Khamis, 3 September 2009

27 tahun berlalu

10 tahun yang lalu,

Ada seorang remaja gemuk yang liar. Dia suka melawan cakap cikgunya. Cakap mak dan ayahnya juga bukan dia dengar sangat. Dia lebih suka merayau dari berada dalam rumah. Tidak kisah bersendirian ataupun berteman. Dia juga selalu ada dalam dunianya yang sendiri.

Dia kerap membuat ibunya menangis, dan ayahnya mengamuk.

Bukan tanda kurang ajar atau kurang didikan agama. Padahal dia sudah mula belajar mengaji ketika umur 4 tahun, ketika kanak-kanak kelasan lain ada yang belajar berenang dan main piano. Mungkin kerana naluri remaja yang kuat memberontak. Walaupun dia tidak faham apa yang dia berontakkan sebenarnya. Dia boleh merayau satu Kuala Lumpur dengan hanya RM2 di dalam poket.

Masjid? Dia hanya pergi jika ada majlis yang boleh dapat duit, atau makanan percuma, ataupun ayahnya paksa.

Cikgu pun agak ramai yang tidak suka akan perangainya. Waktu hari buku laporan, remaja ini menipu cikgunya mengatakan ayahnya bekerja "outstation" dan tak dapat hadir. Padahal pejabat ayahnya bekerja hanyalah beberapa langkah dari sekolah.

Apabila dipaksa pergi kelas tusyen yang agak mahal di ibukota, dia hanya pergi ke kelas-kelas tertentu yang diminati sahaja. Seperti kelas Bahasa Melayu. Kelas lain dia pergi pun hanya untuk menghabiskan masa lapang. Satu apa yang diajar pun tidak masuk dalam kepala otak. Kalau dia bosan, dia akan turun ke kedai buku membaca komik, atau pergi ke kompleks kotaraya bermain permainan video yang kena taruk syiling.

Ketika tarikh ini, 10 tahun yang lalu, orang lain sedang sibuk mengulangkaji untuk menghadapi SPM. Dia sedang sibuk membaca komik dan menampal poster gusti WWF.

Dia digelar "Kombat".

.......................................

20 tahun yang lalu,

Kanak-kanak ini sedang belajar dalam darjah satu di kelas Satu Hijau. Cikgu Husni nama guru kelas ketika itu. Dia memang cerdas dan pintar. Sudah boleh membaca dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, sedangkan ada rakan sekelas yang lain masih tidak kenal huruf. Berkat kesabaran dan kasih sayang ibu dan bapanya yang sabar mendidik anak mereka di rumah, sebelum bersekolah.

Dia amat ramah, boleh bergaul dengan sesiapa, tidak kira lelaki atau perempuan. Dia juga aktif bermain dan tak kenal erti penat. Kanak kanak ini selalunya ditatang ibarat minyak yang penuh oleh kedua ibu dan bapanya. Setiap hari pasti dibekalkan dengan bekalan makanan yang berkhasiat dari rumah, dan juga wang poket untuk persediaan jika berlaku apa-apa. Adakalanya ayahnya akan hadir di waktu rehat, membawa makanan lain seperti buah jambu, ataupun kuih muih.

Ketika itu, kanak-kanak ini amat gemar pergi ke masjid. Kalau boleh, setiap waktu dia nak pergi masjid. Dia akan menangis jika ayahnya meninggalkannya jika pergi ke masjid. Dia juga suka singgah ke rumah atuk dan makcik-makciknya yang lain. Pada umur tujuh tahun, dia sudah pandai baca surah-surah dari juzuk Amma...

.......................................

27 tahun yang lalu,

Sepasang suami isteri bersyukur dan bergembira. Lahir lah anak lelaki sulung mereka setelah 6 tahun mereka menanti dengan sabar. Bayi sihat yang beratnya 12 paun. Kelahiran cucu lelaki pertama dari anak lelaki pertama turut diraikan oleh semua keluarga keturunan Mohammad Shair. Seorang dari bapa saudara bayi itu mencadangkan agar dia dinamakan Yassir Arafat, akan tetapi tidak dipersetujui oleh ahli keluarga yang lain.

Akhirnya,

Setelah disokong oleh datuknya yang mengagumi pemimpin pemuda satu parti politik pada masa itu, dan atas gabungan nama Abdul Razak dan Hamidah,

bayi itu dinamakan Abdul Hadi.

.......................................

Hari ini,

Dia baru ada ijazah, dan masih baru bekerja.

Dia sudah berjanji tidak akan buat ibunya menangis, dan ayahnya mengamuk lagi :)





Isnin, 31 Ogos 2009

Pelaburan yang mengalahkan ASN dan ASB

Semalam, lepas terawih, cicak angkut saya untuk melepak minum teh tarik.

Sampai sahaja di Malis, tiada seorang pun kaki lepak yang wujud. Jadi, kami beralih ke warung mamak berdekatan. Kami berdua lepak berborak sambil minum teh halia. Gaya jaga kesihatan. tiba-tiba Cicak bukak satu topik ada bunyi bunyi perniagaan.

"Kau tau tak, ada pelaburang yang lebih menguntungkan dari ASB, ASN semua tu."

"Apa dia? Forex?" Saya layan Cicak.

"Bukan, kalau ASB semua tu, pulangan dividen dia dalam 7% je kan? yang ni lebih lagi beb. Memang untung gile. Lebih 700% pulangan dia." Cicak bedal cakap dengan fakta ntah mana dia dapat.

"Apa dia weh?" Saya layan sambil hirup teh halia.

"Melabur di jalan Allah..." cicak jawab dengan tangan pegang kemas cawan teh.








FIRMAN ALLAH : " Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, seumpama seperti sebiji benih yang mengeluarkan 7 tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (Rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya" (surah al-Baqarah, ayat 261)

Ahad, 30 Ogos 2009

Kali pertama cuba puasa

Tahun 1988

Hari itu saya cuba untuk berpuasa. arwah nenek sangat menyokong niat dan tindakan murni saya itu. Ketika sahur, nenek bersungguh sungguh melayan saya yang banyak karenah makan.

"Makan kenyang-kenyang, lepas tu baca niat betul betul. Nanti baru kuat nak puasa."

Nenek pesan ketika saya berusaha menghabiskan nasi dengan mata yang terbuka hanya separuh. Lepas habis makan, saya terus baca niat puasa kuat-kuat dengan tajwid yang betul. Saya baca banyak kali sambil menanti waktu subuh kerana saya percaya ketika itu, lagi banyak baca niat, lagi tahan nak puasa.

Pagi itu, ketika van kuning sampai rumah saya untuk bawak saya pergi tadika, saya dah bersedia nak cerita dekat geng geng setaraf yang saya puasa hari ini. Dalam van, saya ringan je mulut nak menjawab bila ada geng yang tanya "siapa puasa hari ni?"

Di tadika, ketika sampai waktu rehat, budak budak lain semua berebut beratur nak makan bihun yang cikgu tengah tuang dalam pinggan.

Saya masa tu dengan selamba tak ikut diorang. Dengan tangan dalam poket, saya berjalan sambil pandang pandang mereka yang beratur.

"Hadi, kau tak nak makan ke?" Seorang budak bertanya.

"Aku puasa lah!" Saya jawab tegas. Terasa sangat dewasa bila boleh jawab macam tu.

Saya teruskan perjalanan pergi ke buaian. Dekat buai ada juga budak-budak yang muka alim berpuasa dan berehat rehat.

saya sebagai kanak kanak yang sangat ligat, tidak duduk diam. Saya mula bermain buaian dengan pelbagai aksi. Lepas main buaia, main gelongsor. Lepas main gelongsor, main kejar pepatung. Lepas bosan tak dapat tangkap pepatung, saya sepak sepak kasut dekat kaki lima. Lepas tu mula lari selamatkan diri bila ada budak perempuan sudah mengadu sama ustazah.

Bila saya masuk kembali ke kelas, badan sudah mula rasa lain macam.

masa nak balik, geng geng lain semua beratur sambil baca doa kuat kuat, saya dah mula berdiri sambil mulut ternganga. Mulut hanya digunakan sepenuhnya untuk bernafas. berjalan pun sambil pegang bahu kawan depan.

Dalam van kuning, saya tak banyak cakap. Hanya ternganga memandang tingkap. Tak amik kisah pun pada mereka yang berkelahi mengenai kartun Voltron.

Sampai rumah, dengan kelam kabut saya bukak kasut. lepas tu gagahkan diri pergi peti ais. Tak peduli apa dah. Tak sempat pun nak salam nenek. Terus bantai air sejuk satu gelas besar. Nenek hanya tersenyum.

Petang itu saya tertidur sampai terlepas cerita Thundercats.

Rabu, 26 Ogos 2009

Menyambut malam Ramadan dengan gaya remaja kota berijazah

21 Ogos 2009

Oleh sebab anak bulan malu malu nak tunjuk diri, jadi tarikh puasa dengan selamba mereka tetapkan pada hari Sabtu.

Elok benarlah macam tu. Sempat juga saya nak balik Gombak lepas kerja Jumaat itu. Boleh saya mula terawih di surau dekat rumah saya. Begitu murni niat saya. Pagi-pagi lagi saya dah bungkus baju semua, angkut bawak pergi pejabat.

Manusia hanya pandai merancang...

Akhirnya petang itu masa dihabiskan bersama Zul Kutil di alamanda. Cari Al-quran untuk kompeni kononnya. Terawih pula dalam kereta sahaja. Zul Kutil jadi imam, saya jadi bilal. Lepas habis terawih dalam kereta, kami sambung tadarus pula di kedai makan Kembangan Paradise. Kami sibuk bertadarus sambil tunggu Yati siap. Saya nak tumpang Yati balik Kesultanan Negara Gombak malam itu.

Sambil sambil bertadarus tu, Amir telefon saya tanya bila nak sampai Gombak. Amir ajak saya makan beger king yang paling mahal sekali. Sempena menyambut Ramadan kata dia. Lagipun kami dah ada ijazah. Amir suruh kami bawak sekali gulungan ijazah. Baru sesuai lagak makan beger king mahal sambil tayang ijazah. Tak senonoh betul pelawaan menarik Amir tu.

Dalam pukul 10, Yati pun sampai. Yati pun ikut tadarus sekejap dengan segelas teh ais. Sebelum ikut Yati balik, saya periksa dulu passport takut tertinggal. setelah salam lebih kurang dengan Zul Kutil, saya dan Yati pun meluncur sederhana laju nak balik Kesultanan Negara Gombak. Yati tak nak ikut MRR2. Takut Jem dia kata.

Dalam perjalanan, Cicak pula telefon saya ajak mesyuarat di Malis. Saya setuju. Saya suruh dia tunggu saya sampai rumah.

Sampai sahaja di rumah, Amir dah ada melepak goyang kaki depan rumah borak borak dengan adik saya Halim.

Sampai sahaja di rumah, saya berlari ke dapur dulu cari Mak. Nak tayang gambar konvo. Habis menayang dan salam Mak, saya terus keluar cari Amir pulak.

"Jom, gerak. Beger King!"

Dengar je saya nak makan beger, adik saya Hakim dan Halim dengan tak malunya pun kirim beger jugak.

"Nak taruk keju tau." Hakim pesan macam bagi arahan.

Saya yang memang memegang jawatan sebagai abang yang budiman pun terima sahaja segala pesanan.

Sampai sahaja di stesyen minyak yang ada Beger King di kawasan Kesultanan Negara Gombak, Amir mula terhegeh-hegeh nak cari mesin ATM cucuk duit. Kelam kabut betul. berpeluh peluh kami berjalan laju. Takut tak sempat. Jam sudah pukul 11.45pm.

Amir ni pun satu tak nak cucuk awal-awal. Ingatkan dah ada ijazah cerdas sikit fikiran dia. Memang nasib tak menyebelahi kami. Semua mesin ATM dah tak bagi cucuk duit.

"Aku ada 20 lebih je ni weh! macam mana? cukup ke?" Amir dah mula runsing.

"Aku pun ada 20 lebih je. tak sampai 30. cukup kot." Saya jawab dengan tenang.

"Ko biar betik, kita nak beli yang paling besar ni! yang daging dia tiga lapis."

Tengok tu, nafsu dah mengalahkan Israel. Tapi kebijaksanaan tak beberapa macam Israel.

Kami tak masuk terus dalam kedai Beger King. Kami usya dulu harga dari luar.

"RM 19.90 sat set... Cukup ni!" Saya cakap sambil mengangguk pasti.

Kami masuk dengan berani. Selamba berdua pergi ke kaunter dengan muka sememeh.

"Bang, bagi beger yang tiga lapis tu!"

"Nak set ke, beger je?" Brader kaunter tu tanya balik.

"Beger je, berapa?" Kami tanya pembeli bijak.

"Rm 15." Brader tu balas ringkas

"Bagi beger je! Kompom!" Kami buat muka ketat

Brader tu mula buat berger yang kami pesan dengan muka risau.

Entah apa yang brader tu risau pun kami tak tahu. mungkin kerana pakaian selekeh kami, dengan Amir jambang tak cukur, brader tu ingat kami tak mampu nak bayar harga berger kot. Padahal kami dah bayar masa pesan tadi.

Berger bila sudah lebih 10 minit kami lepak tanpa hala tuju. Susah sangat ke nak buat beger mahal daging tiga lapis tu? Daging apa yang dia pakai pun kami tak beberapa pasti. Yang penting ada tanda halal dan bergaya. RM 15 untuk seketul beger. Memang itu lah kali terakhir kami beli beger tu.

Sudah siap, kami bergegas ke Malis untuk bermesyuarat dan minum air teh percuma. Kami ada orang dalam di situ. Sampai Malis, saya makan beger mahal daging tiga lapis itu dengan pelahap tanpa pelawa ahli majlis mesyuarat yang lain.

Kami bermesyuarat sampai pukul 2am. Sebelum pulang saya sempat beli beger tepi jalan untuk Hakim dan Halim.

Sabtu, 25 Julai 2009

Gaya hidup atlit rock kontemporari

Hari itu adalah hari ke dua saya terpanggil untuk menganggotai kursus bersama kumpulan yang diberi nama "The Great 3"

"The Great 3" Adalah satu pasukan superhero yang dilatih khas dengan tujuan berbakti jika ada musuh menyerang kawasan Cyberjaya.

Ketika sedang asyik menghirup neskape dan berselang-seli dengan mengunyah cekodok empuk petang itu, Ewan sebagai kapten pasukan datang menghampiri saya dengan raut wajah yang agak serius. Saya pasti ada niat tersembunyi di balik kehadiran beliau.

"Kau boleh tak main futsal esok? Kita tak cukup orang. Kita kena lawan pasukan lain. Ada tournament."

Memang lah tak cukup orang, lelaki kami hanya ada 6 orang.

"Boleh! Takde hal lah!"

Saya menjawab tanpa banyak fikir, sambil sapu-sapu minyak cekodok di bibir.

Salah satu syarat untuk menjadi superhero, mesti kata boleh.

Apakejadah?!

Saya cuba mengenang kembali bila kali terakhir saya main futsal.

Tak pernah pun!

Kali terakhir saya main bola sepak pun, masa tingkatan 5, 10 tahun yang lalu. Semenjak itu, sukan dengan saya sudah mula tak ngam dan tak kawan sangat.

..........


Esoknya, lepas habis kusus, kami sepasukan pun bersiap dan bertolak ke medan pertarungan. Kami sampai jauh lebih awal dari pasukan-pasukan lain. Itu sudah menunjukkan kemenangan pertama kami. Saya yang tidak biasa berpakaian sukan memakai baju t-shirt hitam berjenama lucah, seluar trek yang jarang dipakai, dan satu kasut skate Vans lama. Memang tak ada gaya seorang pemain futsal langsung.

Setelah berkumpul, Ewan mengetuai sesi merenggangkan otot dan memanas kan badan. Setelah itu sesi pembentangan undang-undang futsal juga Ewan buat. Saya khusyuk mendengar sambil mencatit apa yang patut. Sedang asyik mengatur strategi, pasukan lawan pun muncul. Saya sambut dengan senyuman yang mesra tapi tegas.

Bila tiba waktu permainan, pasukan gadis-gadis yang mula bertempur. Saya terjerit-jerit keriangan penuh semangat di tepi pagar sebagai tanda sokongan padu kepada pasukan gadis-gadis kami.




Kemudian tiba giliran kami pula, pasukan jejaka. Kami yang tiada pemain simpanan bermain dengan begitu kental dan bersemangat. Semangat datang berduyun-duyun bila gadis-gadis turut menjerit memberi sokongan moral dari luar pagar.

Saya juga bermain tak kenal erti lelah langsung. Posisi juga sudah tak keruan. Kejap jadi bek, kejap jadi midfield, kejap jadi striker. Cuma gol je tak pernah sumbat. Begitu seronok tak terkira. Main sambil mulut pun bising-bising. Nampak sangat tak ada gaya pemain futsal yang biasa. Kiranya tahap luar biasa lah ni.




Kami cukup puas hati dengan keseronokan bersukan. Tak sangka, seronok juga bermain futsal ni sebenarnya. Patut lah Choi ketagih melampau. Walaupun kami kalah, tapi kegembiraan kami mengalahkan kegembiraan pasukan-pasukan lain. Di tepi padang, begitu seronok kami berbual tentang kekalahan kami. Dah tak peduli langsung dengan pasukan lain.



"Masih terel jugak aku ni bersukan kan?" Saya cakap dekat Farah.

Farah diam tanda setuju.

Balik itu, saya terus berborak pasal bola dengan Daus. Daus dengar dengan teruja. Saya sibuk ajak daus untuk main futsal lain kali.

Esoknya, peha saya kejang-kejang sampai seminggu.

Rabu, 15 Julai 2009

Gaya hidup miskin berwibawa

Saya masih tak sampai sebulan berkerja ketika itu. Jadi masih belum ada gaji. Hanya menghabiskan sisa-sia duit simpanan yang ada dalam bank. Walaupun pakaian saya bergaya eksekutif korporat, tapi dalam dompet hanya ada seringgit.

Setelah dua minggu bekerja, saya kena sambung kursus saya di Cyberview. Tuan tanah Cyberjaya. Kalau tak pergi, nanti tak dapat gaji.

Setelah hampir dua minggu kursus, hujung minggu itu kami dikerahkan ke Port Dickson. Bukan untuk berfoya-foya, tapi untuk kursus 'outdoor team building'. Saya tengok lah senarai apa barang yang mungkin kena bawak. Sekali ada lampu suluh dalam senarai. Mana saya nak cari lampu suluh dalam rumah bujang ni?

Petang itu, selepas habis kursus, Ned terus memecut laju membawa saya ke Alamanda untuk mencari lampu suluh. Ned pun ada banyak barang nak beli. Seluar dengan baju dia tak cukup dia kata. Oh ye, dia pun nak beli kasut untuk kegunaan lasak. Nasib baik si Ned ni kecik je orang dia. senang nak cari saiz dalam kesuntukan waktu macam ni.

Sampai sahaja di Alamanda, saya pun mengada-ngada nak periksa duit dekat ATM. Saya biar Ned merayau-rayau seorang dahulu. Padahal saya dah memang syak memang dah hampir kering kontang. Sekali saya periksa, tekak pun tertelan air liur pahit.

Cuma tinggal RM 12.00

Mana boleh keluarkan 12 ringgit? Maksimum pun boleh keluar RM 10. Saya rasa macam nak pelempang mesin ATM tu. Tapi sebab takut nanti kad saya kena telan, sebab mesin tu kecik hati, saya keluarkan sahaja rm 10. Sikit pun saya tak ucap terima kasih kat mesin tu.

Dengan RM 10 yang saya ada, saya tak boleh beli barang sangat. Saya terlupa saya dah tak ada kredit. Walaupun saya da dua telefon bimbit, tapi kedua-duanya dah tak ada kredit. Macam mana nak balas mesej-mesej peminat?! Macam mana nak mintak bantuan dikala sesak?! ini dah masuk bab darurat lah ni.

Lalu saya pun pergi kedai telefon dan nak cuba nasib beli kredit.

"Boss, bagi topap meksis RM 5."

"Ayo kawan, sini ada RM 10 saja."

Cis! Bedebah punya kompleks! Kapitalis!

"Ok, bagi 10 ringgit." Saya jawab dengan raut wajah yang yakin.


Dengan pantas, saya memasukkan angka topap dan tekan butang hantar. Saya bergegas kembali mencari Ned. Sambil-sambil Ned sibuk memilih baju, saya sibuk dengan ibu jari saya menghantar satu mesej penuh makna kepada adik saya Halim.

"Lim, ko ada duit? hulur aku sikit, aku dah kering. Gaji aku tak masuk lagi. Aku kena pegi kursus."

Saya terpaksa meminta ihsan Halim sebab hanya dia yang bekerja. Adik-adik saya yang lain sudah kembali sambung belajar. Mesti banyak nak pakai duit. Malas nak mintak duit pinjaman diorang. Nampak zalim sangat.

Tiba-tiba satu mesej masuk. Saya kecilkan mata untuk baca, supaya nampak macam suprise.

"Aku pun takde duit. Nanti lah."

Bedebah punya adik! Tinggal dengan keluarga pun boleh miskin ke?

Saya terus merayau dengan longlai bersama Ned. Ketika kami hendak keluar dari Alamanda, tiba-tiba telefon saya berdering dengan irama lagu yang mengasyikkan. Di skrin terpapar nama 'Ayah'. Saya dah cuak cuak.

"Assalamualaikum" Saya jawab panggilan.

"Wa'alaikumsalam... Di, kau ada duit tak?" Ayah tanya.

Ini mesti Halim sudah pecah lubang.

"Ada! Seringgit..." Saya jawab pantas dan ikhlas.

"Apa nombor akaun kau?" Ayah tanya.

Ned sudah mula tergelak-gelak di sebelah saya.

Esoknya, saya periksa akaun dekat mesin ATM, saya mula jalan senyum-senyum dan berirama bongkak.