Khamis, 25 September 2008

Hadi raya dan Hari Raya



Syawal hampir kembali, walaupun hati ini merasa amat teruja, akan tetapi tetap ujud rasa sedih kerana Ramadhan akan pergi lagi meninggalkan kita. Harap-harap sempat lagi lah saya bertemu Ramadhan akan datang.



Gambar diatas diambil ketika 1 Syawal 2005. Lagi beberapa hari sahaja saya akan bergelar pelajar di Uniten. Ketika itu saya masih tidak tahu bagaimana agaknya suasana di Uniten, dan bagaimana agaknya keadaan saya apabila kembali bergelar pelajar.

Kini, sudah hampir 3 tahun berlalu. Macam-macam yang saya sudah jumpa, sudah buat, sudah cuba, sudah jadi, sudah main di Uniten ini. Pelbagai ragam manusia, pelbagai jenis sahabat, pelbagai lapisan masyarakat. Pasal pengalaman pula, tak usah cerita lah. Banyak sangat dah.

Duduk dan belajar dalam Uniten ini memang banyak mengajar dan merubah saya, walaubagaimanapun, jatidiri saya tetap Hadi yang dahulu, walau sudah banyak Hari yang Hadi lalui… kah kah kah.



Oh, termelalut pula saya. Pada asalnya, saya ingin bercerita tentang raya.

Ketika kemasukan ini ditaip, hanya lagu-lagu raya sahaja yang berkumandang melalui corong-corong speaker separa besar saya. Sepatutnya petang ini juga saya sudah pulang ke kampung. Akan tetapi kerana majoriti rakan sekelas saya yang tidak mahu kelas Dr. Siti diganti ke minggu hadapan, maka jawapnya esok ada kelas! Huh!

Tahun ini, Emak sudah siap menempah sepasang baju melayu untuk saya. Warna? Rasanya ungu metallic.. hahahaha! Kita tunggu dan lihat sahaja 1 Syawal ini bagaimana. Samping juga sudah siap dibeli. Songkok? Pakai sahaja tahun lepas punya, maklumlah, pakai songkok pun setahun boleh dikira dengan sebelah tangan sahaja berapa kali pakai.



Seperti tahun yang sudah, saya sudah disediakan tugas oleh Ayah saya untuk membakar sate pada malam raya ini. Teringat pula tahun lepas, akibat kehandalan saya yang tak pernah membakar sate, maka saya terbakar sate itu dengan lidi-lidinya sekali. Kelakar juga melihat Pak Imam dan orang kampung makan sate tanpa lidi. Nasib baik Herman dan adiknya datang membantu kemudian.

Biskut raya yang adik saya Hawa buat juga mungkin sudah disembunyikan. Saya memang seorang yang mudah ketagihan biskut raya. Bila sudah mula mengunyah, tidak boleh berhenti kecuali ada gangguan besar. Adakalanya saya membedal ibarat membedal pop corn sambil menonton TV.

Menu wajib hari raya pertama di rumah saya adalah lontong (walau saya kurang gemar lontong), ketupat, sambal kacang, rendang ayam dan daging (Emak tak makan ayam), lemang import dari Gedangsa.

Hari raya kali ini saya tidak pulang ke kampung, kenapa? Sebab saya tiada kampung! Kah kah kah kah! Gombak lah asal usul Emak dan Ayah saya… Dari lahir saya tak pernah kenal erti balik kampung yang sebenar… huhuhuhu…

Ok lah, apa-apa pun, selamat hari raya, maaf zahir batin…


Tiada ulasan: