"Sempat ke kita semayang Jumaat ni?" Saya bertanya.
"Mana nak cari masjid kat sini?" Mat Aris pun nak tanya.
"Macam takde azan je?" Cicak urut janggut.
"Takpe, kita musafir..." Nik sebagai Mufti perjalanan memberikan fatwa.
Kami memang bertaklid buta pada Nik kerana hanya dia seorang pernah sekolah agama. Darjah berapa? Saya tak pasti.
"That thing is called 'Merlion'. It is near the Esplanade. It is just in a walking distance. You just go there.. bla.. bla.. bla..." Begitu hebat gaya pengawal keselamatan rambut beruban itu menunjukkan kami jalan menuju ke patung singa duyung yang ada pancut air di mulut itu.
Jadi, kami yang memang kaki berjalan pun mula berjalan kaki keluar dari Muzium Seni itu. Alang-alang kami sudah ada di situ, jadi kami mahu singgah untuk tengok dengan mata sendiri sebuah 'Synagogue'. Sebuah rumah ibadat untuk Yahudi.
Synagogue (sampai sekarang saya tak tahu sebutan sebenarnya) itu terletak betul-betul bersebelahan dengan Muzium Seni itu. Memang terasa agak kekok juga, waktu Jumaat pergi lepak depan Synagogue. Nasib baik sini Singapura. Masyarakat tak pandang serong. Mungkin biasa bagi mereka.
Pergh! Ini pertama kalinya dalam hidup kami dapat tengok depan mata. Di Malaysia mana ada benda ni. Cuak juga kami melepak depan Synagogue itu. Takut kena tembak dengan agen Mossard.
Puas bergambar, kami meneruskan perjalanan mencari 'Merlion'. Panas dia tak ingat punya! Terik gila! Dekat apanya? Walking distance konon... Memanglah walking distance, tapi dia tak cakap macam berjalan kat padang pasir. Tapi, apa kisah? Kami kan pelancong. Sebab panas sangat, kami singgah sekejap di kompleks Suntec City untuk berehat dan menikmati penghawa dingin. Sempat juga saya usya kasut Vans Anti-Hero yang menarik. Tapi masih terasa macam membazir jika beli.
Sambil melepak dalam supermarket, terliur juga kami melihat makanan dan minuman dalam restoren. Akan tetapi, kami yakin ianya tidak halal. Sebab tak ada tanda halal langsung. Lagipun, harganya pasti mencengkam jiwa. Bau memang sedap, perut pun agak lapar...
Jam sudah pukul 2 lebih. Mana tak lapar? Sabar.. Sabar..
Kami meneruskan perjalanan mengikut peta dan ilmu penaakulan mantik. Baru kami tahu, ada terowong pejalan kaki bawah tanah untuk ke Esplanade.
Bukan lorong pejalan kaki biasa rupanya. CityLink Mall adalah pasaraya bawah tanah yang nampak cantik dan ada banyak kedai mahal mahal. Sehingga kini, kami masih tidak membeli apa-apa. Kami hanya berjalan sambil mengusya gadis-gadis. Lagi satu benda yang paling berbeza, adalah eskalatornya. Sangat laju. Tak lembab langsung! Memang terasa sangat kuno kami di sana.
Sepanjang perjalanan ke Esplanade juga ada satu jalan yang dipenuhi dengan hasil hasil seni yang comel dan abstrak. Kalau di Malaysia pasti ada yang curi bawak balik rumah.
Akhirnya, kami sampai di Esplanade. Memang cantik tempat itu. Benda yang pertama kami cari adalah tandas. Kami agak kagum kerana di Singapura tandas awamnya tidak perlu bayar. Kami juga naik angin kerana tandasnya satu pun tak ada paip. Semua pakai tisu. Kami mana reti nak istinjak pakai tisu?!!! Hajat kembali tersekat.
"Tak cebok! Tak cebok!" Sambil berjalan, Cicak membebel seperti mengejek rakyat Singapura.
Cantik juga Esplanade ini. Dia ibarat Istana Budaya di Malaysia. Tapi kami tak meneroka dengan lebih lanjut, kerana misi utama kami adalah Merlion. Malam itu ada konsert M.Nasir dan Siti Nurhaliza. Walaupun saya memang peminat M.Nasir dan penagih lagu Bagaikan Sakti, tapi saya tak pergi konsert itu. Cukuplah sekadar bergambar di hadapan notis nak tayang pada orang kampung.
Keluar dari Esplanade itu, panasnya masih mencucuk-cucuk bisa hanguskan hati. Sampai meletup pemetik api seorang gadis pelancong yang bergambar dihadapan kami. Terkejut juga dibuatnya. Ingatkan bunyi pistol.
Puas berjemur, kami berjalan menuju ke arah Teluk Marina, tempat di mana letaknya binatang Merlion itu. Ada orang jual aiskrim di tepi jalan. Pertama kali saya lihat Lelaki Cina menjual airkrim cedok naik motor. Kami dahaga tak terkata. Tekan kering berkekalan. Air bekal yang kami bawa dari Malaysia pun sudah tidak menyelerakan sebab sudah panas terjemur. Mana tahan minum air panas di tengah panas.
Kami berempat sama sama tercegat memandang penjual aiskrim itu. Mata pun tak berkelip. Nampak begitu menyelerakan sekali. Beberapa warga India atau Bangladesh (mungkin) beratur membeli aiskrim. Iman kami tercabar. Aiskrim jatuh atas jalan terpijak pun sangat menyelerakan bagi kami. Tapi...
Aiskrim itu buatan mana? Halal ke tidak? Apek tu takkan tak kencing? Takkan tak berak? Macam mana dia istinjak? Tandas di sini semuanya kering pakai tisu. Tak ada paip. Celaka!
Kami teruskan perjalanan dengan melupakan aiskrim.
'Balik Malaysia nanti aku nak makan aiskrim!" Mat Aris membuat satu resolusi.
Kami angguk sambil mengetap bibir tanda persetujuan yang serius.
Dapat juga akhirnya kami melihat binatang Merlion itu depan mata. Berebut-rebut kami dengan pelancong lain nak tangkap gambar. Ramai juga manusia melepak di situ. Ada yang bawa kekasih, ada yang bawa keluarga, anak-anak, ibu-bapa, guru-guru, dan ada juga yang mungkin dari kelab atau persatuan. Panas terik matahari tidak menjadi halangan untuk kami melepak dan bergambar. Hampir melecur rasanya bila lengan terkena besi penghalang.
Kami meneruskan perjalanan dengan tekak kering dan perut lapar. Rasa nak berak juga kejap datang, kejap pergi. Permainan minda sahaja agaknya. Saya dapati ramai juga orang melepak-lepak dan berkelah di bawah pokok taman sepanjang Connaught Drive. Ada yang main gitar, ada yang melukis, ada yang berborak, ada yang makan. Masih ada orang jual aiskrim sepanjang jalan. Iman kami maasih tebal, walaupun mata Nik macam meliar. Masih kurang pastu usya aiskrim, atau gadis makan aiskrim.
"Lain kali kita datang bawak bekal. Boleh piknik sekali"
Kami terus berjalan dan berpeluh sampai ke tugu peringatan perang yang dipanggil Cenotaph.
"Our Glorious Dead" Tertulis di situ. Macam nama kugiran. Sangat bergaya ok!
Lepas bergambar, kami mencari jalan menuju ke steryen MRT terdekat di City Hall. Kami hendak pergi ke Bugis. Di sana ada Masjid. Dan menurut sahabat saya Sha, di sana ada banyak kedai makan yang halal. Di Jalan Arab. Perut sudah lapar, maklumlah, sudah pukul 3.40 petang. Hulk Hogan pun tak tahan macam ni.
Hampir sesat juga mencari stesyen City Hall. Oleh kerana panas sangat, kami masuk ke dalam sebuah kompleks yang kelihatan tidak semewah Suntec City. Kalau di Malaysia kelihatan seperti Kompleks Pertama. Mata saya terpaku pada satu kedai biasa yang ada peti ais jual air. Saya perhatikan harga dia. Harga air bikarbonat $1.20. Tak lah mahal sangat. sebelum ini di sebuah 7-11, harganya mencecah $2.30 sebotol. 7-11 cekik darah!
Terus saya beli sebotol 100 plus 500ml berwarna kuning. Nik, Cicak dan Mat Aris pun tiru saya beli 100 plus. Tapi perisa berbeza. Kami teguk dengan penuh nikmat dan kesyukuran. Baru terasa ada tenaga dan lega sedikit. Alhamdulillah... Terasa bagai kembali bernyawa. Akal pun kembali sihat. Senyum kelegaan terpancar di wajah masing-masing. Macam iklan.
Rentak perjalanan kami diperlahankan sedikit demi menghormati perut yang berkocak akibat dipenuhi air bikarbonat. Berjalan dan melintas mengikut undang-undang. Memang takut untuk melintas secara samberono. Takut kena saman. Bukannya murah! Sambil berjalan, kami menjenguk kedai-kedai di sekeliling. Kawasan ini tidaklah mahal sangat. Boleh tahan juga harga dia. Kedai kasut Bata di sini ada jual kasut Doc Marten dan Vans. Memang takjub!
Kami pergi ke stesyen MRT City Hall dan ambil tren ke Bugis. Sampai sahaja di kawasan Bugis, kami terasa satu suasana yang berbeza. Sedikit terasa selesa ibarat berada di kampung halaman. Ya, seperti ada aura pelindung. Perasaan membunga yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Aduhai.. kasih aduhai...
Masjid! Kami ternampak rumah Allah yang memberi harapan! Ibarat oasis di padang pasir. Kami yang semakin longlai terus ke masjid itu dengan harapan...
Sampai sahaja, benda pertama yang saya cari adalah TANDAS!!!
Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Allahuakbar!!!
Saya bersyukur kehadrad Ilahi atas wujudnya tandas yang sempurna bagi digunakan oleh mukmin. Tandas Masjid Sultan amat selesa dan bersih. yang penting sekali, ada paip untuk istinjak. Aduh... Lega... Lama juga saya menikmati keselesaan tandas. Saya keluar dengan satu senyuman bahagia yang ikhlas.
Jam baru pukul 4.00 petang. Kami solat Zuhur, jama' terus dengan Asar. Biasalah, musafir... Kami mengambil kesempatan untuk berehat dan merenggangkan otot. Syahdu betul rasanya berehat di dalam masjid.
Solat sudah, berak sudah, lalu kami perlu makanan yang sejati! Perut sudah memutarkan irama grindcore. Sudah mula pedih pedih. Jadi kami pun mencari kedai yang bersesuaian dengan nafsu serakah kami. Mat Aris mencadangkan kami makan nasi briyani sebab selalunya memang nasi briyani bisa mengenyangkan hatta nafsu sebesar gajah sekalipun.
Kami masuk ke dalam satu kedai mamak di Jalan Arab. Bau memang menyelerakan. Walaupun lutut sudah longgar, kami naik ke tingkat atas sebab ada penghawa dingin. Saya cuba memesan nasi putih bersama lauk, tapi macam agak leceh untuk memesan benda yang bukan ada dalam menu di sana. Sistem mamak di sana agak berbeza dan melecehkan, namun tampak lebih professional. Gaya pelayan mamak di situ agak lain. agak sistematik. Setiap pesanan mesti datang sekali. Walaupun kami nampak teh tarik kami sudah menyejuk di belakang.
Oleh kerana terlalu lapar dan malas berfikir, kami semua memesan nasi briyani ayam. senang cerita. Harga sepinggan $5.00. Mahal nak mampus kan? Tapi tak mengapa, duit kami masih banyak lagi. Hasil perjalanan penuh jimat dan berkat. Biar mahal, asalkan halal, ye tak?
Setelah memesan, macam biasa, penantian satu penyiksaan....
Apabila makanan sampai, perghh! Lajunya makan astaghfirullah... Sopan santun tolak tepi. Makan sampai licin. Walaupun kuah dhal dia rasa hangit. Sedap? Tak sedap sangat.
Ketika makan, terdengar suara azan Asar berkumandang... Kami tak sangka boleh dengar azan di Singapura.
Burrpp! Alhamdulillah... Semua senyap tak terkata. masing masing muka senyum. Bila dah kenyang, baru perasan murtabak. Murtabak di kedai itu kelihatan amat menyelerakan. Apakandaya, kami dah sental kaw kaw nasi briyani tadi. Kami hanya duduk menikmati teh tarik sambil berbual perlahan. Tenaga sudah kembali.
Jom jalan jalan beli barang?
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan