Isnin, 30 Jun 2008

Bertemu lagenda hidup di Laman Santai.

Setelah puas merayau dalam kompleks Alamanda, kami pun berpisah dengan Hazman di tempat letak kereta. Kemudian, kami bergerak pulang mengikut arah masing-masing. Keluar sahaja dari wilayah Putrajaya, Kami mula berbual dalam perjalanan.


“Hmm, balik nanti singgah Mali’s nak? Aku mengidam kuey teow dia la”



Ujar Zul yang ternyata masih tidak puas dengan makan malam kami tadi. Ya, ternyata makan di medan selera selalunya tidak begitu memuaskan nafsu lapar kami yang membuak-buak.



“Eh, hari ni Sabtu kan?” Zul bersuara lagi.



“Ha-ah... Kenapa?” Saya bertanya kembali.



“Hari ni ada laman budaya lah, kat Istana Budaya... baru start ni, ada show artis, ada joget lambak selalunya... Jom pergi nak? Silap-silap ada makan free” Zul membuat satu penerangan yang agak terperinci.



“Ooooohh... ha-ah... tak silap aku malam ni ada orang baca sajak! Ntah-ntah A. Samad Said pun ada malam ni... OK gak tuh!” Ujar Pokcik menyokong pelawaan Zul.



“Hmm... OK gak...” Saya menjawab dengan separa malas, kerana saya agak letih sebenarnya dan jam sudah menunjukkan pukul 9.15pm.



Kereta Zul mula meluncur deras menuju Istana Budaya. Laman Santai adalah satu program oleh kerajaan di bawah KEKKWA untuk menyemarakkan dan merakyatkan seni. Saya bukanlah penyokong kerajaan, tetapi, sebagai pecinta seni dan makan, saya agak seronok dengan usaha ini.



Sampai sahaja di Istana Budaya, kami terpaksa parking di Balai Seni Lukis kerana kebanjiran umat manusia yang hadir untuk berhibur dan makan percuma pada malam itu. Kami tidak kisah berjalan agak jauh, walaupun masing-masing sudah letih. Semuanya demi seni dan makanan.




Sampai sahaja di Laman Santai, sudah terlihat kerumunan manusia beserta kemeriahan suasana memenuhi perkarangan Laman Santai di Istana Budaya itu. Ada seniman sedang melukis, ada penyanyi dan pemuzik di pentas, ada penjual hasil-hasil seni dan kraftangan, dan yang paling penting, ada gerai-gerai makanan percuma.




Antara makanan yang ada terhidang malam itu adalah nasi lemak, mee goreng, bihun sup, roti canai, roti bakar dan juga teh tarik sebagai minuman. Setiap makanan di gerai yang berasingan. Saya mula menerpa untuk mengambil nasi lemak dan teh tarik. Sedang kami mula mencari tempat duduk untuk menjamu selera, tiba-tiba Raja Azura, selaku salah seorang pengacara majlis malam itu, telah membuat satu pengumuman yang berjaya menghentikan perjalanan saya.



“Saya ingin menyampaikan terima kasih yang tidak terhingga kepada tetamu istimewa kami, Pak Aziz Sattar, Pak Sudin, Pak Kassim Masdor, Pak Zaini Sattar, Mak Zaiton, Mak Neng Yatimah, yang sanggup datang memeriahkan majlis malam ini...”



Wah! Ini sudah bagus... sudah lama saya kepingin untuk berjumpa dengan mereka. Tidak saya sangka dapat melihat mereka di depan mata saya, terutamanya Pak Sudin. Mata saya mula meliar sambil berjalan untuk mencari tempat duduk mereka. Mereka duduk di kawasan VIP yang berhampiran dengan pentas utama. Akibat ramai sangat orang, kami terpaksa duduk di tepi longkang untuk menjamu selera. Sambil menyudu nasi lemak, saya mula bersuara.



“Weh, kita tangkap gambar ngan Pak Sudin nak?” – Hadi.



“Boleh ke? Takde orang pun yang tangkap gambar dengan diorang...” – Pokcik.



“Boleh kot, jap lagi lepas makan, kita try dekat sikit” – Hadi.



Kami bergegas menuju ke hadapan apabila setelah selesai makan. Ketika itu, Pak Aziz sedang mempersembahkan sebuah lagu di pentas. Baru sahaja kami cuba merapati pentas, tiba-tiba penonton yang hadir dijemput untuk turut serta dengan joget lambak setelah Pak Aziz habis menyanyi. Apa lagi, kami yang malu-malu cempiang ni terus melarikan diri, pergi kembali ke gerai-gerai makanan.



“Cis! Diorang berjoget la pulak...” Ujar saya. “Takpe-takpe, kita makan lagi dulu.”



Saya ingin makan roti bakar pula, tetapi rupa-rupanya roti bakar tidak percuma. Lalu saya beralih pada roti canai. Zul turut makan roti canai bersama saya. Pokcik tinggal di hadapan pentas ketika kami makan. Apabila kami siap makan, Pokcik mula menghampiri kami.




“Macam tak boleh je... macam ada orang jaga diorang...” Pokcik mengeluh.



“Takpe, kita try dekat lagi jap lagi” Saya meyakinkan Pokcik lagi.



Kami meneruskan langkah ke gerai-gerai semula kerana Pokcik ingin makan mi gorang pula. Zul turut ambil sepiring walaupun dia sudah makan roti canai bersama saya. Boleh tahan juga pelahapnya. Saya hanya larat untuk ambil sebotol air mineral sahaja. Kali ini kami memilih tempat duduk yang agak berhampiran dengan kawasan meja tetamu. Pokcik dan Zul duduk sambil makan mi goreng. Saya hanya berdiri kerana resah untuk bergambar dengan Pak Sudin.



“Kita kena tangkap jugak gambar dengan diorang ni, ini je chance kita” Saya ibarat pemidato pula.


Pokcik hanya mengangguk tanda setuju sambil mulut berminyak mengunyah mi. Selesai sahaja mereka mengunyah, tanpa sempat mereka mengesat bibir, kami terus merapati tempat duduk VIP yang ada Pak Sudin. Kami sudah mula memikirkan taktik-taktik gerila untuk bergambar bersama mereka. Kami agak risau kerana ada pengawal keselamatan (mungkin polis) berpakaian preman menjaga mereka. Ini adalah kerana ada menteri dan senator yang akan datang pada malam itu.



Ketika kami sudah sedia dengan rancangan kamikaze kami, tiba-tiba Pak Aziz bergerak meninggal kan meja mereka. Saya, berbekalkan tubuh yang lebar, terus menahan beliau untuk bersalam dan bergambar.




Tetapi, kami masih tidak puas hati. Sasaran utama kami Pak Sudin. Saya memberanikan diri lagi. Cuba untuk rapat. Tiba-tiba, tanpa disangka, Pak Sudin juga bangkit dan meninggalkan meja mereka. Lagi sekali, ibarat penyamun, saya menghalang.



“Assalamualaikum Pak! Boleh kami bergambar?”



“Wa’alaikumsalam... Boleh, tapi Bapak nak buang air dulu.. Dah nak terkucil ni.. sekejap ya..” Pak Sudin membalas mesra.



Kami yang masih bersemangat dan berkobar-kobar, masih menanti sehingga Pak sudin keluar dari tandas. Apabila kami nampak sahaja beliau keluar dari bangunan Istana Budaya, Kami terus terjah Pak Sudin yang berehat di kawasan Parking. Ternyata Pak Sudin seorang yang peramah dan mudah mesra. Agak lama kami berbual dengan beliau. Saya agak terharu Pak Sudin masih ingat saya dan Pokcik pernah melambai kepadanya semasa kami bermain gamelan di Carrefour Mid Valley pada tahun lepas. Pak Sudin juga memberikan nombor telefon rumahnya pada kami, dan meminta kami singgah ke rumahnya, andai kata kami berkesempatan ke Singapura.





Setelah bersalam, kami pun mula meminta diri, walaupun masih banyak lagi persembahan yang berlangsung.



“Kalau kita mati malam ni pun takpe, Aku dah puas, dapat jumpa legend” Pokcik berkata sambil tersenyum...

Saya pula, sudah menjumpai cita-cita saya yang baru!


Tiada ulasan: