Jumaat, 29 Januari 2010

Pengembaraan ke Selatan Asia (Bahagian 5) - Nasi Padang dan Kejutan Budaya


Dengan perut yang kenyang, kami berempat mula bergerak gaya agak malas menuju ke kawasan Kampung Glam kembali. Kami hendak membeli-belah buat cenderahati.


Jam sudah hampir pukul 6.00. Suasana agak mendung. Mungkin hendak hujan. Kami bertebaran sekitar kedai-kedai di hadapan Masjid Sultan.

Banyak juga benda yang tak ada di Malaysia ada di sini. Barang-barangnya juga agak murah jika mahu dibandingkan dengan Malaysia secara jujurnya. Sedang asyik melihat barang, hujan pun mula turun renyai-renyai. Nik merayau entah ke mana. Cicak dan Mat aris berborak dengan orang-orang Melayu di sana. Orang Melayu di Kampung Glam memang ramah dan mesra. Tak macam di kawasan bandar.



Saya setelah selesai membeli barang, hanya duduk di kaki lima menikmati suasana petang yang nyaman dan indah. Terasa enak juga berehat seperti itu. Suasana aman menyentuh naluri saya. Andai saya ada pen dan kertas, sudah pasti saya akan menulis sekajang puisi. Oh, saya bukan sekadar tiada pen dan kertas. Bakat pun tak ada. Ada hati nak tulis puisi.

Puas melepak, hari pun hampir gelap.

"Weh, brader tu tadi kata kalau nak syok shopping pergi Orchard Road!" Cicak memberi idea.

Kami bukannya nak membeli-belah sangat. Tapi, sebab kami kaki merayau, kami pun setuju untuk mula bergerak dengan niat untuk merayau di Orchard Road.

Kami mengambil MRT ke Orchard Road. Untuk mengambil MRT, kami menggunakan kepakaran kami sebagai rakyat Malaysia untuk berebut masuk. Tapi kepakaran itu tidak berguna sangat di sini. Sebab ruang tren memang tak pernah sendat. Sentiasa mencukupi.



Stesyen Orchard Road betul betul membuatkan kami terasa berada di negara asing. Stesyen bertingkat-tingkat dan eskalatornya yang laju. Kagum... Ya, kami kagum.

Keluar dari tren, kami terus masuk ke satu kompleks membeli-belah. Memang terdapat pelbagai jenama asing dipasarkan di sana. Ada jualan murah bersempena tahun baru. Tapi, kami masih tidak berminat. Kami hanya mencuci mata dan mengusya gadis-gadis.

Setelah letih berpusing-pusing, kami pun mencari jalan untuk keluar dari bangunan. Nak tengok suasana luar gamaknya. Sudah bosan dengan barang-barang dagangan. Nak cari jalan keluar pun susah. Hampir sesat. Sehinggakan kami termasuk ke satu kawasan medan selera.

"Weh, kat situ gerai nasi padang lah!" Mat aris kagum sambil tangan tunjuk-tunjuk.

Oh, ada juga gerai nasi padang di kompleks besar seperti itu. Terasa seperti berada di KLCC. Tapi memang celaka, sebelah gerai itu ada baik punya separuh ekor anak babi panggang tergantung. Masih kekal bentuk muka, hidung, mulut, telinga dan kaki. Terkesima kami di situ. Pertama kali kami nampak anak babi panggang masih berbentuk di kompleks membeli-belah. Apatah lagi Mat Aris. Dia nyaris muntah.

Cepat-cepat kami keluar dari situ mencari ketenangan. Ya, suasana malam di Singapura. Cuaca tak banyak berbeza.

Jumlah lambakan manusia juga sama jika mahu dibandingkan denga kawasan. Bukit Bintang. Cuma mereka lebih ramai keluar bersama keluarga dan anak-anak. Tidak seperti di Malaysia yang ada geng budak sekolah rendah berjalan bersama-sama atau naik basikal. Tidak kelihatan juga budak-budak bercelak, stokin belang, rambut senget, pakai sayap palsu konon konon ghotic.

Di tepi-tepi jalan ada banyak perhiasan sempena perayaan Krismas yang masih ada. Ramai yang mengambil kesempatan mengambil gambar keluarga bersama patung-patung perhiasan itu. Entah mengapa, saya terasa seperti berada di Genting Highland. Cuma bezanya cuaca panas dan kami berpeluh.


Bangunan di sekitar itu besar-besar dan mewah-mewah belaka. Kami berempat terasa kerdil. Kami terus berjalan di tepi-tepi bangunan. Kemudian kami mencari jalan untuk ke kompleks seberang jalan. Nak melintas kami tak berani. Takut kena saman. Akhirnya kami ikut satu lorong yang tak beberapa canggih.

Jam sudah hampir pukul 9.00 malam. Kami merayau di komplek seberang yang tidak semewah kompleks yang kami pergi masa mula-mula tadi. Saya sempat sambar sehelai kemeja t berkolar. Memang agak bergaya. Saya beli juga sebotol air bikarbonat yang tak pernah saya nampak di Malaysia. Saya yakin halal sebab saya sudah baca isi kandungannya.

Oleh kerana kami tidak mahu sambung merayau di Singapura lagi, lalu kami pun pergi menukar kembali duit Singapura kami ke duit Malaysia. Terasa kaya kembali. Kami terus bergerak meninggalkan kompleks itu. Kami ambil MRT untuk ke Woodlands. Walaupun kaki kami lenguh nak mampus, tapi kami tetap berdiri untuk menikmati pemandangan malam di Singapura.

Bersambung... (agak sibuk sekarang hehehe...)

Tiada ulasan: