Sabtu, 13 Jun 2009

Petang Jumaat yang tiada timbangrasa

Petang Jumaat minggu lepas saya tiba-tiba terasa sangat letih dan lapar.

Saya mula sedar yang saya sangat lapar hanya apabila keluar dari pejabat. Masa dalam pejabat, tak terasa lapar. Mungkin saya sudah terkena penyakit khayal berkerja.

Petang itu saya ikut dan Pokcik pergi ke Kuala Lumpur menaiki komuter. Pokcik nak pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur. Saya nak pulang ke tanah air saya di Negara Gombak. Dari dalam komuter lagi saya sudah terasa sangat letih dan lapar. Perut sudah mula mendendangkan lagu dangdut. Ini mungkin gara-gara hanya memakan tosei di tengahari. Mana tahan, perut Melayu obesiti seperti saya dengan tosei sahaja.

Sampai sahaja di stesyen Kuala Lumpur, saya berpisah dengan Pokcik. Saya berjalan bersendirian menuju ke Pasar Budaya untuk naik bas. Perjalanan ke Pasar Budaya terasa begitu berat kerana membawa dua biji komputer riba berjalan ternyata amat membebankan. Satu komputer saya, satu komputer pejabat. Sudahlah begitu, perut pun lapar. Masa seperti begini, saya memang tiada mood dan malas nak berfikir. Andai ada orang cuba merompak saya, memang orang itu silap besar. Masa beginilah saya akan mengamalkan ilmu persilatan sesat saya.

Sampai di Pasar Budaya, saya singgah dahulu di surau untuk solat Asar. Memang terasa sangat letih untuk naik tangga dengan beban sebegitu. Setiap langkah pasti akan disertai dengan pernafasan lesu yang tidak bermaya.

Hu.. Hu.. Hu..

Terasa seperti berzikir sufi pula. Saya pun tidak faham sangat fasal zikir hu ni. Saya main cakap sahaja.

Setelah selesai solat, saya pun bergerak keluar untuk menaiki bas ke negara Gombak. Saya berjalan dengan perut yang masih bersenandung. setiap langkah terasa sangat berat. Irama lagu yang keluar dari earfon saya masih tidak berjaya menghilangkan rasa lapar. Saya ternampak satu pemandangan yang agak menggiurkan. Saya tiba-tiba berselera.

Ada orang jual jagung rebus, dan ada orang jual keropok lekor. Mulut saya terkecur tiba-tiba. Wujud konflik dalaman untuk saya memilih sama ada jagung atau keropok lekor. Dan menggunakan penaakulan mantik saya yang masih tajam, keropok lekor menjadi pilihan.



Saya membeli keropok lekor seringgit dan duduk di bawah pokok sambil menanti bas tiba.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya mula mengunyah keropok lekor yang menggugat nafsu saya tadi.

Perghhh! Tak sedap langsung!

Ternyata penaakulan mantik saya tidak boleh dipercayai.

Tapi saya sebagai seorang yang tidak suka amalan membazir, menghabiskan sahaja keropok lekor itu sambil merungut dalam hati. Saya cek duit dalam dompet. Nak asingkan duit untuk tambang. Nasib baik masih ada duit.

Tiba-tiba datang seorang lelaki berjumpa saya

"Bang, saya nak mintak tolong bang, saya tak cukup 60 sen je lagi nak naik bas."

Seorang lelaki muda dalam lingkungan awal 20an.

"Gua tinggal seringgit je brader.."

Saya jawab dengan nada rockers.

Memang betul saya sudah tiada duit. Walaupun saya berpakaian kemas ala-ala pejabat waktu itu, saya masih miskin. Saya hanya ada RM2 untuk tambang bas, dan RM1 dalam bentuk duit syiling dua posen dua posen. Kalau saya tidak letih dan lapar, saya sanggup mengorek duit syiling saya untuk diberi pada saudara itu. Tapi saudara itu silap masa.

Saya memang tidak bertimbangrasa langsung pada petang itu.

Bas sampai, saya terun mengangkat buntut naik bas. Saya pilih kerusi solo yang paling sedap. Saya terus duduk dan kembali mendengar lagu dari telefon bimbit. Saat-saat sebegini, tak berselera langsung saya hendak mendengar lagu dangdut dari bas Metro. Saya sengaja pilih kerusi solo supaya tiada orang menganggu keperdudukan saya.

Ketika bas sampai di kawasan SOGO, lebih ramai orang memenuhi bas. Tapi satu orang pun saya tak pelawa untuk duduk di kerusi saya. Tak kiralah orang tua ke, awek cun ke, kanak-kanak ke, semua saya pedulikan. Saya hanya duduk melayan lagu dan perasaan.

Saya memang tidak bertimbangrasa langsung pada petang itu.

Sampai sahaja di Negara Gombak, saya terus berjalan menuju ke rumah. Selalunya perjalanan hanya mengambil masa satu lagu sahaja. Tapi kali ini dua lagu sampai habis. Mungkin kerana keletihan dan kelaparan, gerak geri langkah menjadi sangat perlahan. Sampai sahaja di rumah, saya terus mandi dan makan nasi. Setelah itu saya duduk dihadapan televisyen.

Cicak menelefon saya. Malam itu ada Mesyuarat Jumaat.

Tiba-tiba saya kembali menjadi bertimbangrasa. Hilang segala keletihan dan kelesuan... :)



Tiada ulasan: