27 likur...
Maaf, saya bukan bercerita mengenai malam 27 likur di mana berkemungkinan diturunkan malam seribu malam yakni, malam lailatul qadar, di mana setiap yang berjaga dan berdoa pada malam itu, berkemungkinan besar untuk doa mereka ditunaikan.
Saya juga berjaga pada malam itu, dan berdoa. Doa saya agar saya mendapat RM 10 juta tunai dan dipinang oleh Jang Nara, akan tetapi nampaknya doa saya memang masih tidak tertunai. Mungkin doa saya masih belum diberkati atau saya masih bukan orang suci.. huhuhu.
Pada 27 Ramadhan yang lalu, alang-alang kami (saya, Zul dan Asrina) ingin pulang ke rumah, kami mengambil kesempatan untuk merayau-rayau di kompleks membeli-belah terkemuka bagi melihat kerancakan warga-warga kota untuk persiapan raya dan suasana meriah menjelang Syawal di kotaraya.
Pada awalnya, kami pergi ke Midvalley Megamall, akan tetapi, kesesakan yang ultra melampau dan ketiadaan tempat letak kereta, kami beredar dengan dengusan kehampaan pergi mencari kompleks urban terkemuka yang lain. Zul terus memacu Kelisa Manjanya menuju ke daerah Petaling Jaya untuk pergi ke kompleks One Utama. “Tak mainlah kompleks-kompleks picisan murah-murah” kata Zul yang perasan kaya.
Di One Utama, agak padat juga, akan tetapi masih ada ruang untuk kami meletakkan kenderaan. Setelah masuk sahaja ke dalam, kami terus masuk ke selinap butik-butik yang ada untuk mencuci mata dan berangan-angan. Maklumlah, masing-masing memang sengkek tak ingat punya, tapi masih ada hati nak merayau.
Saya tidak mencuci mata melihat gadis-gadis kali ini kerana saya tidak mahu pahala puasa saya berkurang, dan juga kerana Asrina ada ikut saya. Kami sempat bertembung dengan keluarga Puan Siti Fatimah (Cikgu AF) bersama anak-anak dara beliau, Syarifah Amani dan dua lagi yang kecil-kecil saya tak ingat nama. Asrina yang teruja ingin bergambar bersama mereka akan tetapi saya nasihatkan tidak kerana tak elok menganggu keluarga orang sedang bersenang-lenang membeli-belah.
Saya juga menasihatkan begitu kerana risau nanti Zul akan mengurat Puan Siti Fatimah. Kan leceh nanti kami dituduh penyumbangleweng di kawasan urban itu. Jatuhlah kredibiliti saya sebagai egois bergaya yang menjaga maruah. Lagipun kami terlalu pokai untuk membayar wang jaminan jika ada di antara kami yang ditangkap polis.
Kami meneruskan kembara cuci mata kami ke dalam butik-butik dan juga mencuba beberapa pakaian. Memang banyak juga pakaian yang menarik untuk dibeli, Cuma nilai matawang kami sahaja yang tidak menarik.
Kami sempat singgah di satu butik yang ada menjual kasut berjenama Macbeth. Ya, saya memang berminat dengan jenama itu. Lebih-lebih lagi setelah Amir dengan penuh lagaknya telah membeli sepasan dan memberi saya mencubanya. Baru lah ‘emo vegan trendy’ babeh! Saya terliur dengan sepasang yang berwarna kelabu. Kali inti saya tidak memilih hitam kerana yang berwarna hitam tidak menarik. Saya terus menyambung angan-angan dan meletak kembali kasut itu setelah puas memegang dan membelek-belek. Nanti bila saya sudah bekerja, saya akan beli kasut itu dan memijak kaki Amir.
Setelah puas merayau, kami melihat-lihat keliling kompleks. Akan tetapi, seperti kurang meriah suasana menjelang Syawal di One Utama. Ketika saya masih kanak-kanak belum mumayiz dulu, pasti sudah banyak lagu-lagu raya antaranya dendangan DJ Dave berkumandang dan banyak kad-kad raya gergasi dan ketupat-ketupat gergasi menghiasi sekitar kompleks. Kali ini, kad raya biasa pun saya tidak jumpa.
Setelah puasa merayau, berangan, dan mencuci mata, kami pun bergerak keluar untuk pulang… he he he he.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan