Khamis, 24 Julai 2008

Kelana Bujang di Kota Bharu - Bahagian 3

Pagi itu saya bangun agak awal. Setelah usai Subuh, saya masih malas untuk mandi dan manggosok gigi. Dengan hanya berkumur-kumur, saya terus bersarapankan ayam goreng yang dibeli malam tadi, besertakan air pepsi. Terasa seperti pelancong barat pula bersarapankan ayam goreng dan air bikarbonat. Melihatkan jam di telefon bimbit saya baru pukul 7.30am, terbit perasaan bermalas-malasan yang memangkinkan saya untuk tidur kembali.



Saya melelapkan mata sehingga jam 8.30am. Kemudian, dengan tenaga yang baru, saya terus mencapai tuala dan bergerak ibarat manusia mesin ke bilik mandi. Saya mandi dengan senyap tanpa bernyanyi kerana risau akan mengejutkan tetamu-tetamu lain yang masih enak dibuai mimpi.



Selesai mandi, ketika keluar dari bilik mandi, saya bertembung dengan salah seorang ‘gadis kemban’ malam tadi. Akan tetapi, kali ini dia sudah lengkap berpakaian. Mungkin dia hendak turun bersarapan Agak manis juga gadis itu dengan pakaian lengkap. Sempat saya melemparkan senyuman manis kepadanya.



Setelah siap berkemas dan berpakaian, saya memastikan adakah saya cukup lengkap untuk berkelana. Air mineral disisi beg, bateri kamera sudah ditukar, kemeja t kain kapas serap peluh, kaca mata hitam, gula-gula getah. Ya, gula-gula getah amat penting supaya mulut sentiasa berbau segar, kerana sebagai kelana bujang, pasti saya akan banyak bertanya jalan, serta sengaja bertanya jalan kepada gadis-gadis tempatan yang pastinya comel-comel belaka. Yakin dengan persiapan saya, saya mengutip sampah-sampah, memastikan tiada yang tercicir, dan terus ke kaunter untuk daftar keluar dan memulangkan kunci.



Saya memberikan lambaian terakhir kepada Backpacker Inn pada jam 9.00am dan memulakan perjalanan saya melalui lorong-lorong kecil celah bangunan. Pada mulanya agak takut untuk saya menyusuri lorong-lorong kecil itu, akan tetapi, melihatkan makcik-makcik dan gadis-gadis pun berani, saya ikutkan sahaja.



Setelah itu, saya pergi ke perhentian bas berdekatan untuk membeli tiket pulang ke Kuala Lumpur. Saya bernasib baik kerana masih ada tiket untuk malam itu. Saya telah membeli tiket bas Transnasional dan perlu mengambil bas di perhentian Langgar.



Saya meneruskan perjalanan saya dengan patah kembali menuju ke Pasar Besar Siti Khadijah. Di bahagian luar, terlihat peniaga-peniaga sedang rancak menjual buah-buahan dan juga ikan-ikan segar.



Masuk sahaja di dalam, terlihat pasar yang didominasi oleh kaum wanita itu masih dalam peringkat persediaan awal untuk memulakan perniagaan. Saya tidak pasti sama ada mereka sudah habis tempoh sibuk atau belum mula. Kerana tidak terdengar hiruk-pikuk yang biasa didengari di Pasar Borong.




Saya meneruskan perjalanan ke tingkat teratas dan suasana tingkat teratas ternyata agak menakjubkan saya. Pemandangan di atas agak menarik dan penuh warna-warni. Dari atas, saya melihatkan keadaan jual-beli dibawah ibarat saya menonton televisyen. Pemandangan itu agak unik sekali.



Di tingkat teratas itu juga saya dapat rasakan pemandangan yang penuh warna-warni akibat dari percampuran warna barang-barang yang dijual. Kecantikan penuh warna-warni itu membuatkan saya kagum lagi. Di setiap gerai yang saya lewati, pasti ada pakcik, makcik, ataupun gadis-gadis yang cuba menawarkan harga dan meminta saya membeli barangan mereka. Oleh kerana saya sebagai kelana bujang yang miskin, saya hanya diam, melemparkan senyuman penuh ikhlas kepada mereka, dan berlalu pergi.



Agak ramai gadis-gadis yang comel-comel belaka menjaga gerai-gerai dalam pasar itu. Memang Kelantan dikenali dengan rupa gadis-gadisnya yang manis bak gula, senyuman seindah delima merekah, kulit putih sehalus sutera Cina, lenggok bahasa yang menggoda yang meluluhkan jantung hati. Sehingga wujudnya kata bidalan yang direka oleh orang-orang terdahulu, SKMK – ‘Sampai Kelantan Mesti Kahwin’.



Andai saya membawa ibu saya sekali dalam kelana ini, pasti saya akan meminta ibu untuk meminang mereka disitu juga. Ingin saya menangkap gambar mereka untuk ditunjukkan kepada ibu akan tetapi, saya tidak seberani Faris untuk menangkap gambar mereka secra berhadapan. Apatah lagi, saya tidak membeli satu apa pun dari mereka... malu lah saya.. hehehehe... Jadi, wajah mereka hanya terpahat kekal di hati saya...



Keluar dari pasar itu, saya agak seperti tiada halatuju sebenarnya. Saya SMS Faisal, kerana teringat yang dia hendak makan tengahari bersama saya.


“Aku tgh rayau2, kalau ko nak lunch sekali nanti ko msg laa..”


“Alamak, sini ada event lah pulak... Nti aku msg ko blk..”




Saya meneruskan perjalanan, dan menerusi Laman Siti Khadijah. Sepanjang perkelanaan saya, dapat saya lihat papan-papan tanda yang memaparkan kata-kata hikmat. Juga dapat saya lihat pelbagai unsur-unsur kesenian Islam yang tidak ‘kosong’ di keliling bandar itu. Memang usaha oleh kerajaan negeri Kelantan memartabatkan bandaraya itu sebagai Bandaraya Islam. Sekurang-kurangnya apabila saya membaca nama Allah yang tercoret itu, pasti saya mendapat pahala.



Dalam keterpingaan saya, saya ternampak satu bangunan yang agak menarik. Bangunan yang menempatkan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan. Saya rasa ini adalah peluang baik saya untuk berkelana. Dengan gaya pelancong yang bebas dan bergaya, saya melangkah masuk ke dalam pejabat Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.



Kedatangan saya disambut baik oleh 3 gadis yang bertugas di pejabat itu. Dengan ibarat artis, mereka melayan saya dan menjawab segala pertanyaan saya. Mereka menerangkan mengenai tempat-tempat menarik sekitar Kota Bharu. Saya juga diberikan cenderahati dari kementerian, buku-buku panduan pelancongan, serta dibekalkan dengan peta ringkas bagi pelancong. Setelah puas bercengkerama dan bermesra dengan gadis-gadis itu, saya mula merayau ke pelbagai destinasi.



Saya bermula dengan masuk ke Kompleks Kraftangan di mana terletaknya Muzium Kraftangan Kelantan, restoren, dan beberapa gerai yang menjual hasil-hasil kraftangan. Bangunan buatan kayu yang indah terukir menampakkan motif kesenian yang indah pasti memikat pandangan pecinta seni seperti saya.




Kemudian, saya meneruskan perjalanan masuk ke Muzium D’Raja Kelantan. Bangunan itu pada awalnya dipanggil Istana Batu, diubah menjadi muzium dengan banyak menyimpan harta-harta peribadi milik kerabat istana Kelantan. Agak banyak benda yang pelik dan unik dapat saya perhatikan dan amati. Dalam kesemua muzium, adalah menjadi kesalahan untuk menangkap gambar. Akan tetapi oleh kerana saya memang degil, saya tetap menangkap beberapa gambar. Ibu saya pun kata saya memang degil.



Yang paling buat saya tertarik adalah sebilah keris yang saiznya astaghfirullahalazim besarnya. Terkejut saya dengan kebesaran keris itu. Lebih besar dan tinggi dari seorang manusia lelaki normal. Andaikata keris itu diguna untuk menyula manusia, pasti manusia itu akan menjadi secucuk sate yang besar.



Destinasi seterusnya, saya berjalan melintasi sudut seni dan meneruskan perjalanan sehingga sampai ke halaman Istana Balai Besar.


Disitu saya sempat melihat dan membelek-belek Bank Pitis Negeri Kelantan.



Kemudian saya singgah ke Istana Jahar, yang telah menjadi Muzium Adat Istiadat Di Raja Kelantan. Saya tidak masuk ke dalam Istana itu, kerana saya ingin pergi lagi di lain kali. Jadi, saya simpan sedikit tempat yang tidak saya masuk. Lagipun, agak ramai pelancong yang masuk ke muzium itu pada hari itu.



Saya meneruskan perjalanan, melintas jalan pergi ke Padang Merdeka. Padang itu penuh dengan sejarah tersendiri. Di sini lah jenazah As-Syahid Tok Janggut digantung secara terbalik oleh pihak Inggeris. Saya mengambil kesempatan duduk seketika di sebuah tugu di situ sambil melepaskan lelah seketika.



Setelah beberapa minit berehat, saya meneruskan perjalanan untuk masuk ke Muzium Kesenian Islam Kelantan. Oleh kerana saya pecinta seni dan Islam, jadi saya amat berminat untuk masuk dan menikmati suasana. Akan tetapi, entah mengapa, muzium itu tutup pada hari itu. Saya dengan kecewa terus berlalu pergi.



Di sebelah Muzium Kesenian Islam itu, terletaknya Muzium Perang. Walaupun saya seorang pembenci perang, akan tetapi saya masuk juga ke dalam muzium itu untuk belajar sejarah dan mengambil iktibar. Hati saya tersentuh syahdu melihat gambar, dan membaca cerita mengenai proses pemburuan Tok Janggut oleh pihak Inggeris dan juga beberapa orang tempatan yang membantu. Di dalam muzium itu juga terdapat sebiji kamera lama yang digunakan untuk menangkap gambar pada zaman dahulu.



Puas menyerap sejarah dari muzium itu, saya meneruskan langkah kaki saya menuju ke Jambatan Di Raja, yang kini sudah menjadi Jeti Di Raja. Ianya terletak di tebing sungai Kelantan yang amat lebar.



Di sana saya sempat berehat sebentar, mengecapi nikmat angin sepoi-sepoi bahasa yang menyapu tubuh, mengeringkan keringat dan menyegarkan. Sambil berehat, sempat saya termenung seketika dan melihat-lihat panorama pemandangan. Akan tetapi, sungai Kelantan itu tidak jernih seperti embun pagi, akan tetapi ianya agak coklat, seperti air teh wakaf di masjid pada malam Jumaat, sesudah membaca Yasin.



Setelah puas melayan emosi di pinggir kali, perut saya mula memainkan irama keroncong yang kurang enak bunyinya. Jam sudah menunjukkan pukul 12.30pm. Saya mempercepatkan langkah ke deretan gerai makan yang ada di tebing sungai itu.



Saya memilih gerai yang tiada orang langsung kerana saya ingin makan dengan aman damai. Saya menikmati hidangan tengah hari itu sambil berbual dengan tuan empunya kedai bersama adiknya yang manis rupawan. Semakin sedap hidangan yang saya jamah itu rasanya.



Setelah ‘paghuit den kanyang, hati den sanang’ (perut ku kenyang, hati ku senang), saya membayar harga makanan dan memberikan lambaian terakhir kepada kakak tuan kedai dan juga adiknya yang manis itu. Saya mula mencari bank kerana duit dalam dompet anggun saya tinggal hanya beberapa keping sahaja lagi. Setlah ringan mulut bertanya, akhirnya saya menjumpai bank CIMB di Medan Ilmu.



Memang berseuaian dengan namanya, Medan Ilmu itu dikelilingi oleh kedai-kedai buku yang ternyata banyak menjual buku-buku penuh ilmu.



Setelah mengeluarkan duit dengan secukup rasa, saya kembali berpatah balik ke kawasan berhampiran Pasar Besar Siti Khadijah, untuk membeli ole-ole untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan itu, saya memerhati keliling. Saya agak berbangga kerana tulisan Jawi masih dimartabatkan dan diwajibkan di setiap papan tanda.



Sambil-sambil melihat papan tanda, saya sempat melihat gjuga wajah-wajah gadis yang sentiasa menyejukkan hati seorang Hadi... hehehe


Oleh kerana dahaga, saya agak terliur melihat air dingin yang dijual di tepi Pasar Besar Siti Khadijah. Saya agak gusar untuk membeli air manis di Kelantan kerana agak diketahui umum tentang tahap kemanisan air minumannya. Jadi saya cuba menjadi pembeli yang bijak. Saya telah membeli segelas air oren kerana mungkin air oren itu masam dan kemasamannya dapat mengurangkan sedikit rasa manis.



Ternyata saya tidak sebijak yang saya sangka. Manisnya... perghh!! Sampai melekit rasa lidah saya.. saya cuba juga habiskan agar tidak membazir.



Perkelanaan saya diteruskan sehingga saya sampai ke Kompleks Kraftangan pula. Saya merayau-rayau melihat apa yang dijual dan mencari-cari barangan yang sesuai untuk dibuat cenderahati. Ketika asyik memerhati, datang sekumpulan 3 orang gadis pelancong dari Eropah mungkin. Saya pun turut menyibuk bersama mereka mencari-cari barang dalam kedai yang agak kecil itu.


Sedang sibuk berlagak pelancong, tiba-tiba Faisal SMS.


“Ko katne?”


“Aku tgh rayau2 kat Kompleks Kraftangan. Ko dah makan? Aku dah...”


“Aku pun dah. Kalo ko dah puas berjalan, dtgla UITM”


“Orait babeh”



Setelah puas merayau dan membeli cenderahati, saya mulakan langkah untuk pergi ke UITM. Dalam sedang enak berjalan, tiba-tiba hujan mula turun. Saya terus masuk ke Masjid Al-Barqah untuk berlindung dari hujan dan solat. Pada mulanya saya hendak solat di Masjid Muhammadi, akan tetapi hujan yang turun dengan tiba-tiba, saya memilih masjid yang bersebelahan dengan Pasar Besar Siti Khadijah itu.



Setelah selesai solat jamak, saya memilih untuk berehat dahulu, di dalam masjid sambil menanti hujan yang turun mula reda. Apabila sudah reda nanti, baru lah seronok hendak meneruskan kelana ke UITM pula... Bersambung...



Tiada ulasan: