Rabu, 4 November 2009

Ibadat dan sendat

Hari itu hari Isnin.

Memang cukup afdhal untuk berpuasa.

Jadi, saya mengambil langkah gaya hidup islamik kontemporari untuk berpuasa pada hari itu. Cuma saya tidak memakai kopiah ke pejabat. Tasbih pun sudah ada digantung dalam Ben.

Saya bukan sahaja sahaja berpuasa sunat, walaupun dalam lafaz niat puasa malam itu ada disebutkan "Sahaja aku berpuasa esok hari..."

Saya berpuasa sunat disekalikan dengan menunaikan hutang puasa nazar yang saya bernazar dari pertengahan tahun yang lalu.

Pelbagai tohmahan yang terpaksa saya hadapi hanya kerana saya berpuasa. Ada yang kata saya ponteng puasa di bulan Ramadhan yang lalu. Ada yang kata saya sudah miskin dan tidak ada duit untuk makan. Ada juga yang jahat mulut menuduh saya diet. Apa kejadah diet? Ramai yang tidak percaya saya berpuasa kerana bernazar. Mungkin akibat dari 'gaya hidup eksekutif remaja selebriti di kota urban' yang saya amalkan.

Kenapa saya bernazar? Ramai yang keliru.

Saya bernazar untuk lulus dalam pembentangan projek akhir tahun di universiti yang lalu, dan lulus untuk bergelar graduan.

Mungkin sebab faktor kesusahan yang amat untuk lulus mana mana subjek di universiti dahulu memangkinkan keputusan saya untuk bernazar setiap kali waktu perperiksaan. Waktu perperiksaan selalunya akan diiringi dengan doa, keringat, air mata, rayuan, bodekan dan setin minuman tenaga berperisa tongkat ali.

Hari itu saya kentalkan diri untuk berpuasa. Punyalah kental, waktu makan tengahari pun saya ikut pasukan makan ke kedai makan. Sebab bosan duduk dalam pejabat. Bila pergi kedai makan, boleh berborak sambil mencuci mata. Lagipun yang pergi makan itu ramai gadis-gadis. Eh! Terlupa, saya puasa... Terlupa tak apa...

Waktu petang, kelesuan bertambah. Boleh pula ada yang membakar roti di pejabat di waktu petang. Bau wangi roti menghibak memenuhi ruang dan godaan nafsu mula mencengkam jiwa. Nasib baik saya masih kental.

Petang itu saya sudah berjanji dengan seorang sahabat untuk berbuka di sebuah kedai Siam di Seri Kembangan. Tepat habis waktu kerja, saya berjalan lesu tapi separa pecut untuk ke Ben. Bunyi Ben menderu seirama dengan bunyi deruan perut saya, membawa saya ke lokasi untuk berbuka.

Di kedai Siam, saya dan Nik, salah seorang ahli 'The Three Miskinteers' dengan rakus memesan makanan. Jam baru menunjukkan pukul 6.15pm. Masih ada lebih 44 minit lagi untuk berbuka. Kami menempah awal kerana gusar makanan sampai lewat dan kami terpaksa berbuka dengan menjilat meja.

Sekali makanan sampai awal lah pulak... Tak sampai 15 minit dah siap.

Macam-macam helah dan aktiviti kami lakukan untuk membuang masa. Seperti mencari kesalaahan ejaan dalam menu, mencuba menghafal isi kandungan dan senarai harga dalam menu, mengira jumlah pelayan yang cun cun, dan juga mengukur lebar meja makan dengan jari. Semuanya dilakukan bagi mengalih fikiran dari makanan enak yang terhidang di atas meja. Begitu terliur dibuatnya.

Oleh kerana azan tidak kedengaran berkumandang, saya menjangkakan waktu berbuka berdasarkan pesanan ringkas yang diterima dari Naz sahaja.

"Keltang! Kleletung! Keleting! Nyum! Nyum!"

Begitu lahap saya makan. 2 pinggan nasi habis begitu sahaja. belum dikira lauk pauk dan lai ci kang Nik yang saya tibai. Semuanya licin seperti disambar garuda. Kenyang sampai ke dada. Hendak bernafas pun sukar kerana terasa seperti paru-paru dihimpit perut. Sendatnya ya Allah. Berjalan pun ada bunyi berkocak dalam perut.

Jam 7.55 saya pun bergerak meninggalkan kedai Siam. Terasa sangat awal pula untuk pulang. Dengan rentak pemanduan perlahan, diiringi dengan lagu lagu pop, menemani perjalanan pulang yang penuh leka dan ketenangan. Begitu perlahan saya pandu, sehingga sempat saya bernyanyi 3 lagu diiringi radio.

Ketika sampai sahaja di muka pintu rumah, saya menyeluk saku untuk mengambil kunci. Lalu tiba-tiba kedengaran azan berkumandang.

Astaghfirullah... Dah Isya' rupanya. Saya baru teringat yang saya belum solat Maghrib.

Apa kejadah puasa tapi tinggal solat? Mazhab mana ni?

Malam itu saya solat Maghrib jam 12.30am selepas habis tengok cerita kelakar yang melalaikan di TV.

2 ulasan:

KePOMPOM berkata...

'gaya hidup eksekutif remaja selebriti di kota urban'------> aku rasa nak muntah la part selebriti tu hadi oi. hahah. oh, oh. part remaja tu jugak!

StingRay berkata...

kalau masa tunggu tu,kira bijik nasi lagi leka..