Sabtu, 6 Ogos 2011

Kisah brader misteri tingkat 5: Bahagian II

Saya ada janji mahu lepak berborak malam itu. Sebelum solat maghrib, saya sudah siap mandi.

Setelah usai solat, macam rutin biasa, doedoran disembur, dan pakaian lepak disarung. Selalunya seluar jeans dan kemeja-t. Semestinya tanpa kolar. Saya tidak memilih sangat aspek pemakaian. Asalkan nampak remaja dan tidak berbau.

Bercermin pun ala kadar, semata-mata untuk melaraskan susur atur rambut.

Setelah puas dengan penampilan remaja bebas, selipar disarung dan pintu rumah dikunci. Keselamatan rumah senantiasa penting dalam kehidupan, berikutan indeks jenayah yang kian meningkat.

Seperti lumrah manusia biasa, masuk sahaja dalam lif, saya bersandar di dinding belakang sekali, dan memandang pintu lif. Bersendirian dalam lif, saya memikirkan sedikit tentang masa hadapan. Tiba-tiba, lif berhenti di tingkat 5. Pintu lif terbuka dengan kelajuan sederhana.

Brader misteri yang saya tegur beberapa minggu yang lalu muncul dan masuk ke dalam. Sikit pun saya tak jangka kehadiran beliau.Tergamam seketika. 

Brader itu masuk, memandang saya sekali imbas. Saya melemparkan senyuman mesra, brader itu angguk kepala lalu kembali berdiri menghadap pintu lif.

Saya menghela nafas lega, tapi tak lama.

Beberapa saat kemudian, brader misteri itu menoleh kembali kepada saya. Matanya merenung tajam ke arah kemeja-t saya. Kemeja-t hitam dengan logo besar kugiran Earth Wind & Fire.

"Eh, ini lambang Firaun ni kan?" Brader itu berkata, dengan nada serius. Sambil menunjuk ke arah gambar di kemeja-t saya. Brader itu yang masih mengekalkan riak wajah serius memandang muka saya. 


Saya masih mengekalkan riak wajah manis, sambil cuba menjawab "Eh, bukanlah bang. Lain ni. Ini..."

"Betul lah ni.. lambang Firaun ni!" 

Tak sempat saya membela diri, brader itu sudah menambahkan pendakwaannya. Saya terkelu.

"Ting!"

Lif sampai tingkat bawah. Lantas brader misteri meninggalkan saya terkebil-kebil seorang diri.

Bersambung...

Jumaat, 5 Ogos 2011

Kisah brader misteri tingkat 5: Bahagian I

Sebagai manusia, adalah menjadi lumrah untuk kita tidak bersendirian. Apatah lagi dalam keadaan hidup berjiran. Melainkan kita mahu menjadi kera sumbang. Itu sukahati anda lah kan.

Pada suatu hari, saya baru pulang dari kerja. Walaupun jam baru pukul 6.30pm, tapi langit sangat gelap dan angin menderu kencang. Saya mempercepatkan langkah dari tempat letak kereta menuju ke lif. Terhegeh-hegeh juga saya berjalan laju naik tangga bukit. Maklumlah, golongan bersederhana macam saya ini, letak kereta di luar pagar sahaja. Tak ada peruntukan untuk bayar tempat letak kereta dalam pagar.

Sampai di depan lif, pernafasan mula diaturkan, tak mahu nampak sangat tercungap-cungap. Perwatakan kena dijaga, manalah tahu, ada gadis cun keluar dari lif tiba-tiba. Nampak lemah sangat pula nanti.

Pada mulanya saya bersendirian menanti lif. Brader jaga Myanmar yang biasanya duduk di meja bertugas depan lif pun tak ada. Kalau ada, boleh juga dibawa berborak. walaupun mungkin akan timbul masalah komunikasi. Manalah brader jaga itu pergi agaknya. Entah pergi tandas, mungkin mengular atau mungkin pergi surau. Keadaan bersendirian memang membuatkan saya banyak fikir.

Kemudian datang satu brader. Terus berdiri tegak di depan lif. Baru pulang dari pejabat juga agaknya. Berpakaian kemas, berkulit agak gelap, bertubuh agak gempal tapi tegap, tinggi sederhana, berambut pendek, dan bulu kening lebat.

Langit semakin gelap, awan berarak hebat, angin menderu kencang. Saya sebagai seorang yang peramah dan manis mulut, mula untuk bertegur sapa dengan brader yang baru sampai tadi.

"Macam nak ribut ya?" Saya memulakan bicara.

Brader itu terus menoleh ke arah saya, dengan wajah yang serius. 
Lalu dia merapatkan diri kepada saya dengan agak pantas, membongkok sedikit dan merenung tepat pada biji mata saya dengan mata yang menyorot tajam, lantas berkata.

"Ya, memang nak ribut!" Dengan suara not rendah, tapi nada yang serius. Macam watak pendekar.

Kemudian, brader itu kembali pada kedudukan asal. Sedikit reaksi pun tak ada.

Saya menjadi kaget, terus terdiam berdiri kaku. Lif terasa sangat lambat. Saya hanya memandang pintu lif. Lif pula hampir tiba. Saya berdebar, dan terfikir apa akan jadi jika hanya saya dan brader itu berdua dalam lif.

Beberapa saat kemudian, muncul seorang kakak. Lif pun tiba. Saya rasa selamat naik lif. Ada teman lain. 
Lebih selamat lagi kerana kaka itu turun di tingkat 18, saya tingkat 14.

Brader misteri itu turun di tingkat 5.

Bersambung....

Jumaat, 22 Julai 2011

Saya Dan Selipar Wakaf

30 Ogos, 2004

Ketika itu, masih belum bersara lagi dari bidang anarkis. Liar dan tak banyak fikir. 

Malam itu, saya menyambut kemerdekaan di sebuah parti persendirian kelolaan Isham Rais Tukar Tiub di atas bumbung bangunan Malaysiakini, Bangsar.

Sebelum ke Bangsar, saya bertemu Din Gemuk (sekarang sudah kurus) dan Faisal Dhani dahulu di Pasar Seni. Dari Pasar Seni, kami mengambil tren ke Bangsar. Sampai sahaja di Bangsar, selipar yang saya pakai putus. Ya, sampai sekarang saya masih suka berselipar untuk merayau.

Oleh kerana leceh berjalan dengan selipar putus, maka kami pun berikhtiar. Akan tetapi, kami di Bangsar. Di bangsar mana ada kedai menjual selipar murah. Menjelang malam kemerdekaan pula tu. Murah pada istilah saya pada masa itu adalah bawah RM5. 

Sambil berjalan ditemani Din Gemuk, kami ternampak ada orang ramai sedang beratur di tepi sebuah pasar mini. Oh, mahu mengambil wuduk rupanya. Tanpa disangka, ada surau kecil di tepi pasar mini itu. Saya pandang muka Din Gemuk, Din Gemuk sengih dan buat muka ada idea.

Kemudian kami berjalan kembali ke arah bangunan Malaysiakini. Saya secara tiba-tiba sudah ada selipar baru. Tapi ada kerat di belah muncung selipar. Apa tandanya?

15 Julai 2011

Saya mengikut Iman solat Jumaat di Masjid Besi Putrajaya. Setelah selesai solat, saya berjalan pantas hendak keluar masjid.

Saya berdiri runsing di muka tangga masjid. Selipar saya hilang! Bagaimana saya nak pulang ke pejabat? Kaki ayam? Putrajaya  dan Cyberjaya ni bukan macam zaman dulu-dulu. Panas dia boleh cair tapak kaki dibuatnya. Saya menanti, dan kemudian berjalan hampir keliling masjid, mencari selipar. Berguni harapan palsu saya berikan pada hati sendiri.

Puar berpusing, saya kecewa. Selipar masih tak jumpa. Iman turut menunjukkan simpati dengan wajah sugul bermisai beliau. Saya tidak lekas marah dan putus asa. Satu idea bijak muncul, sesuai dengan kadar IQ saya yang tinggi. Adakah saya akan bertindak untuk merembat mana-mana selipar orang lain?

Tidak.

Saya menghampiri seorang petugas masjid, bertanya jika ada selipar lebih di masjid yang boleh dipinjam. Alhamdulillah, nasib saya baik. Kakak petugas masjid itu menunjukkan beberapa selipar yang saya boleh pinjam untuk pulang ke pejabat. 

"Nanti bila-bila, pulangkan lah ya" Kakak itu berpesan pada saya. Saya pegang kata-kata itu sebagai janji. Nampak tak, perbezaan gaya fikiran saya sekarang? Pengalaman telah berjaya mendewasakan saya, menjadikan saya lebih budiman. Jadi, esok saya akan pulangkan selipar yang dipinjam minggu lepas itu.

Apa jadi dengan selipar surau tahun 2004?

Saya pernah cuba untuk memulangkan selipar itu di Bangsar pada tahun 2009, ketika saya sudah ada kereta sendiri. Tapi malangnya, surau dan pasar mini itu sudah tidak wujud lagi. Saya simpan sahaja dalam bonet kereta. Sehingga pada dua minggu lepas, saya beri binjam selipar itu kepada Paan Astena, kerana dia tiada selipar untuk pergi berenang selepas kerja.

Pada pendapat anda, apa seharusnya saya lakukan dengan selipar kerat muncung itu?


Isnin, 20 Jun 2011

Cerpen Indie : Kisah Benar ~ Malam Porno Punk Anti Sistem

Tahun 2000, Kolej Lagenda, Langkawi.

Ketika itu Hadi belum lagi mencecah umur 18 tahun. Masih 17 tahun. Kehidupan di kolej memang liar. Kolej terletak di bekas chalet, tepi pantai, memang tak ada suasana belajar langsung!

Di zaman itu, tak ramai orang ada komputer. Jadi, hiburan juga adalah tercatu. Kalau sesuatu bilik itu ada radio pun sudah dianggap mewah.

Ada seorang mamat diketahui umum membawa set komputer di dalam biliknya. Lalu kecohlah satu blok bahawa wujudnya satu medium hiburan yang paling optimum pada masa itu. 

Jam 9.00pm

Faizal, teman sebilik Hadi memang cukup masyhur sebagai perancang aktiviti bukan-bukan dan selalunya bermoral rendah. Sambil tersengih, Faizal mengeluarkan kotak arkib saktinya dan menunjukkan beberapa keping objek maksiat.

Hadi yang pada ketika itu masih belum dewasa, hanya mengikut perangai Faizal yang lebih tua setahun. Hadi memandang tinggi pada Faizal dan menganggap Faizal kaya dengan pengalaman dan remaja urban yang cool. Kerana ingin kekal urban dan cool, Hadi sentiasa mengikut rentak Faizal.

Dengan kepingan vcd porno pelbagai tajuk di tangan kiri Faizal, mereka melangkah ke bilik mamat yang ada komputer itu. Oleh kerana mereka agak popular dan menjadi ikutan, maka beberapa remaja lain yang tinggal sederet dengan mereka juga.

Sampai di bilik itu, dengan izin dan restu tuan punya komputer, maka vcd dengan tajuk tak senonoh ada perkataan "bang" di belakangnya pun dimasukkan pada pemacu cakera. Oleh kerana Hadi masih buta IT pada waktu itu, dia hanya membiarkan mereka yang celik IT menjalankan tanggungjawab.

Bilik yang pada asalnya cukup muat untuk 4 orang, dengan sekejap sahaja dipenuhi oleh lebih kurang 20 orang remaja yang penuh dengan perasaan ingin tahu. Ternyata, remaja memang mudah tertarik dengan hiburan berkonsepkan maksiat. Tak kisah bersesak dalam kehangatan cuaca kathulistiwa.

Dalam umur sebegitu muda, memang mudah teruja walaupun menonton porno beramai-ramai. Dalam keterujaan seperti itu, hal keliling selalunya dipandang sambil lewa. Semua biji mata terpaku memandang skrin 14 inci yang sedang elok memaparkan seorang wanita telanjang bersedia untuk digomol oleh 5 orang lelaki bertubuh sasa. Tak ada seorang pun yang mempedulikan daun jendela yang ternganga luas, di sisi bilik

"Hah! Buat apa tu?!"

Kedengaran satu suara orang tua tepat di jendela. semua remaja dalam bilik itu kaget. Seorang pengawal keselamatan, yang hanya nampak dari paras hidung ke beret, sedang menyuluh masuk ke dalam bilik. Keadaan sepi dalam masa lebih kurang 3 saat.

"Jangan bergerak semua!"

Pengawal keselamatan yang agak berumur mula menggunakan radio walkie-talkie untuk meminta bantuan mengepung pintu utama bilik.

Dalam keadaan yang masih kaget itu, hanya Faizal mampu berfikir tajam.

Faizal dengan yakin, menggunakan selimut, melindungi tubuhnya dari pandangan pengawal keselamatan itu, lalu berjalan selamba keluar dari bilik.

"Jangan lari! Jangan bergerak!"

Sergahan pengawal keselamatan itu ternyata tidak membawa erti apa-apa. Bertaburan semua yang ada di bilik itu lari keluar ikut pintu hadapan. Mengikut langkah berani si Faizal.

Oh, rupanya hanya 18 orang sempat lari bertaburan. 2 orang manusia masih tertinggal.

Seorang yang baring tidur di katil atas, Ijam, salah seorang ahli asal bilik itu.
Seorang lagi adalah Hadi. Rakan sebilik Faizal.

Hadi tidak ikut lari, kerana kakinya sangkut di celah katil bawah. Pehanya yang besar sukar untuk dikeluarkan dari kerangka kepala katil. Lalu, Hadi pura-pura tidur, dan berselimut.

Ketika pengawal keselamatan seorang lagi mula masuk ikut pintu hadapan. Mula menanti di pintu gaya polis memeriksa rumah kongsi pendatang haram. Skrin komputer masih menayangkan aksi tak senonoh. Ijam dengan wajah mamai, pergi ke komputer lalu menutup komputer.

"Hangpa tengok apa ni?" Kata pengawal keselamatan itu sambil merampas vcd porno itu.
"Ikut saya pi balai pengawal!" Arahan pengawal keselamatan kami turuti.

"Saya tak tau apa-apa cik, saya tidur dari lepas maghrib tadi." Kata Ijam membela diri dengan ringkas.

"Saya mula-mula nak main game cik, masa tu ramai yang tunggu turn. Saya pun baring-baring lah. Sedar-sedar saya dah terlelap." Hadi juga membela diri dengan cerita rekaannya, sambil gosok-gosok mata, betul-betul gaya mengantuk.

"Hanpa, habaq betui-betui. Toksah nak menipu. Hangpa tau tak ini kesalahan besaq. Ini bukan salah biasa, yang boleh setakat bayaq denda. Tengok benda lucah ni boleh kena tindakan tatatertib!"

Ijam dan Hadi hanya buat muka toya. Masing-masing memang muka sememeh, dan rambut kembang tak sikat. Hanya buat gaya bodoh habis dalam sesi soal-siasat itu.

"Benda ni, tak elonk tengok hangpa tau. Walaupun Mahathir tak kisah, tapi Nabi kita marah. Tak suka.."
Pengawal keselamatan itu meneruskan kutbah percuma beliau.

"Ok lah. Tulis report statement kamu, nanti tunggulah apa kata pihak kolej"

Setelah selesai menulis laporan pengakuan, lalu Ijam dan Hadi pun berjalan pulang ke bilik masing-masing.

"Fuh, nasib baik selamat. aku berlakon je tadi" Hadi berkata pada Ijam sambil berjalan dalam gelap.
"Aku pun.. hehe" Ijam juga menipu sebenarnya.

"PAP!" Hadi dan Ijam membuat high-five kemudian meneruskan perjalanan diiringi rentak Sex Pistols.

Versi lain:
Gunx | Zalila | Sharul | Azzahari

Isnin, 16 Mei 2011

Cerpen indie: Hari Bodoh Saya Encekkk !

Jalan jem tahap cipan. Kereta merangkak2 perlahan. Jam di tangan menunjukkan tepat 8 27 minit dan 55 saat. Kereta nasional aku masuk ke kawasan parkir. Berkejar ke lif. Tit! pintu terbuka. Manusia berhimpit2 di dalam terkelip2 memandang aku yang termengah2.


Sreettt.....

8:33:41


"Hadiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!!!!!!!!!!"

Suara bos memanggil dengen efek gema dari belakang. Aku macam biasa kelam-kabut. Buat-buat kawal perasaan, dahi berpeluh dan cuba memasukkan baju yang terkeluar. Bernafas macam dah tak cukup lubang hidung.


"Awak lambat lagi? Apa nak jadi?!" Encik Rizal Gempita, dengan suara lantang berjalan laju ke arah aku dengan bercekak pinggang. 

"Ah sial!" Aku menggerutu dengan suara berbisik. lantas, dengan tidak panik, aku menekan punat hijau di butang jam tangan aku. 

Zasss...........!!!

20:33:41

Berita masih ditayangkan di TV3. Dengan sekelip mata, aku kembali ke 12 jam sebelum. Ah, agak berat rasa kepala. Aku tak sangka, menjadi juga jam perentas masa yang Azim bagi pinjam semalam. Tak sia-sia lepak minum kopi dengan Azim semalam

Cuak juga, masa lepak dengan Azim semalam, tiba-tiba dia keluarkan satu kotak. Ada produk baru katanya. Aku dah terbayang Azim akan menarik aku masuk ke kancah perniagaan MLM. Aku terfikir juga, tak sangka rang terpelajar, hebat dalam sains, berkerja tetap dan lumayan di pusat kajian kerajaan, tapi menjebakkan diri dalam dunia MLM. Mungkin makwe suruh agaknya.

"Hangguk kau MLM!" Lenting si Azim bila saya bertanya. 
"Ni, aku ada benda baru. Benda ni rahsia lagi. Aku dah cuba sendiri, tapi aku nak bagi orang lain cuba juga, saja aku pilih kau, sebab kau je rajin simpan rahsia ni."

"Apasal kau tak bagi orang kat makmal kau je cuba?" Aku bertanya sedikit sangsi.

"Bahaya. Bukan apa, situ ramai kaki dengki, kaki klepet. Nanti tak pasal-pasal kena sabotaj. Tak pun, diorang curi idea, kata itu idea diorang. Leceh weh!" Panjang betul bebelan si Azim. Dia memang dari dahulu lagi kuat merungut mengenai masalah dan pe'el kolar putih ni.

Oleh sebab aku percaya Azim bulat-bulat, maka aku bertaklid buta. Aku terima jam perentas masa dengan hati yang kurius...

Mula-mula memang takut juga aku nak cuba. Kalau fikir guna logik akal, mana boleh manusia memintas-mintas masa ni. Halal atau haram hukum dia? Tak ada kesan radioaktif kah? Ada insurans kah?

Akan tetapi, dalam pemikiran bercampur aduk itu, aku pun tak sedar terus terpakai jam itu ke pejabat esoknya. Tapi kejadian dijerkah Encik Rizal Gempita pagi tadi membuatkan akal luar sedar aku secara automatik menggunakan jam perentas masa itu, dan kembali ke 12 jam awal. Seperti yang sudah ditetapkan oleh Azim sebelum membiarkan Aku memakainya.

Aku mula tersenyum terasa ibarat ada kuasa yang tidak terbatas. Seperti insan tipikal yang lain, aku mula terbayang yang bukan-bukan... Berita di TV semakin tidak senonoh, lalu aku padam TV dan membelek-belek jam perentas masa itu.

Sambil membelek-belek jam, tiba-tiba terdengar suatu bunyi kedengaran...

Sayup-sayup...

Makin lama, makin kuat...

Dan semakin kuat....

"Pelepap!" Belakangku kena libas dengan segulung surat khabar.

"Hadiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!!!!!!!!!!"

"Sempat lagi awak berangan?!! Astaghfirullah..." Encik Rizal Gempita menyedarkan aku dari lamunan....

"Apa nak jadi awak ni? Berangan tak sudah!!"

Aku tersengeh menerima sahaja segala hamburan maki hamun.

Versi Gunx
Versi Zalila
Versi PelitaMinyakTanah

Sabtu, 30 April 2011

Kisah saya dan bank: Dendam kesumat III

Kisah 3
Tahun 2011, baru sahaja berlaku petang tadi.

Saya, Idzuan dan Harry (rakan sepejabat) baru pulang dari kenduri Mimi (bekas rakan sepejabat) di Batu Gajah, Perak. Kami semua naik kereta Idzuan. Kami berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah untuk kencing, solat dan minum. 

Saya hanya ada RM 4.00 dalam dompet. Setelah usai solat, saya pun singgah di ATM Maybank di kawasan R&R itu. Dengan niat yang ikhlas, saya mahu keluarkan duit beberapa ratus untuk kegunaan belanja dan juga hendak bayar duit main kutu-kutu bila pulang di rumah nanti. 

Percubaan mencucuk kad juga agak susah. Saya mula terasa tak sedap hati. Setelah beberapa kali cucuk baru kad masukKetika saya sedap melihat baki akaun, tiba-tiba datang seorang kakak menegur saya. 

"Dik, jangan pakai mesin tu! Dah 10 kad dia telan!"

"Haa?" Saya terpinga-pinga tidak faham.

"Kad akak dah kena telan tadi. dah 10 orang, kad dia kena telan. Batalkan cepat dik!" 

Saya yang agak terkejut lantas menekan butang 'BATAL'. Akan tetapi, malang datang menimpa. Kad saya kena telan juga.

"Akak terlambat nak bagitahu, ingatkan adik tak masuk kad lagi." Akak itu bercerita dengan wajah sugul. Ada beberapa brader-brader keliling juga berwajah sugul, mengatakan kad mereka kena telan.

"Cepat dik, telefon bank sekarang!"

Saya mula runsing kerana esok dan isnin adalah cuti umum. Saya makin panas hati kerana tiada apa-apa tanda atau notis mengatakan mesin itu rosak, padahal sudah 10 orang kad mereka kena telan. Saya yang panas hati, lalu mengangkat satu tong sampah dan meletakkan tong itu di hadapan mesin, supaya tiada orang lain kad tertelan lagi. 

Dengan marah, saya menelefon bank, sambil berlalu meninggalkan sekumpulan manusia malang itu. Walaupun marah, saya masih berhemah ketika menelefon. Tak ada gunanya marahkan operator telefon, masalah tidak akan selesai. Mereka bertugas membantu kita, jadi untuk apa kita marahkan mereka?

Panggilan terputus ketika saya menelefon. Saya tidak perasan Idzuan yang memanggil-manggil saya dari jauh. Maklumlah, saya lemah dalam multitasking. Lalu saya menghampiri tempat di mana Idzuan dan Harry sedang lepak minum. Harry menyuruh saya membeli minuman untuk menenangkan fikiran.

Kemudian, pihak bank menelefon saya kembali. Saya ada dua pilihan, sama ada menanti kad saya dipulangkan ke cawangan Cyberjaya dalam masa seminggu, atau pergi ke cawangan KLCC/Pavillion besok pagi untuk ambil kad baru. Akan tetapi, untuk ambil kad baru kena bayar RM12.00.

Memandangkan Ahad dan Isnin cuti umum, saya perlu ambil kad dengan segera untuk ambil duit. Gila apa cuti tak ada duit? Bil nak bayar, kereta nak bayar, kutu-kutu nak bayar, nak lepak berborak lagi, duit minyak lagi. Pakai duit semua tu. Bukan pakai sampah.

Jadi, esok pagi, saya akan naik tren pergi KLCC bawa kapak. Imej garang kena jaga.

Terima kasih Harry sebab belanja minum, terima kasih Idzuan sebab hantar saya balik sampai depan rumah.

Persoalannya, saya yang berdendam dengan bank, atau bank yang berdendam dengan saya?

klik untuk KISAH 1 & KISAH 2

Tamat...

Kisah saya dan bank: Dendam kesumat II

Kisah 2
Tahun 2007, saya sedang belajar di Uniten. Umur saya sudah hampir mencecah 25 tahun. Ketika ini saya lebih merendah diri dan agak bertanggungjawab. Kali ini saya sudah tidak meminta duit dari mak dan ayah. Saya hidup bergantung sepenuhnya dari baki PTPTN. Jadi saya adalah seorang yang paling jimat. Cuma sesekali, mak senyap-senyap memasukkan duit untuk saya. Kali ini saya adalah pengguna bank CIMB.

Hari itu, saya sudah kehabisan duit dan bekalan makanan (saya rajin masak juga). PTPTN masuk agak lambat semester itu. Dalam bank ada dalam 1-2 ratus lagi. Saya tidak gusar sangat kerana saya memang pandai berjimat. Jadi, setelah habis kelas, saya meminta sahabat saya, Pokcik menghantar saya ke bank untuk mengambil duit. Ketika itu, ATM CIMB yang berdekatan hanya ada di pusat latihan CIMB belakang Uniten.

Dengan ikhlas, saya mencucuk kad. Nasib saya malang, kad ditelan. Saya yang terdesak, mula panik dan hilang kawalan emosi. Lalu saya mengamuk sambil menumbuk mesin ATM itu berkali-kali. Akhirnya datang seorang pengatwal keselamatan bertanyakan masalah saya.

Pengawal keselamatan itu dengan sopan menyuruh saya menelefon talian bantuan yang tertera di dinding. Di dinding juga ada satu telefon berwarna putih tertera tulisan "KECEMASAN". Lalau saya ambil telefon putih, tekan punat "sambungan ke kecemasan". Tiada yang menjawab, lalu saya mengamuk lagi menekan-nekan punat dail sambil mendengus ibarat singa. 

"Bang, telefon tu tak boleh pakai, kena pakai telefon sendiri." Kata pengawal keselamatan itu lagi menenangkan saya.

Saya keluar dari ruang bank, dengan hati yang panas, menelefon bank. Bertambah panas hati kerana talian itu tidak percuma.

Akhirnya, pihak bank berkata kad akan dipulangkan ke cawangan di mana saya mendaftar bank dalam masa satu minggu. Dengan marah dan kecewa, saya masuk kembali dalam kereta Pokcik.

Alhamdulillah, Tuhan kurniakan saya sahabat bernama Pokcik meminjamkan saya duit untuk teruskan hidup selama seminggu.

Bersambung...