Khamis, 25 September 2008

Berbuka di masjid Uniten di hari terakhir...


Malam tadi adalah malam yang terakhir bagi saya menyertai jemaah berbuka puasa di Masjid Uniten. Ada 3 sebab kenapa.

1) Esok saya balik Gombak
2) Esok sudah tiada majlis berbuka di Masjid
3) Ini semester terakhir saya di Uniten... huhuhu

Jadi, saya bersama ahli-ahli jemaah tetap berbuka, menikmati lauk hari ini dengan penuh kecapan nikmat dan rasa anugerah. Setiap kunyahan dinikmati dan setiap butir nasi yang hancur ditelan dengan perlahan. Setiap teguk air dibiarkan mengalir perlahan mendinginkan kerongkong.

Setelah siap makan, kami tidak bingkas bangun mencuci tangan, malah duduk diam sebentar melayan perasaan diam sebentar sambil menanti lega sengkak ruang perut.

Habis sahaja solat Maghrib, kami kembali turun ke dewan makan. Di bawah, kami berjumpa kembali dengan Imam Syafee (Baba) yang menjadi teman karib dan juga ibarat ayah angkat saya di Masjid Uniten ini.

"Ini anak angkat saya, tapi nak angkat kena pakai kren"

Seloroh beliau memang tidak pernah henti, tak mengira masa dan tempat. Sudah hampir 3 tahun saya kenal beliau, hubungan kami masih mesra, walau selalunya hanya berjumpa di bulan Ramadhan... Kami bersalam raya dan berpelukan sebelum pulang. Agak susah untuk bertemu dengan seorang pendakwah dan imam seperti beliau. Semoga saya berkesempatan berjumpa beliau di lain kali...

Sekian...


Tiada ulasan: