Sabtu, 13 Jun 2009

Petang Jumaat yang tiada timbangrasa

Petang Jumaat minggu lepas saya tiba-tiba terasa sangat letih dan lapar.

Saya mula sedar yang saya sangat lapar hanya apabila keluar dari pejabat. Masa dalam pejabat, tak terasa lapar. Mungkin saya sudah terkena penyakit khayal berkerja.

Petang itu saya ikut dan Pokcik pergi ke Kuala Lumpur menaiki komuter. Pokcik nak pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur. Saya nak pulang ke tanah air saya di Negara Gombak. Dari dalam komuter lagi saya sudah terasa sangat letih dan lapar. Perut sudah mula mendendangkan lagu dangdut. Ini mungkin gara-gara hanya memakan tosei di tengahari. Mana tahan, perut Melayu obesiti seperti saya dengan tosei sahaja.

Sampai sahaja di stesyen Kuala Lumpur, saya berpisah dengan Pokcik. Saya berjalan bersendirian menuju ke Pasar Budaya untuk naik bas. Perjalanan ke Pasar Budaya terasa begitu berat kerana membawa dua biji komputer riba berjalan ternyata amat membebankan. Satu komputer saya, satu komputer pejabat. Sudahlah begitu, perut pun lapar. Masa seperti begini, saya memang tiada mood dan malas nak berfikir. Andai ada orang cuba merompak saya, memang orang itu silap besar. Masa beginilah saya akan mengamalkan ilmu persilatan sesat saya.

Sampai di Pasar Budaya, saya singgah dahulu di surau untuk solat Asar. Memang terasa sangat letih untuk naik tangga dengan beban sebegitu. Setiap langkah pasti akan disertai dengan pernafasan lesu yang tidak bermaya.

Hu.. Hu.. Hu..

Terasa seperti berzikir sufi pula. Saya pun tidak faham sangat fasal zikir hu ni. Saya main cakap sahaja.

Setelah selesai solat, saya pun bergerak keluar untuk menaiki bas ke negara Gombak. Saya berjalan dengan perut yang masih bersenandung. setiap langkah terasa sangat berat. Irama lagu yang keluar dari earfon saya masih tidak berjaya menghilangkan rasa lapar. Saya ternampak satu pemandangan yang agak menggiurkan. Saya tiba-tiba berselera.

Ada orang jual jagung rebus, dan ada orang jual keropok lekor. Mulut saya terkecur tiba-tiba. Wujud konflik dalaman untuk saya memilih sama ada jagung atau keropok lekor. Dan menggunakan penaakulan mantik saya yang masih tajam, keropok lekor menjadi pilihan.



Saya membeli keropok lekor seringgit dan duduk di bawah pokok sambil menanti bas tiba.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya mula mengunyah keropok lekor yang menggugat nafsu saya tadi.

Perghhh! Tak sedap langsung!

Ternyata penaakulan mantik saya tidak boleh dipercayai.

Tapi saya sebagai seorang yang tidak suka amalan membazir, menghabiskan sahaja keropok lekor itu sambil merungut dalam hati. Saya cek duit dalam dompet. Nak asingkan duit untuk tambang. Nasib baik masih ada duit.

Tiba-tiba datang seorang lelaki berjumpa saya

"Bang, saya nak mintak tolong bang, saya tak cukup 60 sen je lagi nak naik bas."

Seorang lelaki muda dalam lingkungan awal 20an.

"Gua tinggal seringgit je brader.."

Saya jawab dengan nada rockers.

Memang betul saya sudah tiada duit. Walaupun saya berpakaian kemas ala-ala pejabat waktu itu, saya masih miskin. Saya hanya ada RM2 untuk tambang bas, dan RM1 dalam bentuk duit syiling dua posen dua posen. Kalau saya tidak letih dan lapar, saya sanggup mengorek duit syiling saya untuk diberi pada saudara itu. Tapi saudara itu silap masa.

Saya memang tidak bertimbangrasa langsung pada petang itu.

Bas sampai, saya terun mengangkat buntut naik bas. Saya pilih kerusi solo yang paling sedap. Saya terus duduk dan kembali mendengar lagu dari telefon bimbit. Saat-saat sebegini, tak berselera langsung saya hendak mendengar lagu dangdut dari bas Metro. Saya sengaja pilih kerusi solo supaya tiada orang menganggu keperdudukan saya.

Ketika bas sampai di kawasan SOGO, lebih ramai orang memenuhi bas. Tapi satu orang pun saya tak pelawa untuk duduk di kerusi saya. Tak kiralah orang tua ke, awek cun ke, kanak-kanak ke, semua saya pedulikan. Saya hanya duduk melayan lagu dan perasaan.

Saya memang tidak bertimbangrasa langsung pada petang itu.

Sampai sahaja di Negara Gombak, saya terus berjalan menuju ke rumah. Selalunya perjalanan hanya mengambil masa satu lagu sahaja. Tapi kali ini dua lagu sampai habis. Mungkin kerana keletihan dan kelaparan, gerak geri langkah menjadi sangat perlahan. Sampai sahaja di rumah, saya terus mandi dan makan nasi. Setelah itu saya duduk dihadapan televisyen.

Cicak menelefon saya. Malam itu ada Mesyuarat Jumaat.

Tiba-tiba saya kembali menjadi bertimbangrasa. Hilang segala keletihan dan kelesuan... :)



Jumaat, 12 Jun 2009

Mesyuarat pagi Jumaat. Terkedu di tengahari

Kalau dahulu masa saya menganggur, saya selalu menghadiri Majlis Mesyuarat Jumaat. Tapi hari Jumaat yang lalu, tiba-tiba ada mesyuarat tergempar untuk kumpulan projek kami di pagi Jumaat. Agak lama juga mesyuarat itu. Bukan satu mesyuarat, tapi dua! Habis sahaja mesyuarat pertama, terus disambung dengan mesyuarat kedua. Saya yang memang mengamalkan gaya hidup tanpa sarapan sudah mula terasa kebulur. Perut pun ada getar-getar sikit.

Nasib baik hari itu kena Solat Jumaat. Mesyuarat Bos besar tamatkan pada jam 1.10pm. Ikmal terus mengajak saya pergi solat Jumaat. Kalau nak makan dulu memang tak sempat lah, Dah suntuk sangat. Kami ingin mencuba solat jumaat di surau bomba Cyberjaya. Surau itu ada buat solat Jumaat. Kami yang dalam keadaan lapar pun pergi ke balai bomba itu. Orang gaka ramai dan mula berpusu-pusu. Masuk sahaja ke pagar balai, saya ternampak sesuatu yang mencurigakan.


Di surau itu ada disediakan makanan seperti biskut bertin-tin, buah-buahan sperti tembikai dan nenas. Air pun ada. Bukan sejenis beb, ada air milo ais, ada oren, ada air mangga. Biskut pun bukan bodoh-bodoh punya biskut. Ada biskut krim, ada biskut coklat, ada wafer kampungan.

Pergh... Indah... Terasa indah...

Ketika orang lain berpusu-pusu nak mengambil wuduk, saya berpusu-pusu nak makan biskut. Memang masyuk... Makan biskut, wafer kekampungan dan minum milo ais. Rasa macam terjumpa oasis di padang pasir. Sebelah tangan pegan biskut, sebelah tangan pegang milo, mulut pula gigit wafer... Agak buruk rupa juga saya waktu itu. Peduli apa.

Selepas tersendawa, barulah ada semangat nak ambil wuduk. Ketika saya sedang beratur untuk mengambil wuduk, satu kejadian telah membuat saya terkedu.

Saya terperasan dari jauh ada dua orang perempuan masuk ke dalam kawasan balai. Saya sangkakan perempuan muda baby-t dan berjeans potongan ketat itu mahu makan biskut seperti saya. Rupa-rupanya terus masuk dan duduk di alam saf. Duduk mendengar kutbah Jumaat. Bila saya perhatikan betul-betul, baru saya perasan.

Lah, mak nyah rupanya!

Ini bukan biasa-biasa punya mak nyah. Ini mak nyah yang sudah ada payu dara! Sekali pandang memang tak perasan beb. Tak terperanjat abang yang di sebelah? Saya tengok ada juga brader-brader yang pandang serong. Memang agak serong lah mata brader tu. Saya rasa ini pertama kali saya tengok mak nyah solat Jumaat. Rosemarie pun saya syak tak pernah pergi. Pemalas mak nyah sorang tu.

Lepas solat Jumaat, Ikmal dan saya pergi kedai mamak dengan tujuan nak makan tengahari secara aman. Ikmal makan nasi kandar. Saya makan tosei sahaja pasal kenyang makan wafer dan biskut tadi. :)

Lah,

Berkerja memang letih ke?


Semenjak bekerja, saya sudah mula hidup mengikut aturan alam. Tidur awal, lepas Subuh dah tak tidur balik. Takut terlajak. Ada juga terasa rindu dengan aktiviti merayau malam, rindu dengan Majlis Mesyuarat Jumaat. Tapi hujung minggu masih ada. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Jumaat pun memahami dan menyokong tindakan saya yang berhijrah keluar dari Gombak untuk mencari rezeki. Janji, ada masa kita sambung mesyuarat.

Hari-hari pergi kerja, mesti ada kerja. Kalau dulu masa saya kerja juruteknik, saya lebih banyak bergerak dan pergi memperbaiki komputer. Sekaran, saya lebih banyak memerap dalam pejabat, memerah otak. Banyak nak kena baca, kena buat analisa, kena buat terjemahan. Banyak mesyuarat juga. Berbeza dengan Majlis Mesyuarat Jumaat juga ya. Masa mesyuarat kena betul-betul tumpu perhatian. Kena catit nota. Takut nanti ada yang tak faham. Mesyuarat kalau pejabat punya, tak ada makan-makan macam mesyuarat kerajaan. Kalaua mesyuarat kerajaan syok sikit. Selalunya ada karipap.

Awal-awal dulu agak semeheh juga duduk dalam pejabat ni. Bosan betul. Tak ada gadis untuk menyedap mata memandang. Kalau nak usya gadis, kena tunggu waktu makan tengahari. Itu pun kena betul dengan masa. Kalau terturun awal pun tiada gadis juga. Tapi baru tahu rupanya masih ada gadis cun dalam pejabat. Tak tahu awal-awal sebab masa tu dia kena kerja luar. Sekarang pula dia asyik ada dalam pejabat. Duduk depan mata saya pula tu. Adakah ini rezeki atau jodoh? Saya malas nak fikir sangat. Yang penting sedap mata memandang. Tapi saya masih juga usya-usya gadis-gadis di kafeteria waktu makan tengahari.

Kerja banyak, kerja pula kena buat betul-betul. Tak boleh dah nak hentam keromo. Tak professional la macam tu. Alhamdulillah, saya tak bosan dengan kerja sebegini. cuma letih sahaja. Tidur pun dah selalu awal. Paling melampau macam siang tadi. Sampai rumah, saya solat Asar kejap. Lepas tu, konon-konon nak main internet, nak usik-suik blog sikit sambil menanti waktu Maghrib. Tau-tau saya dah pengsan. Jam 4.00am baru bangun. Maghrib pun sudah entah kemana.

Antara benda yang paling jarang saya buat, tapi saya kena buat sekarang adalah menggosok baju dan seluar. Apa boleh buat, bidang kerja seperti saya sekarang ini memang kena berpakaian kemas. Har-hari kena pakai kemeja dan seluar slek. Kasut pun kasut kulit sahaja. Tali leher, walau tak pakai hari-hari, tapi kena sentiasa sedia bawa. Takut kena jumpa orang luar dan tiba-tiba ada mesyuarat dengan orang besar Kerajaan. Memang lari dari gaya kehidupan saya yang biasa. Kepada sesiapa yang mengenali saya, mesti terkejut beruk kalau terserempak saya di waktu pejabat. Ha ha ha!

Oh ya, saya sudah makin pakar membancuh air Nescafe sendiri....

Selasa, 9 Jun 2009

Seksis?

Ini tandas kawasan pejabat saya...



Kiri tandas perempuan, kanan tandas lelaki. Apa bezanya?

Di mana keadilan dan hak samarata?

Siapa yang mesti bertanggungjawab ni?

Mana pergi Menteri Hal Ehwal Lelaki?

Hari pertama bergelar pekerja

Saya bangun awal pada hari itu. Tak sabar-sabar rasanya nak mula berkerja. Saya bangun sebelum penggera telefon bimbit saya sempat berbunyi. Begitu mudah saya membuka mata dan menggeliat. Ada sedikit rasa malas, tapi saya terajang perasaan itu masuk ke bilik Daus. Biar Daus sahaja yang malas.

Saya solat Subuh dahulu baru mandi. Maklumla, nak kasi keadaan badan bersedia sebelum dicurahi dengan kesejukan air pancut rumah kondominium mewah atas bukit ni. Kalau belum bersedia, boleh terencat semua urat saraf dibuatnya.

Walaupun saya sudah bekerjaya, namun saya masih belum mampu untuk meletak jawatan sebagai pejalan kaki tegar. Saya masih tiada kenderaan beroda, melainkan tempat gantung baju beroda. Pagi itu Pokcik memecut laju menghantar saya. Pokcik memecut kerana tidak mahu ketinggalan makan sarapan percuma di tempat dia kursus.

Sampai sahaja di pejabat, saya terpaksa menunggu orang lain membukakan pintu. Saya masih belum ada kata kekunci dan cap jari saya masih belum direkodkan. Oh ya, pejabat saya canggih kerana mempunyai sistem biometrik sebagai kunci pintu. Saya risau juga kerana takut jika ada penjenayah atau musuh syarikat yang akan memotong jari saya kelak. Macam mana saya nak makan nasi gaya Melayu?



Sampai sahaja, Ikmal, rakan sekerja saya yang sama-sama melapor diri pada hari itu sudah duduk menanti bersendirian. Kami menanti pengurus sumber manusia yang agak lewat pada pagi itu. Sambil menanti pengurus itu sampai, kami sempat membaca berita semalam. Surat khabar baru masih belum sampai.

Setelah suai kenal, kami diletakkan di bawah penyelia masing-masing. Kami dimasukkan ke dalam kumpulan kerja yang berbeza. Tapi masih di bawah satu projek yang sama. Maklumlah, bidang kami lain-lain. Kami pun makan tengahari bersama sebelum kami mula diterangkan dengan lebih lanjut mengenai tugas-tugas kami. Awal betul kami makan pada hari itu. Pukul 11.30am. Terkejut juga lah perut saya. Tapi saya tetap utuh.

Setelah makan, saya diberikan sebuah komputer riba untuk kegunaan saya. Terasa kagum pula kerana mendapat subsidi seperti sedemikian. Saya terus diterangkan oleh ketua saya mengenai apa yang saya perlu selesaikan di peringkat awal projek ini. Saya dengar sambil mengangguk dan dahi agak dikerutkan tanda mendengar dengan serius.

Saya menyambung tugasan awal saya membuat analisa dan mengkaji situasi. Agak bosan juga kerana sebenarnya saya masih kabur dan terpinga-pinga. Pejabat itu juga sangat sunyi dan tiada bunyi lain kecuali bunyi kerja seperti orang menjawab telefon dan memicit papan kekunci. Yang paling bosan ialah tiada langsung gadis cun untuk saya mencuci mata. Wanita yang ada pun sudah mengandung atau sudah berumur. Kebanyakannya bertaraf isteri orang. Saya tidak akan menganggu isteri orang,

Sampai ke petang lah saya beraksi tekun di depan komputer. Nak berair mata rasanya. Akhirnya, jam 5.30, kami pun keluar dari pejabat untuk pulang. Seperti biasa, Pokcik memecut mengangkut saya.

Sampai sahaja di rumah kami, saya bercadang untuk menulis blog. Tapi saya lebih banyak berborak dengan Daus. Malam itu saya hanya makan roti disapu majerin. Tak berselera nk makan di kedai. Letih sangat rasanya. Lepas solat Isya' jam 9.00pm, saya terus pengsan di atas tilam yang empuk... Saya terasa letih ibarat atlit olimpik. He he he




Angan tak sudah atau bukan?



Saya nak jadi penulis yang rajin, menulis walau dalam apa sahaja keadaan. Apa masalahnya menulis? Kalau dah handal, macam mana pun, mesti ada idea punya. Hanya pemalas sahaja yang akan menyelitkan pelbagai alasan. Tidak kira lah alasan itu bijak atau tidak. Alasan tetap adalah senjata utama pemalas dan penipu.

Tak kira lah dah kerja ke, dah berumahtangga ke, dah pindah rumah ke, dah cacat tubuh ke...

Kalau mahu pasti mampu!

Tapi...

Itu semua hanyalah sumpah keramat sebelum melangkah ke alam bekerjaya.

Sekarang?

Semenjak kerja... tercungap-cungap saya nak membahagi masa. Saya masih belum dapat mengatur masa saya berbanding ketika masih memegang jawatan penganggur tepu pada bulan-bulan yang lalu.

Sekarang, lepas subuh tu dah kena siap-siap nak pergi kerja. Kalau dulu, lepas subuh tu la bar nak tidur.

Sekarang, kadang-kadang jam 9.30pm saya dah terlelap. Kalau dulu, pukul 9.30pm lah saya baru bersiap-siap nak keluar merayau.

Dulu, buka mata sahaja sudah mahu sentuh komputer. Bila dah kerja ni, komputer sendiri pun rasa malas-malas nak usik. Dah letih menghadap komputer.

Saya akan cuba memastikan saya masih menulis. Menaip sebenarnya. Kenapa ya? Kenapa masih digunakan istilah 'penulis' sedangkan sekarang sedang menaip. Sepatutnya 'penaip' lah kan? Ahh! suka hati lah...