Kutbah Jumaat siang tadi, yang disampaikan dengan penuh semangat oleh Ustaz Salehudin memang benar-benar menyentuh emosi saya.
Selalunya saya akan mengantuk, dan berkhayal ketika kutbah berkumandang. Tahap paling kurang asam adalah tertidur sambil kepala terangguk-angguk konon konon faham.
Tapi kali ini emosi saya tersentuh sehinggakan saya segar bugar. Bulu roma turut meremang. Pelbagai jenis emosi bercampur baur. Sedih, marah, semangat, takut, bersalah, bersyukur.
Setiap isi kutbah, setiap seruan jihad, setiap rayuan bantuan yang terlerai dari lidah Imam muda itu saya hayati, kunyah dan telan agar lekat di hati dan singgah di benak fikiran.
Ya Allah, sungguh hebat ujian Mu terhadap penghuni bumi bertuah itu.
Jika dibandingkan dengan segala kesusahan-kesusahan yang pernah saya tempuhi, ibarat tungau dan gergasi.
Seusai Jumaat, saya tunggu untuk turut serta solat hajat dan qunut nazilah. Ingin buat sendiri, saya tidak hafal. Maaf ya.
Hati ingin terus kesana berjihad bersama.
Apakandaya, kudrat dan kemampuan terbatas.
Jadi, saya lukiskan poster di atas sebagai luahan emosi dan sokongan.
Akan saya selit doa disetiap solat.
Akan saya sebarkan idea-idea sokongan.
Akan saya dermakan keuntungan (walau secebis).
Akan saya kumpul derma di Majlis Makan-Makan KHTH minggu hadapan.
Akan saya teruskan boikot di mana terdaya. (walau seketika dahulu pernah putus asa)
Walau ada suara yang berkata
"tak boleh, pasal semua itu tak berguna. takde kesan pun"
"alah, kalau aku sorang je yang boikot, tak jadi apa"
"nanti-nantilah boikot. sekarang tak boleh, pasal nak pakai"
"suka hati aku lah nak boikot ke tak"
"kalau kau nak boikot, ko boikot la. banyak lagi cara lain nak bantu"
"kalau boikot, nanti ada orang Islam yang hilang kerja"
Saudara-saudara sekalian...
Pakcik di atas, tidak pernah sempat merasa membawa cucu-cucunya bergembira makan malam di McDonalds.
Pakcik itu tidak pernah perlu keenakan kopi Starbucks untuk dia berjaga. Cukup dengan kerisauannya mendengar bedilan roket setiap hari.
Pakcik itu tidak pernah sempat merasa berjogging dengan kasut Tommy Hilfiger.
Pakcik itu tidak pernah merasa kehangatan mi Maggi ketika dia lapar di malam hari.
Walaupun sengsara, berhadapan kematian yang tersayang setiap hari, dia masih tabah. Dia masih berjuang untuk hidup. Dia masih percaya. Ya, keimanan itu harta yang mutlak.
Anak-anak syurga diatas, tidak pernah pun merasa Happy Meals.
Tidak pernah dibelai dengan losyen Johnson & Johnson.
Tidak akan pernah merasa masuk tadika... dan kenal cita-cita menjadi jurutera atau doktor.
Sebelum sempat mereka kenal dunia, Israel menyembelih mereka.
Israel semakin utuh dengan sumber ekonomi mereka, saban hari memperkosa hak ummat Palestin.
"nanti-nantilah boikot. sekarang tak boleh, pasal nak pakai"
Saudara, semua benda, tidak dihasilkan oleh satu sumber sahaja. Sentiasa ada gantian. Jangan tipu. Kita sudah dimomok-momokkan dengan jenama. Kita sudah dibaptiskan dengan kepercayaan bahawa sesetengah jenama itu adalah yang terbaik, tiada tandingan.
Inilah idea kapitalis yang membunuh saingan industri, terutamanya industri kecil dan tempatan.
"kalau boikot, nanti ada orang Islam yang hilang kerja"
Jawapan yang paling saya tidak boleh terima, terutama dari mulut orang Islam.
Kenalan-kenalan saya yang anarkis, nihilis, malah athies, juga mempercayai boikot adalah senjata saraf yang boleh menjatuhkan ekonomi kuasa-kuasa besar.
1948, British kerugian teruk akibat Hari Hartal, mogok di Tanah Melayu.
Saudara, sebagai Muslim, bukankah kita wajib percaya yang rezeki itu datangnya dari Allah? Bukan syarikat-syarikat kapitalis itu yang menjamin dan memberi rezeki. Sudah dijanjikan Allah. rezeki kepada kita selagi ada nyawa di muka bumi ini.
Ya, rezeki dari Allah! Jika anda percaya wujudnya Allah dan sifat-sifat Nya!
Maaf, saya sudah tidak tahan melihat anak kecil bersepai otaknya.
Sukahati saudara semua untuk memilih, kerana itu hak anda :)
Saya akan terus menghulur, berdoa, dan memboikot.
Panduan di sini
Viva la Palestina!
3 ulasan:
betul2...sokong2!!! tuhan turunkan rezeki, kita skadar berusaha dan berikhtiar...
ohh bob.. insaf diriku ini..
sedeynyeeee..mas dah setart memboikot apew yg termampu bob..
Catat Ulasan