Isnin, 2 Jun 2008

Setengah Hari Di Gua Musang, Kelantan.

Hari Sabtu, 31 Mei. Pada Kebiasaannya, apabila kami sekeluarga ke Kelantan, kami akan pergi ke Kota Bharu dan juga Pulau Melaka, kerana dahulu, Adik saya belajar di
Sekolah Menengah Darul Anuar, dan kemudiannya disambung ke Sekolah Maahad Muhammadi. Akan tetapi, hari ini, kami sekeluarga pergi ke Gua Musang untuk menjenguk adik saya, Siti Adibah yang sedang praktikal di Hospital Gua Musang. Perjalanan yang sepatutnya bermula seawal 6.30am, akhirnya ditunda sehingga jam 7.25am kerana Abdul Halim yang bangun dan mandi lambat. Sepanjang perjalanan pergi, saya lebih banyak tidur dari berjaga kerana kedinginan cuaca dan juga suasana pagi yang aman damai. Juga kerana kelunakan kaset marhaban yang dipasang Abdul Hakim. Sehinggalah kami berhenti untuk bersarapan di sebuah gerai di Raub.


Perjalanan diteruskan dan saya kembali tidur. Banyak juga mimpi pelik2 yang saya alami ketika saya tidur. Saya hanya terjaga apabila kami mula masuk ke daerah Merapoh, beberapa kilometer lagi mahu sampai ke Gua Musang.

~Tabung untuk membayar tandas~


Ketika sampai di Gua Musang pada jam 11.00am, kami singgah ke sebuah surau kerana kami ingin membuang air, dan bukan untuk solat. Ye lah, pukul 11 nak solat apa. Saya agak terkejut, kerana pertama kali dalam hidup saya, melihat tandas surau meminta bayaran. Walaupun tiada orang yang menjaga, tapi ada terletak satu tabung di pintu dan ada notis di tertulis di dinding. “tandas masuk 30sen, mandi 50sen”. Akan tetapi, sebagai orang yang degil, satu sen pun saya tak bayar, kerana tahap kebersihan tandas itu terlalu menghampakan saya.



Setelah selesai, kami terus menuu ke kawasan Hospital Gua musang untuk mencari asrama tempat tinggal Adibah. Asrama mereka adalah rumah kedai yang terletak di atas sebuah klinik berhampiran dengan pasar Gua Musang. Bangunan itu memang agak dekat sahaja dengan Hospital Gua Musang, kira-kira sejengkal sahaja... tetapi, bukan sejengkal manusia, sejengkal raksaksa gorgom mungkin.



~Bangunan asrama~



~3 beradik panas menanti~

~Bilik Adibah~

Setelah menanti selama hampir 20 minit, baru lah Adibah siap dan turun dari asramanya dengan tersenyum simpul. Kami terus pergi ke kawasan Tasik berhampiran untuk berkelah dan menjamu makan tengahari dengan bekal yang mak sudah masak dari rumah. Kami berkelah di sebuah pondok atas tasik dengan panorama indah dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.



Ketika kami sedang menjamu selera, tiba2 satu bunyi yang kuat kedengaran. Rupa2nya ada sebuah helikopter terbang rendah dan hinggap mendarat berhampiran dengan tempat kami berkelah. Saya agak terkejut, kerana itu lah kali pertama saya melihat helikopter mendarat dengan sangat dekat. Adibah kata, memang hari2 helikopter itu mendarat di situ. Itu adalah kawasan rehat bagi taukeh2 balak dan tempat minyak helikopter mereka diisi semula.



Setelah selesai berkelah, kami pun berkemas untuk pulang. Saya dan adik2 saya sempat bergambar dengan helikopter itu sementara tuan2 empunya masih lagi makan di restoran berhampiran tasik itu. Setelah selesai bergambar, kami pun bergerak untuk menghantar Adibah ke asramanya.


Kemudian kami singgah di pasar Gua Musang untuk membeli ole-ole dibawa pulang. Mak sibuk mencari keropok, Ayah sibuk mencari limau, Hawa sibuk mencari tudung. Saya pula melilau menangkap gambar dan mata meliar mencari gadis2 comel. Tapi, dipasar itu kekurangan gadis. Harga barang-barang juga agak terlalu mahal jika hendak dbandingkan dengan harga di pasar Siti Khatijah, Kota Bharu.


~Pasar Gua Musang~

Sebelum keluar dari Gua Musang, kami singgah untuk solat jama’ dan qasar di Masjid Gua Musang. Masjid itu agak besar dan cantik fizikalnya. Persekitarannya juga agak menarik. Tetapi, sayangnya kerja2 penyelanggaraan masjid itu seperti sudah lama tidak dijalankan. Keadaan lantai yang sudah berwarna coklat, kebersihan yang kurang serta tempat mengambil wuduk juga agak kotor. Nasib baik saya tak perlu ke tandas. Saya tak sanggup melihat keadaan tandasnya. Kami siap solat dahulu sebelum Mak dan Hawa. Ketika menunggu Mak, kami 3 beradik hanya melepak di perkarangan Masjid dan memerhatikan gadis2 yang lalu lalang. Banyak pula gadis2 comel di masjid itu. Setelah Mak siap, kami pun meneruskan perjalanan pulang ke Gombak pada jam 3.45pm.



Sepanjang perjalanan pulang, saya tidak berani tidur, kerana Halim yang memandu. Saya agak risau kerana Halim kalau memandu memang laju dan memeranjatkan saya kadang kala. Saya sebagai co-pilot lebih banyak menikmati pemandangan memerhati alam sekitar. Ketika kami sampai ke daerah Kuala Lipis, kami menyaksikan sebuah bas tergelincir dan masuk ke dalam longkang. Kami tidak berhenti malah meneruskan sahaja perjalanan kami. Perjalanan yang jauh itu betul-betul menenangkan fikiran saya, dan menyegarkan kembali emosi saya. Saya memang rindukan perjalanan jauh sebegini. Perjalanan ini walaupun tidak lama, tetapi mengubat sedikit rindu saya kepada aktiviti merantau. Saya terus berjanji kepada diri saya sendiri, bila tamat sahaja pelajaran saya nanti, saya akan merantau dahulu sebelum bekerja. Hehehehe...

1 ulasan:

Rizdiahk Nahraf berkata...

Kenapa perjalanan ko memiliki benda2 yang pelik? Bas serong tepi,helikopter,tandas berbayar tak perlu bayar.........Malaysia..truly asian.....Oh damn!