Khamis, 21 Januari 2010

Gadis dan perut

Saya cabut dari Cyberjaya betul-betul ketika azan Maghrib berkumandang senja itu.

Dengan penuh bergaya saya memecut meniggalkan Maira dengan had laju maksimum. Saya gelak dalam hati.

Sampai sahaja di kawasan rumah, seperti biasa saya meletakkan kenderaan di tempat yang agak jauh dari pagar utama.

Saya perlu mendaki bukit bertangga untuk ke blok saya. Dari bawah, saya lihat ada seorang gadis atau wanita sedang menuruni tangga sambil memimpin tangan seorang anak gadis kecil yang comel.

Anak dia atau adik dia? Akal saya lebih cenderung mengatakan yang gadis kecil comel itu adalah adiknya.

Boleh tahan juga rupa wanita itu. Berkemeja T hitam tidak berkolar, berseluar jeans, dan rambut ada warna sedikit. Keterampilan yang agak rock.

Ketika hampir bertembung dengan kedua-dua mereka, tiba-tiba anak comel itu menunjuk ke arah saya. Saya lekas-lekas mengawal pernafasan yang sedikit mengah.

"Eh ehhh! Besyanya pewut dia!"
Celaka punya budak pelat.

Saya masih senyum dan cakap hai.

Cis! Tak boleh jadi! Kena buat sesuatu... Mungkin diet!

Sampai di atas, saya mengadu pada Daus yang sedang bertenggek atas motor.

Daus pura pura simpati.

"Ni kau nak nasi lemak ayam tak?" Daus tanya.

"Boleh gak..."

"Nasi lebih?" Daus tanya lagi.

"Ok" Saya setuju.

Isnin, 18 Januari 2010

Pengembaraan ke Selatan Asia (Bahagian 3) - Panas terik dan ada rasa nak berak

Selamat Tahun Baru 2010!

Ya! Pagi tahun baru itu kami bangun dengan sungguh bersemangat sekali! Saya sungguh tidak sangka Nik, Cicak dan Mat Aris sudah siap mandi lebih awal dari saya. Terasa seperti pagi Hari Raya. Semuanya senyum penuh keceriaan. Andai saya ada diari, pasti saya akan catat sebagai salah satu detik bersejarah terpenting.

Selesai bersiap, kami menanti pula Firdaus untuk mandi. Alhamdulillah, pagi itu Firdaus mandi memang cepat. Tak seperti biasa. Risau juga pada mulanya. Maklumlah, teruja.



Daripada gaya, kami memang kelihatan seperti pengembara muda. Degan beg galas, seluar jeans, selipar crocs tiruan, kacamata gelap, Nik pakai topi sebab botak, Cicak pula nak pakai kasut raya. Mat Aris paling melampau. Siap pakai kemeja. Tak senonoh betul. Dia ingat dia nak melancong naik kapal terbang kah?



Terlalu teruja. Apabila Firdaus sudah siap, kami terhegeh-hegeh mengikut dia ke kereta. Firdaus berbesar hati menghantar kami ke perhentian bas Larkin.






Sampai sahaja di sana, kami bersarapan dahulu di medan selera di tingkat atas. Seperti yang saya jangkakan, sarapan di perhentian bas selalunya tak beberapa sedap dan tidak berbaloi dengan harga. Selesai makan, kami turun bawah untuk tukar duit. Ini pertama kalinya dalam hidup saya untuk menukar wang asing.



Kami main redah sahaja naik bas yang ada tulis "Singapore". Kami naik bas yang menuju ke Kranji. Bayar tambang, kami dengan cepat terus merebut kerusi yang belakang sekali. Budak jahat kena duduk kerusi belakang. Muka memang sombong tak terkata.

"Tak sabaq weh nak keluar negara. Singapore ada salji kan?"

Entah siapa tipu Mat Aris, saya pun tak tahu. Memang macam beruk juga bila kami masuk untuk pemeriksaan imegresen. ramai juga yang tersenyum-senyum melihat kami terpinga-pinga. Orang periksa paspot pun kami boleh kagum.

Ketika tiba di bahagian imegresen Singapura, suasana perubahan sudah boleh dirasa. Wajah kami lebih teruja. Oleh kerana ini kali pertama saya masuk ke Singapura, saya banyak disoal oleh pegawai imegresen itu.

"Business or holiday?"

"Holiday."

"How long would you like to stay?"

"One day."

"Where are you going?"

"I don't know. Everywhere?"

"Where are exactly are you planning to go sir?"

"Err... Geylang?" Saya mana tahu mana nak pergi sebenarnya. Saya nak main redah sahaja. Jadi saya bantai sebut nama tempat yang pernah saya dengar dalam TV, 'Geylang'.

"Geylang? I don't know why you want to go to Geylang.." Kata pegawai itu sambil tersenyum sinis. Nasib baik dia cop luluskan paspot saya. Apa yang kelakar sangat pun, saya tak tahu.

Saya, Cicak dan Mat Aris lepas pemeriksaan nak masuk Singapura. Kami agak pelik kenapa Nik agak lambat. Dari cermin luar, tiba-tiba kami nampak Nik diperiksa dengan begitu rapi.

Nik adalah pengganas? Muka memang ada rupa penjenayah sedikit, tapi ganas apa bendanya? Kena tipu sikit dah berair mata. Beg Nik juga disapu dengan bahan kimia yang kemungkinan untuk melihat kesan-kesan bom atau radioaktif.

Kami bertiga diluar menanti dengan perasaan bercampur-baur. Takut ada, nak gelak pun ada. Abang botak sudah kena tahan. Tapi kecemasan tidak begitu lama. Dalam 10 minit kemudian, Nik dilepaskan. Nasib baik Nik tidak disuruh berbogel dan diperiksa lubang buntut macam dalam filem.

Kemi tergelak-gelak sepanjang perjalanan menanti bas sambil mengejek Nik. Hilang rasa kasihan. Biasalah, Melayu mudah lupa.

Kami teruskan naik bes ke Kranji. Kena berdiri sebab penuh. Tiba-tiba, sampai di suatu tempat, ramai orang berdiri. Kami pun cepat-cepat ambil kesempatan untuk duduk. Rupa-rupanya itulah stesyen MRT Kranji. Buat malu sahaja. Nasib baik kami ini pelancong.

turun sahaja di stesyen itu, kami ibarat hilang akal. Sudah tidak tahu hendak pergi mana. Benda mula-mula Nik, Mat Aris dan Cicak cari adalah tandas. Saya cuba berusaha mencari pas sehari $18 yang boleh naik semua kenderaan dalam satu hari. Zul Nyah yang kata ada. Sama ada Zul Nyah tipu atau Singapura tipu saya.



"Amacam tandas dia?" Saya tanya Cicak.

"Tak ada paip cebok laa" Cicak buat muka kelat.

Tak jadi saya nak buang air.

Saya puas bertanya pada semua orang mengenai tiket $18 untuk sehari. Semua tidak tahu. Ada juga orang Melayu yang kami jumpa. Tapi kebanyakannya sombong. Tak mesra dan tak bagi kerjasama pun. Kami mula hilang arah. Mat Aris dah sibuk nak balik Malaysia. "Homesick" dia kata. Tak sampai pun satu jam kami melancong. Nak telefon siapa pun, kami tak tahu.



Ini tak boleh jadi! Saya nekad membeli sebuah peta Singapura berharga $8 di sebuah kedai runcit. Lalu kami meneliti pata itu dan mengatur kembali perjalanan. Pelbagai tempat menarik ada disenaraikan dalam peta. Bergaya juga baca peta ni. Dan itulah kali pertama dalam hidup saya membaca perkataan 'Synagogue'. Di Malaysia tak ada ni! Kena pergi.



Berdasarkan peta, barulah kami terasa tak ada masalah sangat. Kacang botak je! Kami pun membeli sebuah kad 'ezlink' yang berfungsi seperti kad 'touch n go' di Malaysia. kad itu berharga $15, tapi hanya $10 boleh digunakan. Agak untung sebenarnya kerana kad itu boleh digunakan dalam 5 tahun, dan segala tambang dapat diskaun jika guna kad itu.



Mengikut peta, tempat pertama yang kami akan tuju adalah 'National Museum'. Jadi, stesyen terdekat adalah 'Dhoby Gaut'. Pergh... dia punya nama macam penyakit. Terasa agak berbeza naik MRT jika nak banding dengan LRT di Malaysia. Gerabaknya lebih besar, dan lebih selesa. Setiap beberapa minit akan ada peringatan mengenai pengganas. Dalam empat bahasa. Mandarin, Tamil, Melayu dan Inggeris. Terasa cuak juga sebab kami berjalan dengan Nik. Nik kan salah seorang suspek?



Ketika sampai sahaja di Dhobi Gaut, sudah terasa kelainan negara asing. Panasnya Singapura masyaallah... Terik betul. Panas beb! Nasib baik kami pelancong. Benda yang pertama kami perasan adalah begitu banyak kamera di sekeliling. Bukan kecil-kecil macam di Malaysia. Tapi dia punya besar sudah macam kamera berita. Polis saya jarang nampak.

Dengan berpandukan peta, agak banyak silap jalan juga pada awalnya. Nasib baik kami ini masih berakal sihat gaya genius. Sekejap sahaja sudah menguasai teknik membaca peta dan matahari. Terbakar juga kulit berjemur ni. Takkan nak sapu losyen. Terasa pondan pula begitu kan?

Dah jumpa jalan, kami berjalan dengan bergaya menuju ke muzium yang dituju. Panas terik tak diendahkan. Semangat berkobar-kobar menderap tapak melalui jalan jalan urban. Peluh mengalir deras melalui liang roma. Semangat membara sehangat api. Akhirnya tiba juga ke tempat sasaran.

"Bedebah!"

Gila ramai manusi beratur nak masuk tengok 'National Museum'. Sampai ke tepi jalan tu dia... Oleh kerana kesuntukan masa dan malas beratur, kami cari destinasi ke dua. Dalam peta kata, tempat menarik berdekatan adalah di 'Singapore Art Museum'. Boleh jalan kaki sahaja, kata peta. Kami pun sambung berjalan sampai jumpa.



Senang juga nak mencarinya. Yang susah adalah untuk melintas jalan. Di Singapura ini tak boleh main lintas sesuka hati. Dia punya saman boleh muflis dibuatnya.



Masuk dalam muzium itu, macam-macam yang kami tengok. Muzium itu pada asalnya adalah sebua gereja lama. Ketika itu motif pameran adalah Filipina. Jadi, seni utamanya bermotifkan katolik. Memang sesuai dengan tempat yang dahulunya adalah sebuah gereja.



Kami bermula dengan pameran bau-bauan. Cis! Bukan setakat bau wangi yang dia bagi saya hidu. Siap ada bau hancing dan bau jamban! Jurucakap pameran itu menerangkan bahawa itu lah bau air gunaan harian di Filipina satu masa yang lalu. Pekan-pekan dan jalanan mereka juga agak berbau hancing. Cerita sahaja sudah la kan? Kenapa nak bagi cium? Hampir termuntah dibuatnya.

Di sini kami jumpa tandas lagi. Ya! nampak macam bersih, tapi ada bau sikit. Tak mengapa... Saya masuk, lalu... Huh! Tak ada paip! Macam mana nak istinjak? Hajat ditangguhkan lagi.



Kami kembali menikmati hasil-hasil seni. Pelbagai jenis lukisa, arca, seni tampak dan seni sentuh yang kami nikmati. Oh ya, kami juga mengambil peluang menikmati air sejuk dari mesin pendingin air. Dahaga lah. Kami nak jimat, mana boleh main beli sahaja air. Bedal sahaja yang percuma dahulu.


Memang terbeliak juga mata melihat hasil-hasil seni yang dipamerkan. Akan tetapi, saya agak pelik, kerana banyak juga hasil seni yang berbogel. Apa kena mengena Filipina, Katolik, dan Bogel? Gambar sengaja saya tak letak disini, tapi saya letak di blog ini. Apa macam?

Oh ye, orang kata apa guna pergi ke Singapura, tapi tak bergambar di tempat yang ada singa duyung pancut air di mulut itu? Kami bertanya jalan pada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di muzium itu.

Alamak! Jam sudah pukul 1, tapi kami masih di tapak bekas gereja. Macam mana ni? Hari ini hari Jumaat... Mana masjid?

Bersambung...

PS - Anda teka sendiri mana satu saya, Firdaus, Cicak, Mat Aris dan Nik.

Rabu, 13 Januari 2010

Pengembaraan ke Selatan Asia (Bahagian 2) - Had laju kebangsaan

Petang itu, menjelang tahun baru. Saya berada dalam keadaan penuh teruja. Beg sudah siap ada dalam kereta. Paspot juga disimpan rapi, takut ada tangan-tangan jahat yang menyabotaj perjalanan.

Sekejap-sekejap tengok jam. Segala kerja yang diberi sudah saya siapkan dengan cemerlang. Jika ada lagi kerja baru yang diberi pada saya, nescaya saya akan buat-buat komputer rosak. Sumpah, mood bekerja sudah pudar.

Sambil melihat jam, sempat saya berbual dengan Firdaus di talian YM. Firdaus juga akan bertolak pulang ke Johor malam itu.

"Ko nanti gerak pukul berapa?" Firdaus memulakan persoalan.

"Habis kerja ni aku terus balik Gombak, lepas Maghrib Cicak amik aku"

"Malam ni dah dapat tempat tido?"

"Aku dah suruh Emy Gemuk tolong usya. Tapi macam takde harapan je.. Takpelah. Aku redah je. sampai sana nanti bedal je la mana-mana hotel murah. Hahaha!"

"Dah! Tak payah nak mengada-ngada! Ayah aku suruh tido rumah aku je. Mana nak carik hotel malam new year nih?"

"Ye ke? Wokeh! Cantek! Time kasih Daus! Nanti cakap sekali terima kasih kat ayah ko."

Memang seronok saya dengar. Dapat tumpang rumah Firdaus. Ahli kembara lain juga pasti bergembira dengan berita ini. Saya berbesar hati menerima tawaran ayah Firdaus. Terima Kasih Pok De!

Habis sahaja waktu kerja, dengan semangat lamina, saya memecut deras. Singgah sebentar di Seri Kembangan untuk mengambil Nik. Memang sengaja saya tak berhenti kereta. Saya biarkan pintu terbuka dan memandu perlahan. Terhegeh hegeh juga Nik nak cuba masuk kereta gaya Jackie Chan.

Perjalanan ke Gombak agak lancar. Saya bernasib baik. Sampai sahaja di rumah, saya terus mesej Cicak. Cicak memberi respon yang sangat membara.

Sambil menanti Cicak, sempat saya dan Nik makan nasi dan solat Maghrib. Memang bertambah-tambah saya makan. Maklumla, dah lama tak merasa lauk mak sendiri.

Cicak tiba pada jam 8.00 malam. Beliau juga sudah siap lengkap gaya pelancong. Beliau siap membawa kasut jalan-jalan yang dibeli untuk hari raya yang lepas. Memang ada gaya pelancong sejati.

"Singapore tu tempat gua kencing je dulu!" Memang riak bunyi dari mulut Cicak.

Kami lekas memuatkan semua barang dalam kereta, kemudian saya salam mak dan ayah memohon restu dan keberkatan.

"Ok, jom gerak!"

Kami bergerak menuju ke Cheras untuk mengambil Mat Aris. Kami singgah dahulu ke Petronas berdekatan untuk mengambil duit di mesin ATM.

Sayang seribu kali sayang, macam mana dompet boleh tertinggal? Aduh... Itulah dia bila buat kerja kelam kaut, hati pun tak tenang. Kami patah balik ke rumah saya, untuk mengambil dompet. Pembaziran masa dikesan. Nasib baik Cicak bukan jenis yang membebel orangnya.

Setelah mengambil dompet, saya tenangkan fikiran dahulu, kemudian atur pernafasan. Kali ini, dengan lebih tenang, kembali naik kereta, dan rancang perjalanan lebih kemas. Cicak sebagai pemandu utama, hanya akur dengan suara majoriti.

Setelah mengisi minyak, dan mengambil duit, kami melalui Jalan Kuching untuk ke Cheras. Bermakna,kami akan masuk sedikit ke Kuala Lumpur.

Alamak! Sekali jalan sangat jem. Aduh...! Apa yang mereka berpusu-pusu nak masuk Kuala Lumpur agaknya? Nak tengok bunga api lah tu! Menyibuk betul... Siap ada beberapa kenderaan rosak di tengah jalan. Memang menyendatkan perasaan. Jam 9.30 malam baru kami sampai ke rumah Mat Aris. Mat Aris pun satu perangai. Sempat pula dia tidur sekejap.

Setelah mengambil Mat Aris, Cicak memecut ikut undang-undang masuk ke lebuhraya. Perhatian ditumpukan ke papan tanda Seremban. Takut tersilap jalan.

"Lagu mana? Lagu?" Cicak bersuara.

Oh, saya terlupa. Sebagai co-pilot, saya juga bertugas sebagai pemasang lagu. Lalu saya pun bertindak cekap memasang radio dan mencucuk modulator FM di tempat rokok.

"Jangan risau, gua dah taruk semua koleksi hip hop RNB dalam MP3 tu. Baru tak ngantuk!" Cicak cakap sambil kepala mengangguk mengikut rentak.

"Sejak bila lu layan hip hop ni?" Saya musykil.

"Gua kan memang budak hip hop!" Cicak sambung angguk kepala.

Saya dah malas nak tanya lagi. Nama penuh Eminem pun dia tak tahu, ada hati nak mengaku budak hip hop.

Ketika kami baru nak sampai Nilai, Firdaus telefon saya.

"Korang dah sampai mana?"

"Baru je Nilai. Apsal?"

"Lah, bukan korang dah gerak lama ke?"

"Memang lah, tapi kitorang kan pelumba haram yang mematuhi had laju kebangsaan."

"Ok lah.. aku baru nak gerak ni. Kejap lagi kita jumpa kat mana-mana"

Firdaus memang seorang pelumba handalan. Sekejap sahaja dia sempat potong kami. Kami pula memang jenis aman damai, sempat lagi lepak minum kopi di Ayer Keroh. Saya sempat beli sebatang berus gigi baru. Tak selera saya nak berkongsi berus gigi.

Oleh kerana kehabisan minyak tiba-tiba, kami keluar di tol Kulai. Maklumlah, banyak berborak dalam perjalanan. Tak sedar meter minyak dah menurun. Biasalah, remaja macam kami mudah khayal.

Saya tengok di kulai ini betul betul banyak stesyen minyak dan klinik awam. Kenapa agaknya ya?

Sampai sahaja di rumah Firdaus, Kami tak sempat berjumpa Pok De sebab sudah tidur. Jadi, kami terus masuk bilik dan merancang perjalanan esok dengan penuh semangat membara. Berus gigi baru saya tenung buat pedoman.

Bersambung...

Jumaat, 8 Januari 2010

Kronologi hiburan bunyi-bunyian dalam Ben

Ketika majlis penyerahan kuasa Ben ke tangan saya, saya dapat Ben dalam keadaan yang agak sunyi. Radionya boleh hidup, tapi hanya mengeluarkan bunyi yang seakan-akan cuba berinteraksi dengan makhluk asing dalam filem hollywood.

Untuk memecah kesunyian dan mengelak dari berinteraksi dengan makhluk asing, saya menyanyi sendiri. pelbagai lagu yang saya nyanyikan dengan lirik yang berterabur dan pelbagai rentak. Nak bersiul, saya tak reti. Alhamdulillah saya tak reti bersiul. Kalau tidak, saya juga mungkin menjadi pemangkin dalam kemarakan api neraka. Masa saya sekolah rendah dahulu, ustazah ada cakap bersiul itu amalan iblis, dan setiap siulan akan menyemarakkan api neraka.

Setelah saya semakin bijak, saya menggunakan telefon bimbit saya untuk memutarkan lagu. Nasib baik telefon bimbit saya ada pembesar suara yang hebat dan lagu dalamnya bersepah-sepah. Hilang sedikit kesunyian. Dengan telefon diletakkan di atas papan pemuka, dan dipasang kuat-kuat. Boleh lah, daripada dengar bunyi ekzos sahaja. Bunyi ekzos dah lah majam enjin kapal terbang. akan tetapi, bateri telefon bimbit saya akan cepat habis.

Saya semakin bertuah, apabila saya bangun pagi di suatu tengahari yang terik, Ayah bawa Ben pergi mana entah, saya pun tak beberapa periksa. Bila Ayah pulang, tahu tahu Ben sudah ada bunyi. Ben sudah dilengkapi dengan radio yang juga boleh main CD. Memang seronok tak terkata. Setiap kali pergi pasaraya atau pasar malam, mesti beli CD lagu yang murah-murah. Macam tak percaya ada jual CD lagu Radiohead dengan The Cure RM 1.00 sekeping. Tapi album yang merepek lah. Tak sampai sebulan, saya sudah ada koleksi 20 keping CD.

Setelah bosan dengan hanya radio dan putaran lagu dari CD, saya mula rindu pada koleksi-koleksi MP3 saya. Lalu, hasil ketekunan saya menyimpan wang, saya berjaya membeli sebuah modulator FM pemain MP3 yang paling murah di pasaran! Wah!




Saya beli juga sebuah pemacu kilat berkapasiti 2 gig bagi dipenuhkan dengan pelbagai lagu kesukaan saya.

Dari Malaysia ada Search, Wings, BPR, Amy Mastura, Butterfingers, Senario, Raihan, Salih Yaakob, M.Nasir, Sicksiderz, Zainal Abidin dan pelbagai lagi.

Dari Indonesia antaranya ada Dewa19, Gigi, Opick, Padi, Marjinal, Ari Wibowo, Ari Lasso, Meggy Z, Nike Ardilla, Kuburan, Agnes Monica, Amigos, dan tidak ketinggalan Ebet G Ade.

Dari negara orang putih pula ada wakil dari Weezer, The Cure, Radiohead, Silverstein, Bullet For My Valentine, The Misfits, Fall Out Boy, Tupac, Comeback Kids, From Autumn To Ashes, dan ada lagi banyak yang tak pernah dengar di radio Malaysia. Memang berterabur selera saya jika cerita bab muzik kan?

Memang syok betul apabila sambil memecut, sembil berduet dengan Ben menyanyi lagu Derap Komando kuat kuat dengan tangan mengetuk stereng macam ketuk drum.... Perghh!

Khamis, 7 Januari 2010

Pengembaraan ke Selatan Asia (Bahagian 1)

"Mat Aris tak nak pergi Kelantan la pulak, dia ajak pergi Singapore!" Cicak mengejutkan saya di talian YM awal Disember tahun lepas.

"Aku mana ada passport" Saya jawab.

"Alaa.. Passport boleh buat! Tarahal! sekarang 100 ringgit je!" Cicak beri keyakinan.

"Aku tak pernah bayar PTPTN..." Saya membuat pengakuan.

"Cilakak!" Cicak panas hati.

"Hahahahaha! takpe, nanti aku cek dulu status imigresen aku, kalau lepas, aku cepat-cepat buat passport." Saya jaga hati Cicak.

Esoknya, saya periksa status saya di Jabatan Imigresen secara talian. alhamdulillah, saya masih selamat. Dengan sepantas kilat juga saya bayar sedikit hutang PTPTN bagi memastikan tahap keselamatan pengembaraan lebih terjamin.

Saya cek akaun bank. Cantik! Gaji masuk awal bulan itu. Mungkin bersempena perayaan Krismas yang bakal menjelma. Esoknya, pada hari Khamis yang mulia, saya dengan selamba tak masuk pejabat pagi itu.

Jam 7.45 pagi saya dah siap mandi dan masuk kereta. Kira lambat lah sebenarnya. Perangkaan awal saya hendak bergerak jam 7.00 pagi. Orang kata pejabat Imegresen ni dia punya beratur panjang nak mampus. Menyiksakan batin. Pejabat pun buka jam 7.00 pagi.

Jem punya pasal di simpang pertama, saya sampai pejabat imegresen pada jam 9.15 pagi. Tak guna punya jem! Selesai tangkap gambar dan isi borang, saya pun beratur seperti rakyat biasa. Ketika asyik beratur, tiba-tiba saya ternampak seorang sahabat lama.

"Weh Ari!" Saya pegang bahu dia.

"Bob! Ko buat apa kat sini?" Ari terkejut dengan sapaan saya.

"Buat passport la brader.." Saya sengih.

Hampir 5 tahun saya tak berjumpa dengan Ari. Dia sudah menjadi pegamai imegresen sekarang.

"Aku ada hal kejap ni, nanti aku call ko balik." Ari bergegas setelah bertukar nombor telefon dengan saya.

Jam 9.45 pagi baru saya sampai di kaunter. Setelah gambar dan borang diperiksa, dan tiada masalah, barulah nombor giliran diberi.



Apabila saya sudah dapat nombor giliran, gadis di kaunter memberitahu saya. "Encik, ini paling awal pun lagi dua jam baru dipanggil"

"Dua jam?" Saya telan air liur. Perut pun meminta lebih dari air liur. Dalam masa dua jam, banyak juga benda boleh buat. Saya keluar dari pejabat imegresen itu.

Saya menuju ke parking kereta untuk mengambil novel. Sedap juga baca novel sambil menunggu. Dalam perjalanan dari kereta, saya ternampak ada satu warong. Memang asyik kalau perut ini diisi.

Ketika hampir sampai ke warong, ternampak seseorang melambai-lambai mesra ke arah saya.

"Bob! sini wei.. sini!" Ari rupanya.

Sampai sahaja di meja, apalagi? Terbukalah segala cerita. Cerita selama lima tahun diringkaskan menjadi 30 minit sahaja. Pelbagai rintangan hidup Ari lalui. Siap pernah hampir dipenjara.

Kini, Ari sudah bergelar pegawai, sudah berkahwin dengan seorang doktor, ada beberapa buah rumah, dan ada sebuah kereta honda. Semuanya hasil titik peluh kerja kuat dan bukan MLM. Badan Ari pun sudah berisi. Tidak kedingking seperti yang saya kenal dahulu.

"Nanti, aku cuba tolong ko. Musim cuti sekolah macam ni memang ramai orang beb"

Ari menawarkan pertolongan ikhlas, walaupun ada bunyi bunyi konspirasi. Soal prinsip kesamarataan saya simpan dahulu dalam kamus.

Berkat hasil bantuan "orang dalam", dalam masa 40 minit sahaja, paspot saya pun selesai. Sambil tersenyum lega, saya meninggalkan kompleks pejabat berkenaan. Alhamdulillah... Paspot saya belek puas-puas. Itulah pertama kalinya saya ada paspot.



"Weh! kompom kita pegi Singapore! Lu jangan tak jadi!" Saya hantar pesanan ringkas pada Cicak.

"Cantek" Cicak jawab memang malas.

Jam baru menunjukkan pukul 11.30 pagi. Saya singgah dahulu ke Tabung Haji untuk menyimpan, dan kemudian ke Alamanda untuk makan tengahari bersama kawan-kawan.

Pukul 2.00 petang baru saya masuk pejabat.

Sampai sahaja di pejabat saya dapat rasakan sesuatu tidak kena.

"Hadi! Awak pergi mana? Kenapa baru masuk?" Pengurus sumber manusia tanya saya dengan mata terbeliak dan muka tak senyum.

Saya mula tersengih sumbang dan dahi seperti nak berpeluh.....

Bersambung...

Rabu, 23 Disember 2009

Jumaat yang garang

"Weh! Esok pagi kita semayang kat As-Syakirin! Kita kenang kembali zaman kegemilangan 10 tahun dulu! Lepas tu bole la kita lepak minum minum!"

Kata-kata semangat yang dilontarkan Najib ketika berbual dengan saya di Facebook, membuatkan saya tidur dengan keterujaan malam itu. Bukan senang nak jumpa Najib yang sudah beranak satu itu. Macam tak percaya Najib sudah ada anak. Kaki juga bergoyang-goyang tanda keriangan. Sampai terkeluar-keluar kaki dari dalam selimut.

Akibat terlalu teruja, pagi itu saya bangun tidur pukul 11.30 pagi. Itu pun sebab Mak sudah mula garang suruh saya makan nasi lemak yang Ayah beli dari pagi tadi. Takut nanti kalau basi tak makan. Itulah bahananya kalau kuat merayau malam, dan tidur selepas Subuh. Jika Ayah dapat tahu nasi lemak yang dibelinya dibiarkan basi, pasti Ayah akan mengamuk dengan garangnya. Sebelum terjadi

Keluar dari bilik, dengan hanya membasuh tangan dan bibir, saya terus menghadap nasi lemak sambil menonton TV. Memang asyik makan nasi lemak sambil mata terpaku pada TV. Walaupun cerita yang ditayangkan tak sedap langsung, tapi masih tekun menonton. Itulah dia bahana menonton TV. Lagha~lagha.

Selesai makan, saya masuk bilik dan capai tuala yang terselit di pintu almari dengan gaya spiderman. Nyaris-nyaris nak kopak pintu almari dibuatnya. Saya lupa tahap keberatan saya. Sebelum saya berlansung ke acara mandi sambil nyanyi-nyanyi, sempat juga tangan ini menyentuh komputer di lantai. Ada Apistopis di talian maya. Saya ambil kesempatan ajak Apistopis pergi masjid As-Syakirin Jumaat itu. Nasib baik isteri Apistopis kerja di luar kawasan Selangor. Jadi, isteri Apistopis tak cuti. Apistopis bujang hari itu. Bolehlah beliau berpeleseran bersama saya. Tak takut bini konon... Huh!

Tangan belah kiri juga sibuk menghantar pesanan ringkas kepada Nikman, Adi Kuyup dan Usop. Nak pelawa mereka sekali. Sayang seribu kali sayang, Nikman sibuk nak pergi Bandung, Adi Kuyup ada seminar apa benda ntah, Usop pula ada di Terengganu. Susah betul nak ajak pergi masjid.

Selesai mandi wajib, eh.. mandi sunat Jumaat, dengan pantas saya bersiap. sekejap sahaja sudah tampak kacak dan beriman. Dengan tak payah panaskan enjin, saya memacu deras. Sebelum itu saya singgah dahulu ke masjid Simpang tiga nak hantar Ayahanda. Bila Ayah sudah naik tangga dengan selamat, pecutan dengan pantas menuju ke masjid As-Syakirin.

Dengan langkah yang bijak, saya memilih tempat letak kereta di bawah pokok. Barulah kereta tak panas. Sampai sahaja di masjid saya cuba hubungi Najib.

Telefon tak berjawab, pesanan ringkas juga tidak berbalas. Perangai yang betul-betul tidak senonoh. Dalam kegeraman memicit butang telefon, Apistopis pula hubungi saya. Sejuk sedikit hati dibuatnya.

"Ko kat mana bat?" Apistopis tanya.

"Kat tempat wuduk weh." Padahal saya masih terhegeh-hegeh nak menuju masuk ke kawasan masjid. Hari Jumaat pun nak temberang.

Selesai berwuduk, baru saya jumpa Apistopis.

Astaghfirullah... Dekat sepuluh tahun rasanya tak berjumpa. Kali terakhir selepas habis SPM. Apistopis masuk matriks, saya huru hara di utara tanah air.

Apistopis masih tak berubah rupa bentuk dan perangainya. Walaupun sudah berkahwin dan berkerjaya. Kereta pun sudah habis bayar. Isterinya juga dengar khabar lagi sedikit sahaja hendak beranak.

Lawaknya masih sinis dan di luar jangkaan.

"Jom Pis, kita semayang kat tingkat atas. Baru rasa macam budak jahat." Saya ajak Apistopis.

"Jom. Mana yang lain-lain?" Apistopis tanya sambil selitkan rambut bawak kopiah.

"Tak boleh harap..." Saya jawab sambil mencebik manja.

Apistopis ketawa gaya beliau.

Sampai di atas, kami lebih banyak diam mengenang nostalgia. Keliling kami kesemuanya budak budak tak cukup umur. Masih ada seorang brader garang yang menjaga disiplin kanak-kanak. Takut juga tengok brader garang itu, walaupun orang yang berbeza dari brader garang 10 tahun yang lalu.

Selesai solat Jumaat, kami turun. Saya cuba lagi menghubungi Najib. Kali ini dapat.

"Alamak, mana bro?" Najib menjawab sambil gelak gelak.

"Masjid la weh! Ko tak semayang ke?" Saya mula garang.

"Haha, terbabas la bro!" Jawab najib gaya remaja akhir zaman.

"Cilakak! jom lepak!" Macam pantun pula saya marah.

"Ok, lepak mana? Mana ek nak lepak kat Gombak tengahari macam ni?" Najib timbulkan persoalan.

"Hmm.. ok lah! kita lepak kopitiam. Boleh borak-borak MLM!" Najib jawab sendiri, tak sempat saya menyampuk.

Saya dengan Apistopis bergerak dengan kenderaan masing-masing ke kopitiam tersebut. Zaman kami sekolah dahulu, manalah ada kopitiam. Kalau ada pun, bukannya kami mampu. Nak beli air batu campur pun bersimpan duit.

Sampai sahaja, kami terus pesan makanan dan minuman yang sedap-sedap. Semuanya mengikut nafsu tanpa berkira. Memang nafsu menguasai segala-galanya. Memang terasa hebat lepak di kopitiam memakai kain pelekat.

Selesai sahaja memesan makanan, Ayahanda telefon suruh jemput. Alamak! Macam mana boleh lupa? Sepantas kilat, saya tinggalkan majlis sebentar untuk menghantar Ayahanda pulang dengan selamat.

Setibanya kembali, Najib dan Apistopis sudah habis makan. Mereka menghirup kopi mahal dengan bergaya. Makanan saya juga sudah sejuk. Tapi tak mengapa, saya memang tak berkira orangnya.

Sambil makan, kami berbual-bual. Najib menceritakan bagaimana beliau putus cinta dengan sembilan orang kekasih sebelum beliau akhirnya berkahwin dan beranak satu. Saya dengar dengan kagum. Semasa beliau sekolah, jangankan kekasih, perkataan "cinta" pun beliau ludahkan sahaja.

Apistopis juga sudah mempunyai kerjaya yang stabil, seorang isteri yang hampir bersalin, dan kereta juga sudah habis bayar.

Saya? Malas nak cerita.

"Sedap jugak ada facebook ni kan? Walaupun macam agen Yahudi, tapi tak sangka kita boleh jumpa balik." Saya berbicara gaya pintar.

"Tu la pasal..." Najib menyampuk sambil menghembus asap rokok.

"Tapi jangan risau la, takde facebook pun kita mesti jumpa punya..." Apistopis cakap setelah meletakkan gelas.

"Kalau tak jumpa sekarang pun, kita mesti boleh lagi jumpa kat padang mahsyar..."

Lawak Apistopis memang masih mengejut.


Khamis, 17 Disember 2009

Petua Keselamatan Biasa

Malam itu Cicak mengangkut saya merayau malam.

Sengaja kami nak mencuba keterujaan naik kereta Kenari Cicak yang sudah tukar tayar besar dan spring. Dia punya ketinggian sudah mengalahkan kereta Kembara. Hampir sama taraf dengan gadis penjaga tol.

Sampai di suatu simpang, rupa-rupanya ada pemeriksaan lalulintas oleh pihak polis.


"Fuh, nasib baik aku pakai tali pinggang keledar." Kata saya dengan siku terkeluar di tingkap.

Cicak memang tidak gemar pasang penghawa dingin. Dia takut sejuk.

"Kita pakai sepatutnya pakai tali pinggang keledar bukan sebab takut polis." Cicak tiba-tiba bersuara dengan tangan kemas di stereng.

"Huh?" Saya bersuara nafas pendek.

"Kita pakai tali pinggang keledar untuk keselamatan." Cicak bercakap gaya pakar motivasi, dengan sebelah tangan membetulkan kolar dan kening sedikit terangkat.

Saya buat buat sibuk kuatkan radio.