Khamis, 19 Jun 2008

Lemak manis waffle di kota

Petang Isnin yang alalu agak mendung dan permai. Kami keluar pejabat agak lewat, dalam jam 5.08pm kerana ada kerja yang melewatkan kepulangan kami. Apabila kami turun kami terus berpisah arah untuk pulang, tanpa singgah bersantai dahulu di restoran bawah pejabat kami. Apabila saya sudah siap duduk sebelah Zul dalam keretanya, saya terhidu sesuatu. Bukan bau busuk, tetapi bau helah yang mula mekar.


“Kita ada nak pergi mana-mana ke ni?” soal saya penuh curiga.


“Kita pergi Pertama jap. Aku nak amik seluar.”


Ternyata deria pengesan helah saya masih hebat. Zul telah memperdaya saya untuk berjalan-jalan sebentar di pusat kota. Zul hendak mengambil seluar-seluar jeans terkena asid yang beliau hantar untuk dibaiki semalam. Akan tetapi, Zul amat bernasib baik kerana berjalan-jalan adalah hobi saya yang paling saya minati. Jadi, saya akur dengan helah Zul tanpa kompromi. Saya juga tidak akan mensia-siakan peluang untuk saya menziarahi antara tempat-tempat saya membuang masa dan mencari ketenangan, ketika hujung zaman persekolahan saya yang lampau.


Sampai sahaja di Kuala Lumpur, kami memilih untuk parking di bangunan kompleks Maju Junction kerana itulah kawasan parking paling murah sekitar itu. Siap sahaja parking, saya terus mencari tandas di tingkat teratas Kompleks itu kerana sudah lama menahan rasa ingin membuang air kecil.


Selesai membuang hajat, kami meneruskan perjalanan ke kompleks Pertama dengan beberapa orang memandang pelik kepada saya. Ini adalah kerana dengan selamba, saya berjalan di khalayak ramai dengan sluar yang sedikit basah akibat paip di tandas yang memancut dengan mengejut. Mungkin mereka yang memerhati menganggap saya terkencing dalam seluar. Saya tidak kisah kerana itu hak mereka.


Kami meneruskan perjalanan tanpa banyak singgah kerana risau tukang jahit itu terlupa akan Zul kerana dengan bijaknya, Zul tidak meminta resit semalam. Masuk sahaja kedalam kompleks Pertama, saya terus mengalih dompet panjang dan anggun saya ke poket hadapan. Ini adalah kerana sudah menjadi kebiasaan saya berbuat sedemikian untuk mengurangkan risiko penyeluk saku. Setelah dapat mengambil semula seluar tanpa banyak karenah, barulah Zul berselera untuk merayau-rayau dan window shopping. Pengwindow shoppingan kami bermula dengan masuk ke dalam Reject Shop. Banyak pula pakaian yang cantik-cantik dan trendy-trendy ada pada hari itu. Sakit pulak hati saya. Bila masa saya ada duit, tiada pula pakaian yang berkenan di hati. Bila tengah sengkek ketepek macam ni, banyak la pulak yang menyelerakan.


Setelah melangkah keluar kosong dari Reject Shop, kami terhenti sketika kerana ternampak satu Pakcik dari Russia yang merantau mengelilingi dunia hanya dengan menaiki motorsikal. Ramai juga yang bergambar sambil menghulurkan derma bantuan kepadanya supaya dia dapat meneruskan perjalanannya pulang ke Russia. Kami hanya menangkap gambar beliau dari belakang dan tanpa disedari kerana risau duit kami pula yang diminta nanti. Bukan kerana kedekut, tapi memang kami tengah sengkek.




Kami tertarik untuk masuk ke dalam kompleks Odeon yang dahulunya panggung wayang. Kami ingin melihat-lihat kedai-kedai yag ada di dalamnya sama ada menarik mengancam atau tidak. Seingat saya, kali terakhir saya menjejakkan kaki ke dalam kompleks itu, lebih kurang 4 bulan yang lalu, terdapat lebih dari 20 kedai sudah beroperasi. Itu termasuk sebuah kedai yang ada menjual t-shirt band-band kegemaran saya, dari Radiohead sehinggalah D.R.I. Tidak sabar rasanya untuk melihat perubahan yang mungkin berlaku dalam tempoh 4 bulan.



Masuk sahaja ke dalam kompleks Odeon, sangkaan saya ternyata ada betulnya. Memang terdapat satu perubahan besar disitu. Hampir kesemua kedai di dalam sudah tiada. Yang ujud hanyalah beberapa ketul kedai sahaja. Yang boleh dikira dengan sebelah tangan sahaja. Kemana perginya semua kedai itu, saya pun tidak tahu. Tiada orang di situ untuk kami bertanya. Saya hanya terpinga-pinga sambil menggaru kepala. Kami meronda hingga ke tingkat atas, tetapi suasana tetap hambar seperti baru dilanda wabak kematian.





Dengan rasa sedikit kecewa, kami meninggalkan bangunan itu dan berlar-larii anak melintas jalan untuk pergi ke kompleks Maju Junction pula. Kami berniat ingin pulang segera kerana waktu pun sudah hampir senja. Saya mengikut jalan khas untuk pejalan kaki, kerana risau akan keselamatan saya jika berjalan secara samberono sahaja. Lagipun, itu lah pertama kali saya ternampak papan tanda jalan yang mendorong timbulnya niat saya untuk mengikuti jalan khas untuk pejalan kaki itu.





Apabila kaki melangkah masuk ke dalam Maju Junction, kami turun ke tingkat bawah kerana ingin melihat-lihat vcd cerita-cerita lama. Saya pula ternampak sebentuk benda yang lebih menarik di tingkat bawah itu. Sebuah kiosk makanan yang menghasilkan aoma manis lemak berkrim dan disukai ramai. Sebuah kiosk yang ada menjual waffle, jagung manis, dan juga aiskrim. Saya ternyata sudah teransang untuk menyantap waffle berlepakan mentega kacang dan coklat. Tanpa memedulikan Zul, saya terus merapati kiosk itu dan beratur di belakang seorang kakak yang berumur dalam lingkungan 40an.



Sedang beratur dan berkhayalkan tentang waflle panas yang akan dikunyah dan mencair dalam mulut, tiba-tiba kakak yang beratur dihadapan saya menegur saya. Saya agak terperanjat sedikit kerana saya tidak mengenali kakak itu. Setelah berbual seketika, kakak itu menghulurkan sekeping nota pada saya. Barulah saya mengerti, dia cuba mempelawa saya untuk menyertai program dan produk menguruskan badan. “Herbalife” katanya. Saya, seperti biasa tidak menolak, malah tidak menerima. Saya hanya tersenyum sopan kepada kakak itu. Setelah kakak itu pergi, tibalah giliran saya untuk memilih menu.



“Peanut butter dengan coklat satu”


Dengan hanya satu nafas sahaja saya dapat melafazkan niat pesanan saya kepada gadis yang menjaga kaunter kiosk itu. Gadis itu menyambut pesanan saya dengan satu senyuman yang agak menarik. Sambil berdiri menanti waffle saya siap, tiba-tiba kiosk itu didatangi 2 orang gadis berpakaian hitam. Saya menoleh sekali, kemudian tertarik untuk memandang kali kedua. Rupa-rupanya gadis itu amat saya kenal. Tetapi, dia tidak kenal akan saya. Tidak tersangka oleh saya hari itu saya dapat berjumpa dengan Heliza, penyanyi produk Akedemi Fantasia ke 5. Didatang bersama seorang rakannya. Ternyata wajah beliau kelihatan lebih cantik di luar dari apa yang terpampang di dada-dada akhbar dan terpancar di kaca-kaca televisyen. Kecantikan semulajadi lah katakan...

Siap sahaja membayar untuk waffle itu, kami terus bergegas ke lif dan terus naik ke tingkat teratas untuk membayar parking. Saya agak kagum kerana mesin parking itu boleh bersuara, malah berbicara dengan bahasa Melayu. Tersenyum saya dengan gaya kekampungan di situ sambil Zul membayar parking. Tidak saya sangka, masih ada pihak berusaha memartabatkan Bahasa Melayu.



Selesai dengan proses pembayaran, kami terus masuk dalam kereta dan menikmati waffle yang saya beli tadi beserta halwa telinga kami dihidangi dengan lagu “Forever” dendangan Chris Brown yang keluar dari corong radio kereta Zul.



Tiada ulasan: