Isnin, 23 Jun 2008

Badminton Petang Intan

Petang Rabu itu, setelah pulang dari kerja, saya seperti biasa telah memasang niat murni untuk menghabiskan menonton siri “Prison Break”. Akan tetapi, niat murni itu terpaksa digugurkan tatkala melihat adik bongsu saya asyik bermain dengan laptop saya. Tetapi, saya tidak mudah gusar kerana akal saya sentiasa ligat menyediakan senarai aktiviti untuk saya menghilangkan bosan. Akan tetapi, dalam kepelbagaiam senarai itu, saya telah memilih acara tidur petang untuk mengisi masa lapang.



Baru sahaja saya melangkah bangkit dari kerusi, hendak melangkah masuk ke dalam bilik, tiba-tiba muncul Intan, sepupu saya yang paling akhir dalam senarai keturunan. Dengan membawa raket, dia begitu sibuk mencari pasangan untuk bermain badminton. Oleh kerana semua orang agak sibuk dengan hal masing-masing petang itu, maka semua pun tidak mahu melayan Intan. Intan pun mula bermain badminton seorang diri sambil menyanyikan lagu-lagu Dafi buah hatinya.



Oleh kerana telinga saya mula bingit mendengar bunyi raket mengetuk lantai dan suara kecil Intan menyanyikan lagu-lagu Dafi yang saya mungkin pernah dengar, saya menawarkan diri untuk bermain badminton bersama dengan Intan. Tawaran itu juga adalah kerana faktor ketinggian Intan yang hanya mencecah paras pinggang saya, dan juga Intan masih belum pandai mengeja ‘badminton’. Kami menghabiskan masa petang itu dengan bermain badminton di ruang tamu, kerana halaman rumah penuh dengan budak-budak bermain sepaktakraw. Petang itu saya mendapat kemenangan besar... Hehehehehe...


Tiada ulasan: