Khamis, 12 Jun 2008

Mungkin kerana pau subsidi.




“Wei, habiskan lah pau ni”.. seorang pun tidak menyahut tawaran saya. Saya agak gusar melihatkan pau kaya pemberian boss yang terbiar atas meja, tinggal sebiji. Orang kata, kalau kita makan benda yang terakhir ada dalam sesuatu hidangan, dia akan dapat isteri yang solehah.



“Kau je lah habiskan..” Kata Zul dengan sopan.



Tanpa berfikir panjang, saya pun menghabiskan pau itu sejajar dengan habisnya saya mengacau Mastot di internet. Juga bermakna bermulanya waktu berkemas untuk kami pulang ke rumah.



Setelah saya siap siaga duduk di posisi co-pilot dalam kelisa manja milik Zul, tiba-tiba Zul mempelawa saya dengan separuh ugut untuk menemannya pergi ke Midvalley. Ada urusan rahsia katanya. Sebagai remaja aktif kuat merayau dan juga sahabat yang caring, saya pun akur sahaja dengan pelawaan itu.



Sampai sahaja di Midvalley, kami telah tertipu ketika mencari parking dan termasuk ke satu jalan mati. Nasib baik ada pasangan kekasih remaja Cina yang berhati mulia memberitahu awal-awal mengenai kematian jalan itu. Selesai sahaja parking, kami mula berjalan mencari Lif. Separuh lagi hendak sampai ke Lif, Zul baru teringat dia terlupa beberapa dokumen pentingnya. Saya yang marah terus menerajang sebatang tiang untuk melepaskan geram.




Setelah selesai urusan rahsia Zul, kami merayau-rayau dalam toko buku MPH. Saya hampir keliru kerana lokasi baru buku-buku dalam MPH itu. Nampaknya, sudah lama saya tidak menjejakkan kaki di situ. Saya ingin membeli beberapa buku seperti buku-buku Amir Muhammad, Zali Kamari dan juga Faisal Tehrani. Tapi keadaan ekonomi saya yang masih melarat, saya hanya menyentuh buku-buku itu sambil tersengih.



Ketika dalam perjalanan pulang, Zul tiba-tiba terasa ingin bertaubat. Tapi taubatnya memilih tampat. Beliau ingin singgah di Masjid Wilayah. Oleh kerana itu kali pertama kami ke masjid itu, seperti biasa kami berkeadaan jakun habis. Kami main lif, naik turun tangga, buka-tutup pintu, mencuba tandas... Ketika kami sedang huru hara melihat tandas, Zul membuka satu pintu tandas dengan cara tendangan lembut. Tiba-tiba, pintu terbuka, dan bunyi “Woi..!” kedengaran dengan lembut-lembut garau. Ada orang rupanya didalam... Zul terus lari ketakutan dan masuk ke tandas. Saya pun lari masuk ke tandas lain untuk kencing sambil ketawa terbahak-bahak... (cuba ketawa perlahan-lahan tetapi gagal). Ketawa saya melampau sehingga pengaliran kencing saya pun bergetar-getar.




Setelah itu, kami pun insaf, dan solat Asar di tingkat 3 masjid itu. Masjid Wilayah, satu masjid yang indah dan canggih, tetapi sayang, seperti kurang mesra pengguna, terutamanya pengguna yang berjalan kaki. Jauh dari kawasan perumahan dan pagar khas untuk pejalan kaki pun tiada.



Setelah siap, kami pun bergerak untuk pulang. Dari Masjid Wilayah, ingin pulang ke Gombak, sepatutnya mengambil masa tidak sampai 40 minit. Tetapi Zul ingin mencuba jalan baru, jalan yang tidak pernah kami lalui. Hasilnya, kami tersesat sampai ke Hartamas. 2 jam kemudian, barulah kami terjumpa jalan pulang.. huh!

3 ulasan:

Krazer berkata...

haha.. taubat pilih tempat.. nanti nxt time lepak kalo solat g Masjid Negara plak, pastu Masjid Shah Alam.. hehe..

syun berkata...

Vandalisma..Kasihan sungguh tiang yang tidak bersalah itu.

Miss Teru berkata...

dahsat errrr~~ aku report nnt!!