Isnin, 27 April 2009

Temuduga yang menduga keimanan

Beberapa minggu sebelumnya, saya mendapat mesej dari Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur.

Mesej berbau manis itu meminta saya datang di satu sesi temuduga di Perpustakaan Kuala Lumpur. Tahu tak dekat mana? Dekat betul dengan Dataran Merdeka.

Ini satu peluang baik! Ada kemungkinan saya kerja kerajaan! Ada kemungkinan saya menjadi pegawai! Ada kemungkinan saya ada pencen di hari tua, klinik percuma, anak-anak pun senang, isteri pun boleh beranak secara percuma. Ceh, berangan sampai ke situ pulak.

Pagi itu saya bangun awal. Lepas Subuh, walau saya tidur balik, tapi saya tidur tak sampai sejam. Pukul 7.45am saya dah bangun. Walaupun saya balik dari merayau pada jam 3 pagi. Mata terasa segar secara semula jadi. Awal-awal lagi saya dah gosok kemeja belang-belang biru putih saya. Baru lah kacak dan berketerampilan.

Lepas mandi, saya pun mencukur misai dan kemaskan janggut sikit-sikit. Biar nampak matang dan bijaksana. dah siap wangi-wangi, sarung baju dan seluar, boxer pun saya pilih yang paling berketerampilan. Biar tambah keyakinan. Rambut pun taruk gel sikit, pastu tolak-tolak pakai jari je. Tak pakai sikat pun.

Sedang saya menyarung kasut kulit terpakai berjenama Doc Marten yang dibeli di bundle tahun lepas, tiba-tiba ayah keluar dari bilik.

"Kau nak kemana pagi-pagi ni?" Ayah tanya.

"Interview kerja kat Kolumpo." Saya jawab sambil keluarkan kaki seluar dari stokin. Macam mana boleh termasuk pun tak sedar.

"Ada duit tak?" Ayah tanya lagi.

"Ada!" Saya separa tipu.

Kemudian ayah masuk bilik dan hulur kat saya rm10. Saya sambut dengan senyuman ikhlas dan ucapan terima kasih.

Dengan tak bersarapan, saya terus keluar rumah tunggu bas. Semasa tunggu bas lagi, sudah ramai yang memandang-mandang saya. Maklumlah, mungkin mereka tak pernah lihat saya sekacak itu. Hari Sabtu pula tu. Selalunya saya hanya akan pakai baju hitam. Tapi, saya tidak pedulikan pandangan masyarakat waktu itu. Segala harungan akan saya tempuh.

Dalam bas, saya memandang ke luar tingkap, sambil jari mengetuk-ngetuk kerusi depan ikut rentak irama lagu yang berkumandang dari telefon berMP3 saya. Kepala otak masih lagi berangan-angan jika saya dapat kerja. Mana nak pergi bercuti, siapa kawan-kawan yang saya nak belanja makan, kedai mana nak pergi beli baju baru, bila nak rekod lagu baru. Kasut Macbeth dah berkali-kali terbang depan mata dalam khayalan tu.

Sampai sahaja dekat-dekat dengan Dataran Merdeka, saya pun tekan loceng untuk turun. Saya singgah dulu di kedai serbaneka untuk beli gula-gula bagi mengelakkan mulut berbau. Reputasi kena jaga beb. Sebotol air mineral juga tidak dilupakan. Bagi menjaga kuantiti air dalam tubuh.

Sampai sahaja, saya tengok dah agak ramai manusia beratur. Ada 5 kaunter semuanya. Kaunter 1 untuk mereka yang diberhentikan kerja. Kaunter 2 untuk siswazah menganggur. Kaunter 3 untuk mereka yang kurang upaya. Kaunter 4 untuk lepasan SPM, SPMV dan STPM. Kaunter 5 untuk yang tiada kelulusan.

Saya dengan bergaya beratur di kaunter nombor 2. Gadis yang menjaga kaunter itu memberikan saya borang dan beg kertas satu. Biasalah, benda-benda kerajaan kena isi borang. Banyak pula tu. Tiba-tiba ada satu ruangan "Jawatan yang dipohon/syarikat". Saya sudah mula pelik. Gadis yang menjaga di kaunter itu mula kelihatan tidak menarik pada saya. Gadis itu menerangkan yang saya perlu lihat iklan yang tertampal di dinding sebelah pameran untuk senarai jawatan dan syarikat.

Lah! Bukan kerja kerajaan ke?

Saya tak terus putus harapan... Saya pergi dan mencari-cari kerja dan syarikat yang sesuai.

"Jawatan Kosong : Eksekutif IT
Kelulusan : Degree/Diploma (Fresh Grad)
Gaji : RM 2000
Lokasi : Wangsa Maju"

Menarik...

"Umur : 19 - 24 tahun"

Bedebah! Saya tumbuk iklan pertama.

"Jawatan Kosong : Web Programmer
Kelulusan : Degree/Diploma
Lokasi : Kuala Lumpur"

Menarik lagi...

"Gaji : RM 1000 tetap"

Bedebah! Saya tumbuk juga iklan yang kedua. Gila apa RM 1000! Hutang PTPTN je dah RM 500 sebulan!.

Dan beberapa lagi iklan tak munasabah yang sempat saya tumbuk.

Kemudian...

"Jawatan Kosong : Eksekutif IT
Pengalaman : Minimum 1 tahun
Kelulusan : Degree/Diploma
Lokasi : Jalan TAR, Kuala Lumpur
Gaji : Boleh dirunding
Syarikat : XXX (Bukan nama sebenar)"

Dengan pantas saya menulis nama syarikat itu ke dalam borang. Tapi sebagai manusia bijak yang sudah beberapa kali terkena, saya mengambil langkah berhati-hati.

Saya masuk dahulu ke dalam pameran, dan mencari kaunter syarikat XXX itu.

"Kami agensi yang dipercayai! Kami juga menawarkan skin latihan graduan menganggur... bla bla bla.."

Saya lipat lengan baju, kemudian tumbuk iklan syarikat itu. Kemudian saya terajang meja urusetia dan terus pergi ke kedai nasi kandar.

"Ayam masala, sayur kobis, kuah campur tau ane!"

Saya makan dengan lahap.

4 ulasan:

Ainul Nadiah Shamsir berkata...

Join jek fresh grad punye programme. tanye Jaja.

abdul hadi berkata...

dah dah.. jaja dah call aku. ko join ke?

Marniyati berkata...

Nampaknya senario sekitar tahun 1998 dahulu tetap tidak berubah. Situasinya serupa! Mangsanya sahaja yang bertukar baru.

abdul hadi berkata...

huhuhuhu! tu la pasal angah, dunia ni pusing-pusing macam tu jugak. semua benda ulang-ulang.