Jumaat, 13 Jun 2008

Abang Surau

Kali ini, setelah habis membaca Yasin dan solat Isya’, Ayah menyuruh saya untuk tunggu, dan menikmati juadah yang sudah disediakan.



“Makan lah dulu, tak elok, orang dah sedekah...”



Saya pun menanti di tangga surau sehingga ramai lagi orang-orang veteran habis solat sunat. Ketika itu, ‘Pakcik Surau’ sudah siap menanti di bawah. Akan tetapi, Pakcik itu sudah berjaya menemukan mangsa baru, Hafiz, anak Hj Ramli, Nazir surau merangkap jiran sebelah rumah saya. Saya hanya tersenyum lega melihat Pakcik itu bercerita dengan Hafiz.



Setelah siap jemaah veteran solat sunat, saya menurut mereka masuk ke dalam dewan untuk menjamah hidangan. Ayah mengajak saya duduk semeja tapi saya menolak, kerana segan duduk bersama jemaah-jemaah veteran, termasuk Imam. Nanti saya tidak tahu hendak berborak apa. Saya memilih untuk duduk bersama angkatan-angkatan muda iaitu Hakim, 20 tahun (adik saya), Hafiz, 18 tahun (anak Nazir tadi), dan juga seorang anak Imam yang berumur 10 tahun. Ada satu lagi tempat kosong di meja kami. ‘Pakcik Surau’ ingin ikut kami, tapi beliau sudah sangkut dengan meja jemaah veteran.



Atas meja sudah terhidang kuih cara berlauk, kuih tat nenas terbalik, pisang, dan juga nasi ayam. Saya amat bernafsu melihat kuih cara berlauk, tapi saya agak takut untuk mencuba kerana risau jika kuih itu berintikan udang, kerana warna intinya saya lihat tidak kehitaman seperti selalu.



“Ni inti daging ke udang?” Ujar saya kepada Hafiz.



“Daging ni, komfom!” bunyi suara dari mulut Hafiz yang penuh berisikan 2 biji kuih cara berlauk itu meyakinkan saya.



Lalu tanpa was-was, saya terus ‘ngap’ seketul. Ternyata, si Hafiz itu rupanya seorang buta rasa. Tidak reti membezakan antara udang dan daging. Inti udang mula terasa mencair membasahi lidah. Nescaya, malam ini saya akan kegatalan. Tak guna punya budak!



Melihat Hakim sudah mula menyuap nasi ayam, saya pun tidak mahu ketinggalan zaman. Saya mula menyuap nasi ayam saya. Sedang enak suapan kedua, tiba-tiba muncul seorang lelaki ke meja kami.



“Abang join boleh Pis?” Ujar lelaki berbaju melayu merah, berjambang tipis, berambut jarang, menggelarkan dirinya ‘Abang’ sambil memandang kepada Hafiz yang sedang mengunyah kuih tat nenas terbalik ke 6 nya. Tetapi, jawapan Hafiz tiada gunanya kerana ketika hafiz baru sahaja menelan kuih untuk bersuara, Abang itu sudah pun duduk dan menuang teh ke dalam cawannya, beserta cawan kami semua.Saya beraksi seperti biasa, dan meneruskan kunyahan.



“Apis, amacam? tak apply UPU?” tanya Abang itu. Ternyata, dia hanya mengenali Hafiz seorang sahaja di meja itu.



“dah, tak dapat... tapi malas nak rayu.. saya tunggu SPA” jawab Hafiz yang lebih fokus untuk menghabiskan semua kuih atas meja daripada menjawab soalan.



“oh, tunggu SPA, ambik apa?” soalan diajukan semula.



“saya tengah tunggu nak ambik kos Paramedik, Kementerian punya. Itu target utama saya sekarang” kata Hafiz penuh keyakinan.



“eh Pis, ambik la kos nurse... demand sekarang tau. Apis jangan ingat jadi nurse tu untuk perempuan je, lelaki pun diorang perlu sekarang ni. Banyak tempat nak pakai nurse lelaki” Abang itu cuba mengubah cita-cita Hafiz.



“ye lah, tapi saya tak minat lah Bang...” Hafiz masih berdegil. “Saya lagi minat Paramedik, lagipun, Paramedik tu lagi up sikit dari nurse” tambah Hafiz dengan fakta yang entah betul entah tidak.



“Oh.. minat naik ambulans laju-laju lah tu... Tapi Abang tengok, Apis ni lagi sesuai jadi nurse. Kalau Apis jadi nurse, mesti orang sakit cepat nak sihat. Mesti ramai yang taknak mengada-ngada duduk lama-lama dalam hospital.. Tengok Apis je, diorang dah takut nak ngada-ngada. Diorang nak balik cepat... Hahahahahaha!” wah, bukan main sedap lagi mulut Abang itu mengata Hafiz yang tubuhnya besar lebih 30% daripada tubuh saya.



“Paramedik tu ok apa, dia tu kiranya Medical Assistant lah, macam ayah dulu kan?” Pujuk Hakim sambil bertanya pada saya.



“Ayah tu Veterinary Assistant la.. Untuk binatang...” Saya betulkan fakta.



“Eh, korang ni adik-beradik ke?” Tanya Abang itu dengan wajah agak terkejut.



“Ha’ah” Jawab kami ringkas.



“Adik beradik? Korang ni kontra lah..” Balas Abang itu dengan kritikan pula. “eh, kenapa tak pernah jumpa korang ni? Duduk mana ni?”



“Sepakat 5” jawab saya sambil meneruskan kunyahan nasi ayam saya yang kian habis.



“Diorang ni duduk sebelah rumah saya Bang...” Hafiz kembali bersuara setelah penat meniup cawan supaya teh nya sejuk lebih cepat.



“Hmm... baru pindah sini ke?” Tanya Abang itu lebih mendalam.


“Takdelah baru sangat, dah 4 tahun dah” Jawab Hakim sambil mengelap bibirnya yang berminyak.



“Tu lah, Abang pun baru je habis belajar ni, selama ni pun Abang jarang balik sini. Abang belajar kat UUM. 3 tahun ½ Abang kat sana. Bulan 10 ni, graduation Abang lah.” Abang itu menyambung cerita.



“Sama lah dengan dia ni..” Kata Hakim sambil menjuih bibirnya pada saya.



“Apa pulak? Aku bulan 11 baru habis belajar..” Saya membela diri.



“Oh, ye ke? Belajar mana? Ambik apa?” Tanya Abang itu.



“Uniten, ambik IT.” Jawab saya.



“Owh, Uniten yang dekat Cyberjaya tu kan?” Ujar Abang itu penuh yakin.



“Serdang lah.. dekat dengan Bangi” Hafiz membetulkan kesilapan Abang itu.



“Oh ye, terlupa... Kamu pulak belajar mana?” Dengan selamba dia bertanya Hakim pula.



“Matriks UIA. Ambik Bio Science” Jawab Hakim dengan ringkas dan padat.



“Ambik apa dekat UUM?” Saya pula gatal mulut bertanya kepada Abang itu, mungkin kerana kesan gatal termakan udang.



“Oh, Abang kursus Management Technology.” Jawabnya sambil berseri-seri



“Oh, saya pun dulu ada apply course tu kat UUM dulu, tapi tak dapat” Mulut gatal saya bersuara lagi.



“Aaahh.. Memang susah nak dapat masuk course ni, dulu senang je, tapi sekarang dia dah upgrade kualiti course tu. Dia ada tambah subjek lagi. Dulu sepatutnya, Abang 3 tahun je belajar, tapi sekarang dia tambah ½ tahun lagi, pasal subjek yang bertambah tu. Course tu, IPTA dalam Malaysia ni, ada 2 universiti je yang tawar. UUM dengan UTM. Tapi, budak-budak yang ambik diploma Management Technology ni dekat UTM pun, lepas tu diorang banyak yang mintak nak sambung dekat UUM. Course ni pun susah, tak senang macam course lain. Siapa yang dah ada matlamat and dah betul-betul yakin je boleh skor dalam course ni. Kalau siapa yang masih tak tau matlamat course ni, baik ambik subjek lain macam engineering atau IT je. Kalau course ni, UUM lah the best in Malaysia... Orang kata lah kan... Tak tau lah betul ke tak. Siapa je grad, confirm dapat kerja. Macam Abang ni, tak sampai 3 minggu habis belajar dah dapat kerja. Ada my friend tu, habis je belajar, terus dapat kerja dah. Memang siapa grad course ni, memang market lah untuk kerja. Banyak company nak... bla... bla... bla...”



Hampir tersembur teh O yang sedang saya hirup apabila mendengar perkataan ‘my friend’ dalam dewan surau itu. Saya pun mula menahan ketawa. Saya lihat Hakim sudah mula menyeringai sambil menggigit pisang.



“Ni dulu dari diploma ke kat Uniten?” Tanya Abang itu kepada saya setelah penat dia bercerita.



“Tak, dulu saya diploma kat Kolej Islam, lepas tu kerja setahun, baru sambung belajar..” Saya jawab dengan senyuman.



“Oh, dekat KIA tu ye, dah pernah kerja? Umur berapa ni?” Abang itu bertanyakan soalan bonus.



“25.” Jawab saya lebih ringkas.



“Tahun ni 25?” tanya Abang itu lebih musykil.



“Tahun ni 26” Jawab saya tenang...



“Oh, sebaya lah kita.. Ingat tadi adik-adik je.. tak sangka pulak” Abang itu memutarkan kata-kata yang sudah biasa saya dengar.



“hehehehe... Nama siapa?” saya bertanya nama setelah habis menghirup teh O sehingga kering cawan.



“Firdaus.” Jawab Abang itu tanpa banyak celoteh panjang lagi.



“Hadi.” Saya membalas dengan memberitahu Abang itu nama saya pula.



Setelah Abang itu mengundur diri untuk pulan, saya pun turut mengajak Hakim dan Hafiz untuk pulang juga. Hafiz sempat membawa lagi sebungkus nasi ayam untuk dibawa pulang sekali dengan sudu surau.



Sampai sahaja di rumah, saya sambung membedal ikan talapia goreng cili padi yang tak dapat saya hindari... hehehehehe...

1 ulasan:

syun berkata...

Bile nk keluar cerpen terbitan Hadihandali?