Isnin, 18 Januari 2010

Pengembaraan ke Selatan Asia (Bahagian 3) - Panas terik dan ada rasa nak berak

Selamat Tahun Baru 2010!

Ya! Pagi tahun baru itu kami bangun dengan sungguh bersemangat sekali! Saya sungguh tidak sangka Nik, Cicak dan Mat Aris sudah siap mandi lebih awal dari saya. Terasa seperti pagi Hari Raya. Semuanya senyum penuh keceriaan. Andai saya ada diari, pasti saya akan catat sebagai salah satu detik bersejarah terpenting.

Selesai bersiap, kami menanti pula Firdaus untuk mandi. Alhamdulillah, pagi itu Firdaus mandi memang cepat. Tak seperti biasa. Risau juga pada mulanya. Maklumlah, teruja.



Daripada gaya, kami memang kelihatan seperti pengembara muda. Degan beg galas, seluar jeans, selipar crocs tiruan, kacamata gelap, Nik pakai topi sebab botak, Cicak pula nak pakai kasut raya. Mat Aris paling melampau. Siap pakai kemeja. Tak senonoh betul. Dia ingat dia nak melancong naik kapal terbang kah?



Terlalu teruja. Apabila Firdaus sudah siap, kami terhegeh-hegeh mengikut dia ke kereta. Firdaus berbesar hati menghantar kami ke perhentian bas Larkin.






Sampai sahaja di sana, kami bersarapan dahulu di medan selera di tingkat atas. Seperti yang saya jangkakan, sarapan di perhentian bas selalunya tak beberapa sedap dan tidak berbaloi dengan harga. Selesai makan, kami turun bawah untuk tukar duit. Ini pertama kalinya dalam hidup saya untuk menukar wang asing.



Kami main redah sahaja naik bas yang ada tulis "Singapore". Kami naik bas yang menuju ke Kranji. Bayar tambang, kami dengan cepat terus merebut kerusi yang belakang sekali. Budak jahat kena duduk kerusi belakang. Muka memang sombong tak terkata.

"Tak sabaq weh nak keluar negara. Singapore ada salji kan?"

Entah siapa tipu Mat Aris, saya pun tak tahu. Memang macam beruk juga bila kami masuk untuk pemeriksaan imegresen. ramai juga yang tersenyum-senyum melihat kami terpinga-pinga. Orang periksa paspot pun kami boleh kagum.

Ketika tiba di bahagian imegresen Singapura, suasana perubahan sudah boleh dirasa. Wajah kami lebih teruja. Oleh kerana ini kali pertama saya masuk ke Singapura, saya banyak disoal oleh pegawai imegresen itu.

"Business or holiday?"

"Holiday."

"How long would you like to stay?"

"One day."

"Where are you going?"

"I don't know. Everywhere?"

"Where are exactly are you planning to go sir?"

"Err... Geylang?" Saya mana tahu mana nak pergi sebenarnya. Saya nak main redah sahaja. Jadi saya bantai sebut nama tempat yang pernah saya dengar dalam TV, 'Geylang'.

"Geylang? I don't know why you want to go to Geylang.." Kata pegawai itu sambil tersenyum sinis. Nasib baik dia cop luluskan paspot saya. Apa yang kelakar sangat pun, saya tak tahu.

Saya, Cicak dan Mat Aris lepas pemeriksaan nak masuk Singapura. Kami agak pelik kenapa Nik agak lambat. Dari cermin luar, tiba-tiba kami nampak Nik diperiksa dengan begitu rapi.

Nik adalah pengganas? Muka memang ada rupa penjenayah sedikit, tapi ganas apa bendanya? Kena tipu sikit dah berair mata. Beg Nik juga disapu dengan bahan kimia yang kemungkinan untuk melihat kesan-kesan bom atau radioaktif.

Kami bertiga diluar menanti dengan perasaan bercampur-baur. Takut ada, nak gelak pun ada. Abang botak sudah kena tahan. Tapi kecemasan tidak begitu lama. Dalam 10 minit kemudian, Nik dilepaskan. Nasib baik Nik tidak disuruh berbogel dan diperiksa lubang buntut macam dalam filem.

Kemi tergelak-gelak sepanjang perjalanan menanti bas sambil mengejek Nik. Hilang rasa kasihan. Biasalah, Melayu mudah lupa.

Kami teruskan naik bes ke Kranji. Kena berdiri sebab penuh. Tiba-tiba, sampai di suatu tempat, ramai orang berdiri. Kami pun cepat-cepat ambil kesempatan untuk duduk. Rupa-rupanya itulah stesyen MRT Kranji. Buat malu sahaja. Nasib baik kami ini pelancong.

turun sahaja di stesyen itu, kami ibarat hilang akal. Sudah tidak tahu hendak pergi mana. Benda mula-mula Nik, Mat Aris dan Cicak cari adalah tandas. Saya cuba berusaha mencari pas sehari $18 yang boleh naik semua kenderaan dalam satu hari. Zul Nyah yang kata ada. Sama ada Zul Nyah tipu atau Singapura tipu saya.



"Amacam tandas dia?" Saya tanya Cicak.

"Tak ada paip cebok laa" Cicak buat muka kelat.

Tak jadi saya nak buang air.

Saya puas bertanya pada semua orang mengenai tiket $18 untuk sehari. Semua tidak tahu. Ada juga orang Melayu yang kami jumpa. Tapi kebanyakannya sombong. Tak mesra dan tak bagi kerjasama pun. Kami mula hilang arah. Mat Aris dah sibuk nak balik Malaysia. "Homesick" dia kata. Tak sampai pun satu jam kami melancong. Nak telefon siapa pun, kami tak tahu.



Ini tak boleh jadi! Saya nekad membeli sebuah peta Singapura berharga $8 di sebuah kedai runcit. Lalu kami meneliti pata itu dan mengatur kembali perjalanan. Pelbagai tempat menarik ada disenaraikan dalam peta. Bergaya juga baca peta ni. Dan itulah kali pertama dalam hidup saya membaca perkataan 'Synagogue'. Di Malaysia tak ada ni! Kena pergi.



Berdasarkan peta, barulah kami terasa tak ada masalah sangat. Kacang botak je! Kami pun membeli sebuah kad 'ezlink' yang berfungsi seperti kad 'touch n go' di Malaysia. kad itu berharga $15, tapi hanya $10 boleh digunakan. Agak untung sebenarnya kerana kad itu boleh digunakan dalam 5 tahun, dan segala tambang dapat diskaun jika guna kad itu.



Mengikut peta, tempat pertama yang kami akan tuju adalah 'National Museum'. Jadi, stesyen terdekat adalah 'Dhoby Gaut'. Pergh... dia punya nama macam penyakit. Terasa agak berbeza naik MRT jika nak banding dengan LRT di Malaysia. Gerabaknya lebih besar, dan lebih selesa. Setiap beberapa minit akan ada peringatan mengenai pengganas. Dalam empat bahasa. Mandarin, Tamil, Melayu dan Inggeris. Terasa cuak juga sebab kami berjalan dengan Nik. Nik kan salah seorang suspek?



Ketika sampai sahaja di Dhobi Gaut, sudah terasa kelainan negara asing. Panasnya Singapura masyaallah... Terik betul. Panas beb! Nasib baik kami pelancong. Benda yang pertama kami perasan adalah begitu banyak kamera di sekeliling. Bukan kecil-kecil macam di Malaysia. Tapi dia punya besar sudah macam kamera berita. Polis saya jarang nampak.

Dengan berpandukan peta, agak banyak silap jalan juga pada awalnya. Nasib baik kami ini masih berakal sihat gaya genius. Sekejap sahaja sudah menguasai teknik membaca peta dan matahari. Terbakar juga kulit berjemur ni. Takkan nak sapu losyen. Terasa pondan pula begitu kan?

Dah jumpa jalan, kami berjalan dengan bergaya menuju ke muzium yang dituju. Panas terik tak diendahkan. Semangat berkobar-kobar menderap tapak melalui jalan jalan urban. Peluh mengalir deras melalui liang roma. Semangat membara sehangat api. Akhirnya tiba juga ke tempat sasaran.

"Bedebah!"

Gila ramai manusi beratur nak masuk tengok 'National Museum'. Sampai ke tepi jalan tu dia... Oleh kerana kesuntukan masa dan malas beratur, kami cari destinasi ke dua. Dalam peta kata, tempat menarik berdekatan adalah di 'Singapore Art Museum'. Boleh jalan kaki sahaja, kata peta. Kami pun sambung berjalan sampai jumpa.



Senang juga nak mencarinya. Yang susah adalah untuk melintas jalan. Di Singapura ini tak boleh main lintas sesuka hati. Dia punya saman boleh muflis dibuatnya.



Masuk dalam muzium itu, macam-macam yang kami tengok. Muzium itu pada asalnya adalah sebua gereja lama. Ketika itu motif pameran adalah Filipina. Jadi, seni utamanya bermotifkan katolik. Memang sesuai dengan tempat yang dahulunya adalah sebuah gereja.



Kami bermula dengan pameran bau-bauan. Cis! Bukan setakat bau wangi yang dia bagi saya hidu. Siap ada bau hancing dan bau jamban! Jurucakap pameran itu menerangkan bahawa itu lah bau air gunaan harian di Filipina satu masa yang lalu. Pekan-pekan dan jalanan mereka juga agak berbau hancing. Cerita sahaja sudah la kan? Kenapa nak bagi cium? Hampir termuntah dibuatnya.

Di sini kami jumpa tandas lagi. Ya! nampak macam bersih, tapi ada bau sikit. Tak mengapa... Saya masuk, lalu... Huh! Tak ada paip! Macam mana nak istinjak? Hajat ditangguhkan lagi.



Kami kembali menikmati hasil-hasil seni. Pelbagai jenis lukisa, arca, seni tampak dan seni sentuh yang kami nikmati. Oh ya, kami juga mengambil peluang menikmati air sejuk dari mesin pendingin air. Dahaga lah. Kami nak jimat, mana boleh main beli sahaja air. Bedal sahaja yang percuma dahulu.


Memang terbeliak juga mata melihat hasil-hasil seni yang dipamerkan. Akan tetapi, saya agak pelik, kerana banyak juga hasil seni yang berbogel. Apa kena mengena Filipina, Katolik, dan Bogel? Gambar sengaja saya tak letak disini, tapi saya letak di blog ini. Apa macam?

Oh ye, orang kata apa guna pergi ke Singapura, tapi tak bergambar di tempat yang ada singa duyung pancut air di mulut itu? Kami bertanya jalan pada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di muzium itu.

Alamak! Jam sudah pukul 1, tapi kami masih di tapak bekas gereja. Macam mana ni? Hari ini hari Jumaat... Mana masjid?

Bersambung...

PS - Anda teka sendiri mana satu saya, Firdaus, Cicak, Mat Aris dan Nik.

Tiada ulasan: