Memaparkan catatan dengan label masjid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masjid. Papar semua catatan

Jumaat, 22 Julai 2011

Saya Dan Selipar Wakaf

30 Ogos, 2004

Ketika itu, masih belum bersara lagi dari bidang anarkis. Liar dan tak banyak fikir. 

Malam itu, saya menyambut kemerdekaan di sebuah parti persendirian kelolaan Isham Rais Tukar Tiub di atas bumbung bangunan Malaysiakini, Bangsar.

Sebelum ke Bangsar, saya bertemu Din Gemuk (sekarang sudah kurus) dan Faisal Dhani dahulu di Pasar Seni. Dari Pasar Seni, kami mengambil tren ke Bangsar. Sampai sahaja di Bangsar, selipar yang saya pakai putus. Ya, sampai sekarang saya masih suka berselipar untuk merayau.

Oleh kerana leceh berjalan dengan selipar putus, maka kami pun berikhtiar. Akan tetapi, kami di Bangsar. Di bangsar mana ada kedai menjual selipar murah. Menjelang malam kemerdekaan pula tu. Murah pada istilah saya pada masa itu adalah bawah RM5. 

Sambil berjalan ditemani Din Gemuk, kami ternampak ada orang ramai sedang beratur di tepi sebuah pasar mini. Oh, mahu mengambil wuduk rupanya. Tanpa disangka, ada surau kecil di tepi pasar mini itu. Saya pandang muka Din Gemuk, Din Gemuk sengih dan buat muka ada idea.

Kemudian kami berjalan kembali ke arah bangunan Malaysiakini. Saya secara tiba-tiba sudah ada selipar baru. Tapi ada kerat di belah muncung selipar. Apa tandanya?

15 Julai 2011

Saya mengikut Iman solat Jumaat di Masjid Besi Putrajaya. Setelah selesai solat, saya berjalan pantas hendak keluar masjid.

Saya berdiri runsing di muka tangga masjid. Selipar saya hilang! Bagaimana saya nak pulang ke pejabat? Kaki ayam? Putrajaya  dan Cyberjaya ni bukan macam zaman dulu-dulu. Panas dia boleh cair tapak kaki dibuatnya. Saya menanti, dan kemudian berjalan hampir keliling masjid, mencari selipar. Berguni harapan palsu saya berikan pada hati sendiri.

Puar berpusing, saya kecewa. Selipar masih tak jumpa. Iman turut menunjukkan simpati dengan wajah sugul bermisai beliau. Saya tidak lekas marah dan putus asa. Satu idea bijak muncul, sesuai dengan kadar IQ saya yang tinggi. Adakah saya akan bertindak untuk merembat mana-mana selipar orang lain?

Tidak.

Saya menghampiri seorang petugas masjid, bertanya jika ada selipar lebih di masjid yang boleh dipinjam. Alhamdulillah, nasib saya baik. Kakak petugas masjid itu menunjukkan beberapa selipar yang saya boleh pinjam untuk pulang ke pejabat. 

"Nanti bila-bila, pulangkan lah ya" Kakak itu berpesan pada saya. Saya pegang kata-kata itu sebagai janji. Nampak tak, perbezaan gaya fikiran saya sekarang? Pengalaman telah berjaya mendewasakan saya, menjadikan saya lebih budiman. Jadi, esok saya akan pulangkan selipar yang dipinjam minggu lepas itu.

Apa jadi dengan selipar surau tahun 2004?

Saya pernah cuba untuk memulangkan selipar itu di Bangsar pada tahun 2009, ketika saya sudah ada kereta sendiri. Tapi malangnya, surau dan pasar mini itu sudah tidak wujud lagi. Saya simpan sahaja dalam bonet kereta. Sehingga pada dua minggu lepas, saya beri binjam selipar itu kepada Paan Astena, kerana dia tiada selipar untuk pergi berenang selepas kerja.

Pada pendapat anda, apa seharusnya saya lakukan dengan selipar kerat muncung itu?


Selasa, 26 Mei 2009

Ketenangan ada jual kat mana?

Setelah habis menonton tayangan Gadoh petang Jumaat itu, Kami pun meninggalkan dewan tayangan itu dengan saguhati masing-masing. Kami semua dapat DVD dan stiker percuma.

Saya meminta Faris dan Zul menghantar saya ke masjid luar pagar Universiti Malaya. Ini kerana saya mahu berjumpa dengan Paan. Kami akan bersama-sama untuk pertama kali menyertai perjumpaan kumpulan teater Kelab Kilat. Mereka akan berjumpa di Bangsar. Jadi, saya rasa masjid itu adalah titik pertemuan yang paling sesuai kerana ia terletak berhampiran TNB Bangsar, saya masih belum solat Maghrib, dan saya lapar.

Di sebelah Masjid itu ada sati gerai makan. Setelah solat Maghrib, saya terus pergi ke gerai untuk mengisi perut. Dengan selipar yang masih basah-basah sebab mengambil wuduk tadi, saya terhenti di hadapan gerai.

Tapi sayang sekali, gerai itu sudah mula dikemas-kemas seperti nak tutup. Kerusi sudah mula disusun dan meja sudah mula dilipat. Saya hampir takut kebuluran. Saya mula memujuk hati supaya bertindak dengan rasional. Saya gunakan kemahiran penaakulan yang ada. Saya perhatikan tempat masak burger masih lagi belum kemas.

"Bang, burger ada lagi?"

"Ada, nak ke?"

"Double special satu!"

Rakus sungguh bunyinya. Mungkin terpengaruh dengan hasutan nafsu. Tidak cukup dengan itu, saya juga memesan sebungkus teh o ais. Memang sesuai dinikmati bersama. Nafas mula deras mendengus melalui hidung ketika asyik menyedut teh o ais.

Setelah menelan ketulan burger terakhir, saya pun beredar dari gerai. Kerana abang gerai itu sudah mula menyapu-nyapu di bawah kerusi saya. Bagi petanda lah tu.

Paan masih belum muncul. Saya pun beredar dengan sebungkus teh o ais masih di tangan. Saya terdengar, kuliah maghrib sudah bermula. Saya yang pada mulanya ingin lepak di luar pagar masjid kembali masuk ke kawasan masjid. Saya teringat dalam kutbah Jumaat di Gombak yang lalu, Khatib ada menyatakan bahawa ketenangan boleh diperolehi dengan hanya mendengar ceramah di masjid. Saya cuba cari ketenangan itu.

Saya malas mahu masuk ke dalam masjid kerana sayang hendak membuang teh o ais saya yang masih separuh bungkus. Hendak dibawa sekali masuk dalam, saya segan. Jadi, saya hanya mencangkung di luar tingkap.

Orang yang lalu-lalang pasti menyangkakan saya kutu rayau atau penagih dadah. Dengan penampilan saya yang ber t-shirt RAMONES, jeans lusuh, selipar murah, dan beg galas usang. dilengkapi juga dengan sebungkus air teh o ais tersangkut di tangan. Tapi mungkin juga mereka tidak menyangka begitu kerana badan saya yang gemuk. Kegemukan saya telah menyelamatkan diri saya dari fitnah liar saya sangka.

Habis kuliah, Paan masih tidak muncul.

Jemaah masjid sudah mula bersiap untuk solat Isya'. Saya juga tidak sampai hati untuk tidak solat berjemaah. Saya membuang bungkusan air dan mula melangkah ke dalam masjid.

Ketika saya sampai ke muka pintu Masjid, seorang lelaki berkopiah putih menahan saya. Mungkin seorang India Muslim.

"Dik, abang nak mintak tolong, abang nak mintak sikit duit nak balik Klang. Abang saudara baru, baru masuk Islam..."

Sungguh manis budi bicara dia.

"Alamak bang, saya nak solat dulu bang, nak cepat ni." Saya bergegas pergi ke tempat mengambil wuduk.

"Oh, abang pun nak solat juga. Lepas solat adik boleh tolong?" Kata saudara itu sambil memusingkan kepala paip, seperti mahu memulakan ambil wuduk.

Saya terus berdiri tegak, dan berkata.

"Bang, bukan saya tak nak tolong... Tapi saya pun bukannya ada duit. Ni saya tengah tunggu kawan saya nak ambik saya balik naik motor. Dari tadi dia tak sampai-sampai. Macam mana?"

Saya cerita. Suku saya tipu. Dalam masjid pula tu.

Saudara tadi terus tutup paip, dan beredar. Dia tak jadi ambil wuduk. Cari orang lain pula agaknya.

Saya sambung ambil wuduk dan terus solat Isya' berjemaah.

Saya terfikir kembali, dalam masjid bukan sahaja boleh mencari ketenangan, tapi boleh juga mencari mangsa. Jika anda betul-betul berani lah. :)




Khamis, 25 September 2008

Berbuka di masjid Uniten di hari terakhir...


Malam tadi adalah malam yang terakhir bagi saya menyertai jemaah berbuka puasa di Masjid Uniten. Ada 3 sebab kenapa.

1) Esok saya balik Gombak
2) Esok sudah tiada majlis berbuka di Masjid
3) Ini semester terakhir saya di Uniten... huhuhu

Jadi, saya bersama ahli-ahli jemaah tetap berbuka, menikmati lauk hari ini dengan penuh kecapan nikmat dan rasa anugerah. Setiap kunyahan dinikmati dan setiap butir nasi yang hancur ditelan dengan perlahan. Setiap teguk air dibiarkan mengalir perlahan mendinginkan kerongkong.

Setelah siap makan, kami tidak bingkas bangun mencuci tangan, malah duduk diam sebentar melayan perasaan diam sebentar sambil menanti lega sengkak ruang perut.

Habis sahaja solat Maghrib, kami kembali turun ke dewan makan. Di bawah, kami berjumpa kembali dengan Imam Syafee (Baba) yang menjadi teman karib dan juga ibarat ayah angkat saya di Masjid Uniten ini.

"Ini anak angkat saya, tapi nak angkat kena pakai kren"

Seloroh beliau memang tidak pernah henti, tak mengira masa dan tempat. Sudah hampir 3 tahun saya kenal beliau, hubungan kami masih mesra, walau selalunya hanya berjumpa di bulan Ramadhan... Kami bersalam raya dan berpelukan sebelum pulang. Agak susah untuk bertemu dengan seorang pendakwah dan imam seperti beliau. Semoga saya berkesempatan berjumpa beliau di lain kali...

Sekian...


Selasa, 9 September 2008

Jenaka setelah berbuka


Setelah kenyang berbuka di dewan utama masjid, saya bersama Zul (bukan Zul koir) dan Ammzar naik ke tingkat atas untuk mengangkat wuduk dan solat maghrib. Dengan tangan yang masih belum berbasuh, dialog ini pun tercetus.


Ammzar : Puasa sekarang ni sejuk la pulak, senang lapar.

Zul : Ada member aku, lapar dia tahan, haus pun dia tahan, tapi satu je dia tak tahan.

Ammzar : Apa dia?

Zul : Dia tak tahan nak korek hidung! dia kata, kalau tak korek hidung, tak puas.. hahahaha

Hadi : Eh, tapi sebenarnya korek hidung boleh je la... tak batal pun

Ammzar : Ha'ah, pasal korek hidung pun banyak gak orang kata tak batal.

Hadi : Tapi, jangan la pulak masuk tiub kat hidung, pastu masukkan makanan.. masukkan nasik ke, memang lah batal..

Zul : Aku rasa kalau nak senang, masukkan yogurt je... kenyang jugak... hahahaha!

Ammzar : Tapi kalau nasik terkeluar ikut hidung macam mana ha?

Hadi : Huih! pedih tu, mau nya yang ada sambal... hahahahahaha!

Isnin, 8 September 2008

Berbuka di masjid? yum yum



Ya, di bulan Ramadhan yang mulia ini, Masjid mula menerima kedatangan saya dan beberapa ahli rumah yang lain dengan lebih kerap. Berbuka di Masjid sudah menjadi aktiviti utama bulan Ramadhan kepada saya untuk sepanjang 3 tahun saya di Uniten.


Akibat dari berbuka di Masjid, Baba, salah seorang imam dan pegawai agama di Masjid Uniten sudah menjadi sahabat saya dan selalu berbual dan bergurau dengan saya sambil menanti waktu untuk berbuka. Beliau adalah salah seorang orang agama yang agak lain dari yang lain.


Aktiviti ini amat saya sokong kerana, bukan sahaja dapat mengimarahkan Masjid, malah ia dapat menjamin kestabilan ekonomi poket saya. Maklumlah, makan percuma. Bukannya senang dapat berjimat ketika belajar di Uniten ini. Saya bersama setiausaha ekonomi dan kebajikan saya, Ammzar memang menjadikan ini sebagai aktiviti tetap kami untuk berbuka, melainkan ada rancangan lain. Apa-apa pun, Bismillahirrahmanirrahim... :)