Isnin, 19 Januari 2009

Merayau lagi dia! Dari Bukit Bintang ke CM

Setelah berpisah dan keluar dari kereta Soraya, saya berjalan sorang diri dengan langkah riang-ria aidil fitri. Tujuan saya jelas. Saya mahu singgah kedai Joe Kidd Ricecooker untuk membeli album Marjinal. Ketika berjalan, seperti biasa dapat dilihat segerombolan anak muda sedang berkumpul. Hmm, masih jadi tempat kumpul rupanya.

Tapi, gerombolannya yang sudah berubah jenis. Mana pergi budak-budak punk? Mana pergi mamat-mamat dan minah-minah emo rambut senget? Mana pergi skinhead-skinhead for life, dengan Vespa dan Lambretta mereka?




Huh! penuh dengan penari-penari shuffle pulak! Adakah ini yang digelarkan perubahan zaman? Walaupun saya pernah kagum mengenai shufle bersama bartender terhebat Ghaffar Azagtogh, tapi itu 6 tahun yang lalu beb. Ghaffar pun sudah bekerja di Petronas. Sudah lah shuffle! Hidup Breakdance! Wah, sungguh jumud pemikiran "sekolah lama" saya. Saya meninggalkan gerombolan itu dengan bibir yang mencebik. Perjalanan diteruskan menuju perhentian bas.




Sambil meneruskan lenggok bujang saya ke perhentian bas, beberapa gadis lingkungan lewat 30an memegang sepanduk, sambil mendekati saya.

"massage, massage? Full service pun ada..."

Saya dengan sedikit sengih, saya menolak dengan hormat. Solekan tebal mereka agak menakutkan saya. Saya teruskan langkah saya naik bas. Perjalanan bas pada mulanya terasa agak laju, akan tetapi mula perlahan apabila sudah masuk ke belakang Kotaraya. Oleh kerana saya agak kurang sabar, saya turun sahaja di situ, dan tekad untuk jalan kaki ke CM.




Bedebah betul... Jejak sahaja kaki ke tanah, dengan lancarnya bas tadi meluncur ke CM. Saya terpaksa jalan kaki. Itulah, pengajarannya bagi mereka yang tek reti bersabar. Rakus sangat...





Sampai sahaja di CM, saya naik ke surau untuk solat Asar. Kalau lengah-lengah nanti terlupa. Biasalah, saya kan remaja... Sudahlah Zuhur tadi saya terlepas waktu. Agak ramai juga dalam surau pada petang itu. Mungkin mereka turut mahu mendoakan buat Palestin. Selesai solat, saya meneruskan perjalan menuju Annexe. Saya mahu singgah Ricecooker. Mahu beli album Marjinal. Keluar sahaja dari pintu belakang CM, ada seorang lelaki Jepun tua memberikan saya sekeping risalah, dan menunjuk ke atas.



Oh, ada pameran menentang perang dan senjata nuklear. Sebagai pembenci perang, saya agak teruja untuk naik ke atas dan menyertai pameran.




Sampai di atas, video tayangan sedang diputarkan. Saya duduk sebentar menonton dan kemudiannya memerhati kan gambar-gambar dan rencana-rencana yang terlekat di dinding. Pameran tersebut dijayakan oleh KLFCW bersama beberapa NGO lain seperti Nagasakiken Gensuikyo.




Dari pameran itu, hanya satu resolusi dapat dibuat. Perang adalah jenayah. Saya juga sempat berbual dengan beberapa mangsa sebenar yang terselamat. Oleh kerana mereka tidak fasih berbahasa Inggeris, saya dibantu oleh jurubahasa mereka yang hanya mahu dipanggil Aikiko. Wanita aktivis itu turut berbual dengan panjang dan menjemput saya singgah di rumahnya di Tokyo. Dia ingat tambang kapalterbang macam tambang bas agaknya. Saya passport pun takde. Agak kekok juga kerana saya kerap membongkok membalas bongkokan mereka apabila sudah bersalaman.


Encik Tatsuya Kawaguchi (survivor), Hadi dan Aikiko


Tembikar, Dinding marmar, batang pokok yang mencair hanya kerana terkena sinaran radiasi letupan bom atom.


Antara lukisan gambaran oleh mangsa perang


Sebelum saya meninggalkan bilik pameran, saya turunkan tandatangan menunjukkan sokongan di kaunter. Dengan harapan, petisyen itu akan diambil peduli. Ya, mungkin ada yang berkata Jepun kejam, pancung orang, rogol orang... Tapi yang menjadi mangsa perang bukan askar sahaja. Kanak-kanak dan wanita mereka juga menderita.



Setelah menurunkan tandatangan, Makcik-Makcik Jepun itu menghadiahkan saya sekeping poskad sebentuk origami dan "arigato gozaimas". Saya yang tidak reti jepun membalas dengan "sama-sama" dan sekuntum senyuman.



Saya keluar, dan turun ke kedai Ricecooker meneruskan hajat saya mencari album Marjinal. Masuk dalam kedai, Joe Kidd sedang duduk bersama Alak. Mata saya melilau mencari album Marjinal tapi masih tidak kelihatan. Saya terus bertanya pada Joe Kidd.

"Marjinal ada tak?"

"Marjinal? Kaset dia dah habis la"

"CD dia ada?"

"CD memang takde"

Hampeh! Saya keluar dengan kecewa... Perjalanan diteruskan ke Jalan TAR pula!

1 ulasan:

Khairi Anuar berkata...

bukan sombong mahupon snobbish ... daku teramat lah bizi gilerz hingga terlupa utk makan ... tapi jgn risau ... kite jumpe nanti di majlis makan bayar sendiri ... nanti nak mintak sesape amik aku kat stesen lrt kg baru ... heee :)