Sabtu, 14 Jun 2008

Fenomena Ziana Zain & Anuar Zain

Hari Rabu, Zul mengajak kami untuk pergi menonton konsert Ziana Zain & Anuar Zain di Angkasapuri. Zul, seorang ahli fanatik Zianafolks mengatakan bahawa beliau mengajak kami kerana beliau ada tiket lebih, berikutan ada ahli Zianafolks yang ingkar dan membelot. Zul mengatakan bahawa jika dia tidak membawa orang secukup dengan tiket yang sudah ditempah, dia akan dihukum keras. Saya dan Pokcik walaupun bukan peminat Ziana dan Anuar agak teruja untuk mengikut Zul. Ini adalah kerana kami tidak pernah pun menjejakkan kaki ke Angkasapuri. Zul juga mengatakan konsert ini hanyalah rakaman untuk 40 minit, jadi, takde lah bosan sangat melihat konsert.



Setelah habis kerja, Zul bergegas menghantar saya pulang untuk bersiap dan menukar baju. Beliau malu untuk membawa saya yang pada ketika itu hanya memakai t-shirt FSU Uniten. Saya juga difahamkan bahawa kami dikehendaki mengikut tema pemakaian iaitu baju putih. Malam itu kiranya saya telah memecah tradisi dengan memakai baju berwarna putih. Saya selalunya hanya memakai baju hitam sahaja sejak kebelakangan ini.



Kami bergegas kembali ke Teratai Mewah untuk mengambil Pokcik. Pokcik yang memakai baju putih berbelang hijau (tetap ada putih) sudah teruja menanti di gate. Setelah mengambil Pokcik, Zul memecut deras untuk mengambil kawannya di Uniten. Dalam perjalanan, kami terserempak dengan kereta Perdana Menteri. Zul kata, kalau kereta kerajaan, nombor pendaftarannya 13, itu kereta Pak Lah. Saya pun langsung bertaklid buta dengan Zul mempercayainya.



Setelah mengambil kawan-kawan Zul, Kami memacu deras lagi menuju ke Angkasapuri. Itu lah pertama kalinya kami masuk ke Angkasapuri. Selama ini saya hanya melihat angkasapuri dari tingkap kereta ataupun tingkap tren komuter. Baru saya tahu yang angkasapuri itu luas juga dalamnya, seperti sebuah pekan kecil dan ada banyak bangunan. Saya ingat ada satu bangunan sahaja. Nampak sangat saya ini masih mentah. Setelah berjaya melepasi kawalan keselamatan pintu utama, kami terus mencari parking. Konsert akan diadakan di Dewan Perdana, Wisma Radio, jam 8.30pm dan kami tiba pada jam 8.27pm.



Sampai sahaja di Wisma Radio, saya terus mencari tandas, kerana sudah menjadi tabiat saya, apabila pertama kali sampai ke tempat yang tidak pernah dilawati, saya akan guna tandas dahulu. Selesai melepaskan hajat kecil, kami mengikut Zul mencari presiden kelab Zianafolks untuk mengambil tiket. Kemudian, sambil menanti tempoh kemasukan, saya dan Pokcik melihat-lihat sekeliling. Kami juga kagum melihat logo RTM dari zaman ia masih dikenali sebagaj Radio Malaya.



Konsert pada malam itu dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ramai juga peminat Ziana dan Anuar ini. Ada orang tua, orang muda, gadis cantik, gadis kacak, lelaki cantik, lelaki ragbi, lelaki ragbi cantik, lelaki ragbi cantik membawa beg tangan, memang pelbagai lah... paling saya ngeri adalah lelaki ragbi cantik membawa beg tangan. Saya dan Pokcik sentiasa berwaspada agar kami tidak diapa-apakan.





Proses masuk ke dalam auditorium agak huru-hara dan bersesak-sesak kerana pihak keselamatan hanya membuka satu pintu sahaja. Untuk memastikan kami juga mendapat tempat, saya, Zul dan juga Pokcik turut serta berhimpit-himpit serapat-rapatnya ibarat pelarian Somalia yang menantikan bantuan kemanusiaan PBB. Kami juga merapatkan diri untuk menghindari dari dirapati oleh lelaki-lelaki cantik dan juga lelaki-lelaki ragbi. Pihak polis yang menjaga barisan juga agak garang dan mengherdik-herdik mereka yang beratur.



Berjaya sahaja menorobos, saya dan Pokcik terus mencari tempat duduk yang agak terpisah dari Zianafolks. Kami risau jika kami akan dijemput naik ke pentas ataupun diminta bernyanyi bersama-sama. Ruang tempat duduk dalam auditorium itu terlalu kecil dan kurang menyelesakan bagi Pokcik yang berlutut panjang dan saya yang bertubuh montok. Mungkin mereka mengikut ukuran tubuh-tubuh orang Jepun ketika membuat dewan itu. Dewan itu juga nampak lebih kecil dari apa yang biasa saya lihat dalam rancangan Hiburan Minggu Ini. Zul pula malangnya lebih bertimpa-timpa. Dia dapat tempat duduk yang tak boleh turun penuh. Tapi dia tidak kisah, kerana minat beliau pada Ziana Zain tidak dapat disangsikan lagi.






Kami difahamkan bahawa ini adalah konsert untuk rakaman hari raya nanti. Jadi, sebelum persembahan bermula, kami disuruh menepuk tangan dan bersorak sekuat mungkin kerana penerbit ingin merakam bunyi sorakan dan tepukan itu. Persembahan bermula agak lewat, kerana mungkin Ziana Zain makan dahulu kerana apabila beliau naik ke pentas, mulutnya masih mengunyah sesuatu. Tak mungkin lah kalau beliau sedang mengunyah lidah. Oh ya, di sini ingin saya ingatkan. Jika anda menonton apa-apa persembahan di Angkasapuri, tolong jangan menggunakan kamera ataupun telefon bimbit. Jika anda berdegil, nescaya pihak polis akan datang dan merampas kamera dan telefon bimbit anda. Ramai penonton sekeliling saya yang sudah kena. Saya pula sempat terlepas mengambil beberapa gambar tanpa ditangkap di atas kepakaran jenayah saya.





Beberapa lagu telah dihidangkan berselang-seli oleh Ziana dan Anuar. Ada juga lagu-lagu yang terpaksa diulang nyanyi kerana pihak penerbit tidak berpuas hati. Terdapat juga dialog-dialog “konon” hari raya seperti “Puasa penuh tak?”, “banyak dapat duit raya?”, “Kuih raya banyak buat?”.


“Selama ni, kita kena tipu lah ye?” Kata pokcik separa berbisik. “Mak-mak kita semua kena tipu lah ni. Nanti aku nak tunggu raya, aku nak bagitau mak aku.” Sambung Pokcik.


Persembahan diteruskan dan banyak kali juga Ziana dan Anuar bertukar pakaian. Apabila Anuar Zain menyanyikan lagu ‘Mungkin’, Zul benar-benar menyelami irama lagu itu dan menghayati setiap bait liriknya. Zul menangis ketika sama-sama menyanyikan lagu itu sampai teresak-esak sehingga dia semput-semput. Saya risau juga melihatnya kerana risau bagaimana nak menghantarnya ke hospital nanti. Saya dan Pokcik berlagak biasa sahaja sehinggalah Anuar Zain mendendangkan satu lagu raya yang mampu membunuh. Tiba-tiba Anuar Zain menyanyikan lagu ‘Bersabarlah Sayang’, nyanyian asal Sanisah Huri. Mendengar sahaja nyanyian lagu yang penuh emosi itu, air mata saya dan Pokcik terus berderai-derai jatuh bak embun yang jatuh dari daun keladi. Kami menangis merebeh-rebeh dan terus teringatkan ayah dan ibu di kampung. Tetapi, rebehan kami tidak terlalu lama, kerana Anuar Zain tersilap di separuh nyanyian. Dia berhenti untuk menyanyikan lagu itu semula. Pada nyanyian kedua, rebehan kami tidaklah sederas tadi.


Malam itu juga terdapat 2 orang artis jemputan yang sangat saya kenali. Jay Jay dan Liza Aziz. Saya agak teruja melihat Jay Jay menyanyikan lagu ‘Cukuplah Sekali’ dan lagu duet ‘Kita Insan Biasa’ bersama Ziana Zain. Zul pula agak berselera melihat persembahan Liza Aziz kerana Zul memang minat wanita-wanita matang sepertinya. Segala persembahan tamat dalam lebih kurang jam 12.30am. Aduh, bayangkanlah, rakaman untuk tayangan 40 minit, mengambil masa lebih kurang 3 jam. Kami keluar dari dewan auditorium itu ketika mereka hendak mengulangi lagu yang terakhir.





Setelah keluar, kami terus menuju ke Uniten untuk menghantar kawan-kawan Zul. Dan apabila dalam perjalanann pulang ke Gombak, kami singgah di Mali’s Corner untuk makan malam. Terima kasih saya ucapkan kepada Zul kerana memberikan saya pengalaman ini. Hehehehehe.

1 ulasan:

fahmie Kaiser berkata...

haha.. siut ko.. mane der aku meleley.. yg x tahan tu ulang performance berulang kali.. mmg penat tu dgr 2x bende yg same.. lagu raye first dah syahdu, tetiba silap lak, mmg kaco jiwa aku.. haha