Petang Jumaat, 19 Disember yang lalu, beberapa Kerabat Astena telah mengajak saya untuk menonton teater bangsawan percuma di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur. Memandangkan lokasinya di Pusat Bandaraya, saya mempergunakan sepenuhnya peluang ini untuk memahami lebih lanjut sistem bas Rapid.
Saya bertolak agak awal, dalam jam 4.00pm, kerana ingin mencari-cari barang dan mengambil kesempatan merayau dahulu di Jalan Chow Kit. Sampai sahaja di Chow Kit, pemandangan wajib yang saya dapat lihat adalah sekumpulan manusia tekun berkumpul menonton TV di kedai barang-barang elektrik. Fenomena ini saya sudah lihat dari zaman saya meneman ibu membeli ikan di pasar Jalan Chow Kit lagi, lebih kurang 18 tahun yang lalu. Tidak kisahlah sama ada yang ditayangkan itu gusti ataupun gelek dangdut dari Indonesia, pasti ada yang akan menonton.
Saya meneruskan perjalanan lagi, masuk ke sebuah kompleks yang menjual barang secara borong, akan tetapi saya masih gagal menemui barang yang saya kehendaki. Saya keluar dengan hampa, dan terus berjalan menuju ke kompleks SOGO. Ini adalah kerana Farhan menanti saya di sana. Sebelum itu, saya sempat singgah melewati pasar-pasar bundle di situ.
Perjalanan diteruskan dengan senyuman, kerana saya memang meminati aktiviti berjalan kaki. Saya agak kasihan melihat kereta yang berpusu-pusu bergerak lebih perlahan dari pejalan kaki. Itulah hakikat jika memandu di ibu kota. Mesti pemandu-pemandu itu menghidapi tekanan perasaan yang menakjubkan.
Perjalanan saya terhenti seketika ketika saya hampir sampai ke Maju Junction. Bukan apa, lampu isyarat sudah bertukar ke warna merah. Saya terpaksa menanti selama lebih kurang 5 minit. Di Kuala Lumpur ini, berjalan kaki juga wajib mengikut lampu isyarat jika mahu perjalanan anda selamat.
Sampai sahaja di SOGO, rupa-rupanya Farhan pergi menghantar sebentar temannya menaiki LRT ke Sentul. Saya terus merayau dalam kompleks SOGO itu, melawat tempat-tempat saya melayan emosi lebih kurang 6 tahun yang lalu.
Sempat juga saya pergi ke tempat di mana saya menghabiskan duit poket bermain permainan video 15 tahun yang lalu. Ternyata, pusat itu masih wujud dan menghabiskan duit poket remaja-remaja muda yang lain.
Zul Mak Nyah meminta saya menempah tiket lebih awal kerana mereka takut tiba lewat. Saya terus berjalan menuju ke Panggung Bandaraya. Sampai sahaja, kelihatan petugas-petugas sedang masih sibuk menyiapkan niasan panggung itu. Rupa-rupanya, tiket tidak boleh ditempah. Siapa cepat, dia dapat. Jadi, saya yang masih belum solat Asar pergi dahulu ke Masjid Jamek untuk solat dan berehat. Saya beriktikaf sehinggalah masuk waktu Maghrib.
Selesai solat Maghrib, saya menanti Farhan yang katanya sudah tiba di stesyen Masjid Jamek. Terkejut juga saya melihatkan gadis yang dibawanya, rupa gadis itu amat serupa dengan sahabat saya Nazeera. NAMA MEREKA PUN SAMA!! Ustazah saya pernah beritahu bahawa di dunia ini akan ada 7 orang berwajah sama. Jadi, tinggal 5 sahaja lagi yang perlu dicari Nazeera.
Kami masuk dan menikmati Bangsawan Musang Berjanggut itu. Walaupun persembahan mereka agak seperti kurang professional dan diselit dengan persembahan-persembahan yang kurang relevan, akan tetapi agak seronok menonton dan menghiburkan. Santai juga rupanya.
Bangsawan itu turut dimuatkan dengan persembahan nyanyian oleh Haziq dari AF4.
Tamat bangsawan, saya pun keluar untuk berjumpa dengan Kerabat Astena yang duduk terpisah dari kami, kerana mereka lewat sampai. Kami kemudiannya pergi makan dan pulang ke rumah. He he he he.
2 ulasan:
wah..gambar aku dengan pelakon tambahan hahahaha
cis, buang nyah tu shial.. hahaha... anyway best gak teater bangsawan tu, first time gi tgk.. tp persembahan selingan memang hampeh.. kecuali tunas budaya.. budak2 tu mmg best.
Catat Ulasan