Rabu, 27 Oktober 2010

Bila tak menentu


Bila masa sekolah, asyik tak nak sekolah. Nak balik rumah.
Bila tak sekolah, tak nak duduk rumah.
Bila dah mula seronok di sekolah, tak nak balik rumah.
Bila balik rumah, sibuk nak pergi sekolah.

Bila habis sekolah rendah, sibuk nak masuk asrama.
Bila dapat masuk asrama, sibuk nak keluar asrama.
Bila dah sedap duduk asrama, kena buang asrama.
Bila kena buang asrama, sibuk nak merayu masuk asrama.

Bila sekolah menengah, malas balik rumah.
Bila duduk rumah, haram tak ingat sekolah.
Bila masa sekolah, tak sabar nak habis belajar.
Bila habis SPM, tak sabar nak sambung belajar.

Bila dapat sambung belajar, sibuk memilih kursus.
Bila dapat kursus kehendak, sibuk nak pilih kelas.
Bila dapat kelas yang nak, sibuk tak pergi kelas.
Bila kena bar masuk periksa, sibuk merayu nak ambil periksa.

Bila masuk universiti, perangai tak ubah-ubah.
Bila waktu patut belajar, sibuk nak bersosial.
Bila waktu bersosial, borak cerita pasal cita-cita.
Bila ada cita-cita, sibuk nak habis belajar.

Bila habis belajar, sibuk nak cari kerja.
Bila cari kerja, mulut manis masa temuduga.
Bila dapat kerja, mengular perkara biasa.
Bila sibuk kerja, kelam-kabut nak berhenti kerja.

Aduh!


Khamis, 21 Oktober 2010

Solidariti Kancil

Satu pagi di tahun 2009

"Kau dah nak pergi kerja?"
Suara Pokcik yang baru keluar dari bilik dan masih belum gosok gigi, menegur saya yang sedang mengamati wajah sendiri di hadapan cermin.

"Ha'ah.."
Puas mengamati struktur kesempurnaan wajah, saya memasukkan baju ke dalam seluar gaya kemas. Seluar saya rendahkan ke bawah pusat. Biar terselit di bawah lipatan perut, asal tidak nampak terlalu skema di mata masyarakat.

"Gerak dulu Cik!"
Pokcik ditinggalkan sepi di dalam bilik mandi. Harap-harap dia tidak sambung tidur. Saya masih mentah dalam bidang pemanduan ke pejabat. Jadi saya bergerak agak awal dari rumah. Dengan lafaz bismillah disulam tiga kali takbir, tiga kali solawat, enjin kereta pun dihidupkan. Setelah lagu Breakfast at Tiffany's diputarkan, pedal minyak BEN pun ditekan sopan.

Saya memandu dengan kelajuan bawah paras had laju kebangsaan, akibat masih kekok memandu. Maklumlah, sudah hampir 5 tahun tidak memandu, masih belum ada keberanian penuh. saya memandu tenang di lorong tengah di lebuhraya.

Tiba-tiba muncul satu perasaan kurang senang. Oleh kerana mempercayai daya intuisi, saya menjeling ke arah cermin pandang belakang. Ada satu kereta import mencucuk rapat dari belakang.

Saya pun menambah kelajuan, kerana menyangka bahawa saya memandu terlalu perlahan. Semakin laju saya bawa, semakin rapat kereta itu mencucuk. Apa masalahnya? Padahal saya di lorong tengah. Jadi, sebagai pemandu berhemah, saya pun masuk ke lorong kiri yang kosong..

Setelah selamat di lorong kiri, saya memerhatikan kereta yang laju mencucuk tadi. Masih laju nampaknya. Di belakang kereta itu, saya perasan satu kelibat kereta kancil warna biru pekat. Wajah pemandunya cukup saya kenal. Dengan selamba, siku kanan terkeluar dan memetik abu rokok, berambut kerinting, Pokcik mencucuk kereta yang mencucuk saya tadi. Saya tersengih girang sambil tangan kanan menunjukkan isyarat ibu jari "bagus". Dendam dibalas tunai.

"Geram aku tengok mamat tu cucuk kereta kau sial. lorong tengah pulak tu"
Bicara Pokcik ketika kami makan nasi menghadap tv malam itu. Jangan main-main dengan solidariti kami. Haha...

Oh ya, Pokcik sudah ada blog sendiri akhirnya.. cuba klik sini..



Selasa, 19 Oktober 2010

PMR - Kue Sera Sera



Nama kumpulan ini PMR.
Pengantar Minum Racun
Ganas kan?

"Dibuat gampang
Hidup ini bisa gampang
Dibuat susah
Hidup ini bisa susah"

*Gampang dalam Bahasa Indonesia bermaksud "mudah".

Khamis, 14 Oktober 2010

Fall Out Boy - Disloyal Order Of Water Buffaloes

Antara lagu yang kerap diputarkan ketika memandu..


"Tiada sesiapa mahu mendengar anda berdendang mengenai musibah"

Rabu, 13 Oktober 2010

Selera pendosa adakalanya tak sedap juga

Tengahari itu Apis punya selera lain macam. Dia ajak kami, ahli persatuan makan tengahari Cyberjaya untuk berubah angin. Dia ajak kami makan di Putrajaya. Saya sebagai seorang "adventurer" hanya mengikut tanpa fikirkan masa hadapan.

Memang mencabar nak makan waktu tengahari di Putrajaya. Dia punya penuh tak boleh dibuat main-main.

Saya, Pokcik, Apis dan Wan D sibuk-sibuk naik kereta Ikmal. Gaya budak kampung yang tak pernah naik kereta besar. Iman Belia kami biarkan naik kereta sendiri.

Berkat cabut awal, kami sampai di sana sedap-sedap sahaja. Orang masih belum ramai. Ada juga sekumpulan jururawat. Tapi tak ramai yang muda. Apis yang tidak berkira sangat, tetap mengusya dengan sopan. Apis memang agak sopan dan pendiam orangnya. Dia gemar makan sayur dan binatang kurang tulang. Sebab itu dia suka makan ikan pari. Pokcik ambil nasi kukus di satu gerai Kelantan. Masih kuat semangat Ibrahim Ali beliau. Saya cuba menukar selera hari itu. Saya makan satu roti john saiz panjang bersama semangkuk ABC pelik berwarna kuning dan tinggi menggunung. Roti John tak berbaloi. Telur sahaja lebih. Daging hanya ada dua-tiga cebis sahaja. Andai dikumpulkan cebisan daging itu, lebih kurang besar duit 20sen.

Sedang asyik makan + berborak + mengusya makwe, meja pasukan makan tengahari kami dikejutkan oleh seorang gadis.

"Bang, minta maaf bang, ganggu kejap. Saya nak memperkenalkan sikit ni.. bla.. bla.. bla..." Laju sungguh gadis jurujual itu berbicara.

"Apa benda?" Saya yang sedang asyik mengunyah, menoleh, lalu memandang ke arah gadis itu dengan wajah persoalan. Ahli pasukan yang lain masih sibuk makan buat endah tak endah. Apis sambil menyuap kejap-kejap menoleh ke arah kumpulan jururawat duduk.

"Oh.. ini bang.. bla.. bla.." Gadis itu merapati saya, masih bercakap laju, sambil cuba menjual pakej cd Al-Quran bersama satu keping buku surah Yasin dan satu keping buku surah-surah pilihan.

"Ini bukan orang Akademi Fantasia bang, ini orang dari Akedemi Al-Quran yang baca.. bla.. bla.. bla.." Saya cuba tumpukan perhatian. Sudu sudah diletakkan dan mulut sudah berhenti mengunyah.

"Berapa harga ni?" Saya tanya balik.

"Lah.. kan saya dah cakap... hari ini ada harga promosi khas. Semua sekali RM10 sahaja. Bertuah kalau abang beli hari ini. Abang tak dengar ye saya cakap tadi? Saya cakap laju sangat ye? ..."

Memang saya pun sedang mencari cd Al-Quran sebegini. Alang-alang sudah depan mata, murah pula tu. Beli sahaja lah. Dapat surah Yasin sekali. Saya keluarkan duit dan bayar.

"cd ni nanti abang masuk kereta sahaja dah boleh dengar.. bla.. bla.. bla.." Gadis itu masih tak berhenti bercakap.

"Baik awak jangan kacau dia makan, kalau kacau dia makan, nanti dia marah, dia makan orang..." Pokcik ugut gadis itu dengan riak wajah serius.

Gadis itu tersengih lalu melangkah pergi. Saya belek cd di tangan kiri. Bukan kurang ajar, tapi tangan kanan sudah melekit.


"Betul ke harga promosi hari ni je? Ntah-ntah memang hari-hari RM10.." Iman Belia keluar bunyi.

"Ntah-ntah dia tipu.. haha.." Ikmal pula sambung..

Amboi, tadi masa budak tu jual, senyap sahaja ya.. bukan main lagi.

"Apa hukum agaknya?" Pokcik pula bersuara.

"Hukum apa Cik?" Saya tanya balik.

"Tipu harga jual cd Quran..." Pokcik sambung sambil belek botol air tebu yang tak sedap. Rasa macam tebu kunyah pakai gigi, lepas itu luahkan masuk dalam botol. Pokcik kata lah kan..

"Ntah lah. Kita bersangka baik je lah ye.."

Saya sambung hirup ABC warna kuning air jagung. Memang tak sedap. Lain kali tak nak beli lagi.

Khamis, 7 Oktober 2010

The Buzzcocks - Why can't I touch it



"Jadi, mengapa saya tidak dapat menyentuhnya?"

Masih belum ada seru untuk kembali menulis panjang.. adeh..
Jadi, layan lagu dahulu..
Saya kerap bernyanyi lagu ini buat masa ini, ketika mandi ataupun memandu.. :)



Syawal sudah nak habis rupanya

Dah nak habis pun syawal...
Rasanya sempat lagi nak ucap kot...

Selamat Hari Raya! Maaf Zahir Batin.. :)