengecapi nikmat air oren tersebut. Memang asyik. Tenggelam terus lagu dangdut yang sedang berkumandang. Minum oren segar, sambil memerhati kota dari tingkap bas. Memang berkualiti estetika. Tak sia-sia rasanya bayar RM2.00.

Malam tadi, saya teman Hawa mencuci gambar di Greenwood. saya pun masuk ke 7-11 untuk membeli barang sedikit. Sekali, saya ternampak kotak air yang sama, dan jenama yang sama, saiz yang sama. Pintu kaca peti ais itu pun sama berair-air. Saya lihat harga pada kotak air itu.

RM 1.20

"Cheeiisss!!" Saya tumbuk keropok Mr Potato di rak berdekatan. Saya sudah menjadi mangsa kapitalis.


Jumaat, 1 Mei 2009

Nostalgia kanak kanak 1989

1989, saya darjah satu. Selalunya, setiap maghrib hujung minggu saya pasti akan pergi ke masjid mengikut ayah.

Ketika itu saya masih mentah dan suci. Jadi, aktiviti pergi ke masjid adalah antara benda yang paling seronok dalam kamus jadual harian saya. Antara sebab seronok, adalah di sana ada geng-geng saya masa kanak-kanak.

Ada Atan anak Pak Suman, dan Ayie anak Cikgu Zainal. Atan sebaya dengan saya dan Ayie muda setahun. Kami tinggal berdekatan dan ayah kami berkawan baik. Jadi, selain tepi sungai dan longkang, tempat berkumpul dan bersosial kami adalah masjid.

Sambil menanti bilal qamat selepas azan, sempat juga kami mengadakan sukan olimpik atau maraton sekeliling masjid. Waktu itu berlari keliling masjid di waktu senja amat mencabar dan menyeronokkan. Tak letih langsung.

Bila orang mula sahaja qamat, kami akan berlari masuk dan beratur di saf yang sudah diarahkan oleh tuk siak.

"Belum sunat belakang ye.. senyap-senyap, jangan bising."

Masa itu kami selalu berangan nak cepat sunat supaya boleh sama-sama solat dalam saf orang dewasa. Oleh kerana masa itu kami masih belum bersunat, kami akur sahaja. Tak berani nak melawan.

"Allahuakbar..."

Ketika rukuk, tiba-tiba Ayie solat di sebelah saya berlari ke pintu. Dia membongkok membelakangi pintu, dan berlari kembali ke sebelah saya kembali.

"Kau buat apa?" Saya tanya dengan suara bisik-bisik.

"Aku kentut jap tadi. Mak aku kata, kalau nak kentut kena keluar masjid." Ayie jawab bisik-bisik jugak.

"Syhhht diam. Nanti batal sembahyang." Atan pula bisik pada kami.

Kami pun terus diam dan sambung ke sujud.