Ahad, 15 Jun 2008

Secangkir susu semanis puan



"Lapar lah pulak... " kata Pokcik sambil menepuk-nepuk perut lepernya "Kau tak lapar?" Tanya Pokcik setelah kami tamat menonton sebuah filem Stephen Chow.


"Macam lapar..." Jawab saya setelah menepuk-nepuk perut yang bulat, dan berombak apabila ditepuk. "Nak turun ke?"


"Ingat nak carik burger la, boleh beli susu sekali, nak minum dengan coklat yang Sheikh bagi tadi." Jawab pokcik yang sudah mula menyarungkan baju. "Nak ikut?"


"Jom lah..." Saya pun menukar baju, kerana pada waktu itu, saya sudah pun memakai pakaian seragam tidur.


Jam di telefon bimbit sedah menunjukkan waktu 2.58am. Tetapi, oleh kerana suasana Teratai Mewah yang tidak pernah tidur ibarat Manhattan kecil, jadi tidak menjadi masalah jika anda perlu membeli apa-apa barang, termasuklah makanan walaupun sudah hampir subuh.


"Azhar... Kitorang nak turun, kau nak kirim apa-apa?" Saya bertanya pada azhar yang sedang asyik menonton filem The Incredible Hulk yang baru selesai dimuat turun.


"Hang beli untuk aku "mister potato" botoi besaq satu." Jawab Azhar sambil mata masih memandang monitor.


Lalu, saya pun turun dengan pokcik, dan seperti suasana biasa di Teratai Mewah, masih ada manusia menunggu lif ibarat hari siang. apabila sampai di gate utama, pengawal keselamatan sedang bermain-main bersama anjingnya. Saya agak cuak seketika, tapi masih ego dan meneruskan perjalanan.


"Alamak.. burger dah tutup laa.." Ujar Pokcik seraya melihat pekerja-pekerja gerai burger di hadapan kedai Anandur sedang berkemas-kemas.


Kami terus masuk ke kedai Anandur dan memesan nasi lemak dan susu ais. Sambil menanti makanan kami siap dibungkus, kami berjalan masuk ke kedai runcit bersebelahan untuk membeli keropok kentang kiriman Azhar.


Setelah siap makanan kami dibungkus, mamak pekerja Anandur itu bergurau dengan saya dengan melekatkan bungkusan susu ais yang ternyata amat dingin itu di tangan saya. Nyaris-nyaris saya terlatah. Nasib baik saya tidak terjerit latah seperti biasa. setelah siap membayar, kami pun berjalan masuk semula ke Teratai Mewah.




Masuk sahaja ke dalam lif, Pokcik menekan butang tingkat 10 untuk ke tingkat 11. Bukan kerana kami mamai atau mabuk, tetapi itu lah hakikatnya di Teratai Mewah ini, butang lif nya berterabur susunannya. Sampai sahaja di atas, kami terus makan sambil menonton filem Bruce Lee "The Big Boss".

Tiada ulasan: