Selasa, 26 Mei 2009

Ketenangan ada jual kat mana?

Setelah habis menonton tayangan Gadoh petang Jumaat itu, Kami pun meninggalkan dewan tayangan itu dengan saguhati masing-masing. Kami semua dapat DVD dan stiker percuma.

Saya meminta Faris dan Zul menghantar saya ke masjid luar pagar Universiti Malaya. Ini kerana saya mahu berjumpa dengan Paan. Kami akan bersama-sama untuk pertama kali menyertai perjumpaan kumpulan teater Kelab Kilat. Mereka akan berjumpa di Bangsar. Jadi, saya rasa masjid itu adalah titik pertemuan yang paling sesuai kerana ia terletak berhampiran TNB Bangsar, saya masih belum solat Maghrib, dan saya lapar.

Di sebelah Masjid itu ada sati gerai makan. Setelah solat Maghrib, saya terus pergi ke gerai untuk mengisi perut. Dengan selipar yang masih basah-basah sebab mengambil wuduk tadi, saya terhenti di hadapan gerai.

Tapi sayang sekali, gerai itu sudah mula dikemas-kemas seperti nak tutup. Kerusi sudah mula disusun dan meja sudah mula dilipat. Saya hampir takut kebuluran. Saya mula memujuk hati supaya bertindak dengan rasional. Saya gunakan kemahiran penaakulan yang ada. Saya perhatikan tempat masak burger masih lagi belum kemas.

"Bang, burger ada lagi?"

"Ada, nak ke?"

"Double special satu!"

Rakus sungguh bunyinya. Mungkin terpengaruh dengan hasutan nafsu. Tidak cukup dengan itu, saya juga memesan sebungkus teh o ais. Memang sesuai dinikmati bersama. Nafas mula deras mendengus melalui hidung ketika asyik menyedut teh o ais.

Setelah menelan ketulan burger terakhir, saya pun beredar dari gerai. Kerana abang gerai itu sudah mula menyapu-nyapu di bawah kerusi saya. Bagi petanda lah tu.

Paan masih belum muncul. Saya pun beredar dengan sebungkus teh o ais masih di tangan. Saya terdengar, kuliah maghrib sudah bermula. Saya yang pada mulanya ingin lepak di luar pagar masjid kembali masuk ke kawasan masjid. Saya teringat dalam kutbah Jumaat di Gombak yang lalu, Khatib ada menyatakan bahawa ketenangan boleh diperolehi dengan hanya mendengar ceramah di masjid. Saya cuba cari ketenangan itu.

Saya malas mahu masuk ke dalam masjid kerana sayang hendak membuang teh o ais saya yang masih separuh bungkus. Hendak dibawa sekali masuk dalam, saya segan. Jadi, saya hanya mencangkung di luar tingkap.

Orang yang lalu-lalang pasti menyangkakan saya kutu rayau atau penagih dadah. Dengan penampilan saya yang ber t-shirt RAMONES, jeans lusuh, selipar murah, dan beg galas usang. dilengkapi juga dengan sebungkus air teh o ais tersangkut di tangan. Tapi mungkin juga mereka tidak menyangka begitu kerana badan saya yang gemuk. Kegemukan saya telah menyelamatkan diri saya dari fitnah liar saya sangka.

Habis kuliah, Paan masih tidak muncul.

Jemaah masjid sudah mula bersiap untuk solat Isya'. Saya juga tidak sampai hati untuk tidak solat berjemaah. Saya membuang bungkusan air dan mula melangkah ke dalam masjid.

Ketika saya sampai ke muka pintu Masjid, seorang lelaki berkopiah putih menahan saya. Mungkin seorang India Muslim.

"Dik, abang nak mintak tolong, abang nak mintak sikit duit nak balik Klang. Abang saudara baru, baru masuk Islam..."

Sungguh manis budi bicara dia.

"Alamak bang, saya nak solat dulu bang, nak cepat ni." Saya bergegas pergi ke tempat mengambil wuduk.

"Oh, abang pun nak solat juga. Lepas solat adik boleh tolong?" Kata saudara itu sambil memusingkan kepala paip, seperti mahu memulakan ambil wuduk.

Saya terus berdiri tegak, dan berkata.

"Bang, bukan saya tak nak tolong... Tapi saya pun bukannya ada duit. Ni saya tengah tunggu kawan saya nak ambik saya balik naik motor. Dari tadi dia tak sampai-sampai. Macam mana?"

Saya cerita. Suku saya tipu. Dalam masjid pula tu.

Saudara tadi terus tutup paip, dan beredar. Dia tak jadi ambil wuduk. Cari orang lain pula agaknya.

Saya sambung ambil wuduk dan terus solat Isya' berjemaah.

Saya terfikir kembali, dalam masjid bukan sahaja boleh mencari ketenangan, tapi boleh juga mencari mangsa. Jika anda betul-betul berani lah. :)




3 ulasan:

Rizdiahk Nahraf berkata...

"Dik, abang nak mintak tolong, abang nak mintak sikit duit nak balik Klang. Abang saudara baru, baru masuk Islam..."

Brother tu pulak buat ayat kat aku:

"Dik, abg tengah tunggu kawan abang tak sampai2.Abg tengah takde duit lansung. Boleh tak abg pinjam"

hahahha..nasib baik aku kata.."saya tengah tunggu kawan saya untuk saya pinjam duit jugak" hahahaha

neway..im sory(gaya amir) datang lambat hahaha

honey berkata...

Suka la tulisan Bob..best.Teruskan menulis.:-)

abdul hadi berkata...

Paan : Kau pun sempat jumpa brader tu ke?

Nadya : thanx, ada jugak orang suka baca.. hehehe