Rabu, 23 Julai 2008

Kelana Bujang di Kota Bharu - Bahagian 2




Sambil menanti ketibaan Faisal, saya agak kagum melihat bulan purnama yang sedang mengambang, menerangi kepekatan malam di Kota Bharu itu. Sedang asyik berkhayal dan menangkap gambar, tiba-tiba Faisal menelefon saya.



“Weh, mana ko?”



“Kat Mydin la, kat kaki lima dia.. mana ko?”



“Aku pun depan Mydin ni... tak nampak pun ko?”



“Aku kat Mydin yg belakang The Store tu...”



“Oh... ko jalan je terus kehujung belah kiri. Nanti aku sampai. Aku kat Mydin lain, yang besar.”



Oh... Baru saya teringat, di Kota Bharu ini ada dua Mydin. Saya terus melangkah pergi ke tempat yang diarahkan. Saya agak tercari-cari Faisal sehinggalah dia menurunkan tingkap kereta Protonnya dan memanggil saya. Patut lah saya tak nampak, kali terakhir saya menjumpainya, dia masih membawa kereta MYVI.



Setelah bersalam dan bertegur sapa, Saya terus naik kereta dan mengikut Faisal untuk mengeluarkan duit di mesin ATM bank Muamalat. Setelah itu, Faisal membawa saya untuk makan malam di sebuah gerai tepi jalan di mana seorang sepupunya bekerja. Saya teringin makan nasi lemak, akan tetapi malangnya, nasi lemak sudah habis. Yang tinggal hanyalah nasi ayam dan ayam goreng ala KFC. Saya bernasib baik kerana nasi ayam hanya tinggal sepinggan sahaja lagi. Agak awal makanan disitu habis. Jam belum pun menunjukkan pukul 10.00.



Faisal ternyata tidak banyak berubah. Masih gemar bertopi, walaupun di malam hari, kemeja-t homocide (Indo Anarko Hip-Hop), dan juga beg penuh tampalan. Sambil makan, kami mula berbual rancak. Dari scene underground, politik, hidup, pengalaman, pelajaran, band, aktiviti dan aktivis, komputer, virus, dan juga kerjaya. Saya juga sempat bertanya kenapa beliau kahwin awal memandangkan kami sebaya. (Padahal sudah melebihi umur sunnah kahwin). Beliau juga memilih untuk berkahwin dengan gadis sekampung, dan bukan gadis dari scene punk. Mungkin sudah tertulis dalam ikatan jodoh.



Apabila jam sudah pukul 10.40pm, kami mula bergerak untuk pergi kerana Faisal perlu menutup makmal komputer di UITM, tempat beliau kerja dan belajar.Saya membeli 2 ketul ayam goreng untuk dibawa pulang ke bilik. Sementara saya membeli ayam, Faisal telah membayar makan-minum saya. Terima kasih Faisal.



Setelah itu, kami terus menuju ke UITM Kota Bharu untuk Faisal menyelesaikan tugasnya. Saya duduk menanti dibawah. Di situ kami sempat berbual dengan seorang pakcik yang menggelarkan dirinya Pok Nik. Pok Nik sangat ramah orangnya dan rupa-rupanya selalu datang ke Gombak kerana ada saudara tinggal di sana. Banyak juga yang kami bualkan dari pelbagai topik.



Apabila Faisal memberitahu yang saya belajar di Uniten, Pok Nik terus bertanyakan mengenai Saiful Bukhari. Lagi sekali, nama mamat itu juga yang muncul setelah tahu yang saya ini pelajar Uniten. Saya hanya menjawab dengan apa yang saya benar-benar tahu sahaja.



Setelah kerja Faisal selesai, saya pun meminta izin untuk pulang ke hotel kerana Backpacker Inn akan mengunci pintu utama selepas jam 12.00pm. Mungkin atas sebab-sebab keselamatan. Setelah bersalaman, Faisal terus menghantar saya kembali ke Backpacker Inn. Faisal menyatakan jika ingin sarapan bersama esok, SMS sahaja dia. Saya mengatakan makan tengahari sahaja lah, kerana saya malas untuk bersiap pagi-pagi.



Sampai sahaja dibilik, saya terus menukar seluar, memakai seluar pendek. Kemudian, saya ke sinki luar untuk mencuci muka. Ketika saya sendang mencuci tangan sebelum mencuci muka, terlihat dan terdengar oleh saya ada gadis berbual dari pintu ke pintu, seorang dari bilik sebelah bilik saya dan seorang lagi dari bilik berhadapannya. Lalu, tiba-tiba 2 orang gadis itu keluar dari bilik mereka masing-masing hanya berkembankan tuala singkat, melintasi saya dan masuk ke bilik air. Mereka tersenyum pelik melihat saya dan saya hanya membalas dengan senyuman kambing. Nasib baik mereka masuk ke dalam bilik air yag berasingan. Jika tidak, pasti saya sudah mula terbayang yang bukan-bukan.



Saya lekas-lekas mencuci muka, dan terus kembali masuk kedalam bilik dan mengunci pintu agar keselamatan saya terjamin... kih kih kih kih...



Oleh kerana belum boleh tidur, saya sempat berSMS dengan beberapa rakan-rakan saya. Memandangkan bilik kami masing-masing mempunyai ruang pengudaraan di atas dinding, saya agak terdengar perbualan gadis di sebelah yang sedang bertelefon dengan teman lelakinya.



Saya malas untuk mengamati perbualan telefon itu, lalu saya hanya mendengar radio melalui telefon bimbit saya. Setelah mata mula mengantuk, saya pun menutup lampu dan mula menidurkan diri di atas katil yang lebar itu. Esok saya perlu bangun awal untuk melengkapkan proses pelancongan saya ke Kota Bharu... Bersambung...



1 ulasan:

Dhani berkata...

giler montel aku sekarang!