Petang itu, menjelang tahun baru. Saya berada dalam keadaan penuh teruja. Beg sudah siap ada dalam kereta. Paspot juga disimpan rapi, takut ada tangan-tangan jahat yang menyabotaj perjalanan.
Sekejap-sekejap tengok jam. Segala kerja yang diberi sudah saya siapkan dengan cemerlang. Jika ada lagi kerja baru yang diberi pada saya, nescaya saya akan buat-buat komputer rosak. Sumpah, mood bekerja sudah pudar.
Sambil melihat jam, sempat saya berbual dengan Firdaus di talian YM. Firdaus juga akan bertolak pulang ke Johor malam itu.
"Ko nanti gerak pukul berapa?" Firdaus memulakan persoalan.
"Habis kerja ni aku terus balik Gombak, lepas Maghrib Cicak amik aku"
"Malam ni dah dapat tempat tido?"
"Aku dah suruh Emy Gemuk tolong usya. Tapi macam takde harapan je.. Takpelah. Aku redah je. sampai sana nanti bedal je la mana-mana hotel murah. Hahaha!"
"Dah! Tak payah nak mengada-ngada! Ayah aku suruh tido rumah aku je. Mana nak carik hotel malam new year nih?"
"Ye ke? Wokeh! Cantek! Time kasih Daus! Nanti cakap sekali terima kasih kat ayah ko."
Memang seronok saya dengar. Dapat tumpang rumah Firdaus. Ahli kembara lain juga pasti bergembira dengan berita ini. Saya berbesar hati menerima tawaran ayah Firdaus. Terima Kasih Pok De!
Habis sahaja waktu kerja, dengan semangat lamina, saya memecut deras. Singgah sebentar di Seri Kembangan untuk mengambil Nik. Memang sengaja saya tak berhenti kereta. Saya biarkan pintu terbuka dan memandu perlahan. Terhegeh hegeh juga Nik nak cuba masuk kereta gaya Jackie Chan.
Perjalanan ke Gombak agak lancar. Saya bernasib baik. Sampai sahaja di rumah, saya terus mesej Cicak. Cicak memberi respon yang sangat membara.
Sambil menanti Cicak, sempat saya dan Nik makan nasi dan solat Maghrib. Memang bertambah-tambah saya makan. Maklumla, dah lama tak merasa lauk mak sendiri.
Cicak tiba pada jam 8.00 malam. Beliau juga sudah siap lengkap gaya pelancong. Beliau siap membawa kasut jalan-jalan yang dibeli untuk hari raya yang lepas. Memang ada gaya pelancong sejati.
"Singapore tu tempat gua kencing je dulu!" Memang riak bunyi dari mulut Cicak.
Kami lekas memuatkan semua barang dalam kereta, kemudian saya salam mak dan ayah memohon restu dan keberkatan.
"Ok, jom gerak!"
Kami bergerak menuju ke Cheras untuk mengambil Mat Aris. Kami singgah dahulu ke Petronas berdekatan untuk mengambil duit di mesin ATM.
Sayang seribu kali sayang, macam mana dompet boleh tertinggal? Aduh... Itulah dia bila buat kerja kelam kaut, hati pun tak tenang. Kami patah balik ke rumah saya, untuk mengambil dompet. Pembaziran masa dikesan. Nasib baik Cicak bukan jenis yang membebel orangnya.
Setelah mengambil dompet, saya tenangkan fikiran dahulu, kemudian atur pernafasan. Kali ini, dengan lebih tenang, kembali naik kereta, dan rancang perjalanan lebih kemas. Cicak sebagai pemandu utama, hanya akur dengan suara majoriti.
Setelah mengisi minyak, dan mengambil duit, kami melalui Jalan Kuching untuk ke Cheras. Bermakna,kami akan masuk sedikit ke Kuala Lumpur.
Alamak! Sekali jalan sangat jem. Aduh...! Apa yang mereka berpusu-pusu nak masuk Kuala Lumpur agaknya? Nak tengok bunga api lah tu! Menyibuk betul... Siap ada beberapa kenderaan rosak di tengah jalan. Memang menyendatkan perasaan. Jam 9.30 malam baru kami sampai ke rumah Mat Aris. Mat Aris pun satu perangai. Sempat pula dia tidur sekejap.
Setelah mengambil Mat Aris, Cicak memecut ikut undang-undang masuk ke lebuhraya. Perhatian ditumpukan ke papan tanda Seremban. Takut tersilap jalan.
"Lagu mana? Lagu?" Cicak bersuara.
Oh, saya terlupa. Sebagai co-pilot, saya juga bertugas sebagai pemasang lagu. Lalu saya pun bertindak cekap memasang radio dan mencucuk modulator FM di tempat rokok.
"Jangan risau, gua dah taruk semua koleksi hip hop RNB dalam MP3 tu. Baru tak ngantuk!" Cicak cakap sambil kepala mengangguk mengikut rentak.
"Sejak bila lu layan hip hop ni?" Saya musykil.
"Gua kan memang budak hip hop!" Cicak sambung angguk kepala.
Saya dah malas nak tanya lagi. Nama penuh Eminem pun dia tak tahu, ada hati nak mengaku budak hip hop.
Ketika kami baru nak sampai Nilai, Firdaus telefon saya.
"Korang dah sampai mana?"
"Baru je Nilai. Apsal?"
"Lah, bukan korang dah gerak lama ke?"
"Memang lah, tapi kitorang kan pelumba haram yang mematuhi had laju kebangsaan."
"Ok lah.. aku baru nak gerak ni. Kejap lagi kita jumpa kat mana-mana"
Firdaus memang seorang pelumba handalan. Sekejap sahaja dia sempat potong kami. Kami pula memang jenis aman damai, sempat lagi lepak minum kopi di Ayer Keroh. Saya sempat beli sebatang berus gigi baru. Tak selera saya nak berkongsi berus gigi.
Oleh kerana kehabisan minyak tiba-tiba, kami keluar di tol Kulai. Maklumlah, banyak berborak dalam perjalanan. Tak sedar meter minyak dah menurun. Biasalah, remaja macam kami mudah khayal.
Saya tengok di kulai ini betul betul banyak stesyen minyak dan klinik awam. Kenapa agaknya ya?
Sampai sahaja di rumah Firdaus, Kami tak sempat berjumpa Pok De sebab sudah tidur. Jadi, kami terus masuk bilik dan merancang perjalanan esok dengan penuh semangat membara. Berus gigi baru saya tenung buat pedoman.
Bersambung...
4 ulasan:
nama penuh eminem apo ba di?
nama penoh cicak tu pun xtau..
sambung..sambung..(gaya potong..potong..)
sbb nama PoKDe dah temasuk dlm cerita bersiri nih, PoKDe nak minta bayaran royalti - kira bayaran sbg pelakon tambahan pun jadilah kih3
cepat sikit update wei hadi
Catat Ulasan