Agak lama saya beri’tikaf dan diam menanti di dalam masjid itu sehingga hujan benar-benar berhenti. Agak ramai juga yang turut sama berehat, solat, malah ada yang tertidur keletihan. Mungkin mereka juga musafir seperti saya.
Setelah hujan reda, saya pun mula bergerak turun dari Masjid. Saya mula menghantar SMS kepada Faisal.
“Camne nak gi tempat ko?”
“Aku nk cite jalan susah skit, ko tanya je org, mesti tau punya, dekat je, boleh jalan kaki.”
Dengan berkat mulut manis dan wajah manis saya, saya mula bertanyakan jalan kepada mereka yang lalu-lalang, tidak kira jantina atau usia. Akan tetapi, berikut adalah antara jawapan-jawapan yang saya terima:-
“Akok tok tahu.. Akok dari ganu..”
“Susoh nok tunjuk.. jauh tu be.. naik bah (bas) la.. mudoh sikik..”
“Sano tu.. eh! Sano.. eh! Sini kot.. eh! Sano... Sano..! (sambil menunjuk ke kiri dan ke kanan.)”
“Jauh be.. abe naik bah la.. 60 sen jo.. Abe tughun K.B Mall, Doh sampe KB Mall, Abe seney sikik nak jale..”
“Ni keno naik bah (bas) ni, bukey semuo tempak kito boleh jale kaki, tapi jange naik teksi ko, beca ko, maha (mahal) nanti dik...”
Satu jawapan pun tidak membantu memudahkan proses perkelanaan saya. Akan tetapi, saya tidak mengalah, saya teruskan usaha mencari dan bertanya. Akhirnya saya bertanya di sebuah gerai menjual akhbar dan majalah.
“Oh, UITM? Sano tu... dekak depey bala polih tu... Dio teghuh lagi lepah banguney MPKB, lepah bulatey nanti..”
(
“Ok be! Mokasih yo!”
Dengan jawapan yang meyakinkan itu, saya mula melangkahkan kaki menuju ke arah yang ditunjukkan oleh abang penjual akhbar itu... Belum jauh lagi saya melangkah, terdengar suara abang itu terperanjat.
“Loh.. Jaley kaki! Ambo ingak naik keto!” (anda
Dengan sambil tersengih akibat geli hati terdengar keterkejutan abang itu, saya mulakan langkah rancak saya dengan Bismillah, menuju ke arah yang dia tunjuk. Tubuh bulat ini menyusur lalu, melalui tepi-tepian jalan berselisih dengan manusia-manusia lain dengan penuh keyakinan. Tanpa memedulikan mentari yang masih hangat perit memerahkan warna kulit tebal saya, masih tersenyum riang berjalan sambil
Saya meneruskan langkah kelana ini memasuki bangunan MPKB dan membolos menerusinya. Saya mula merasakan sudah amat jauh saya berjalan, namun masih belum saya tiba ke bangunan UITM itu. Peluh mula begemercik mengalir, membasahi tubuh. Perasaan risau mula bermain difikiran. Adakah saya sudah tertipu? Namun saya tetapkan keyakinan dan terus melangkah walau keringat sebesar bertih jagung mula terbit dari dahi.
Setelah hampir putus asa, saya ketemu juga dengan bulatan yang dimaksudkan oleh abang tadi. Wah! Bulatan yang itu rupanya! Bulatan yang berhampiran dengan Muzium Negeri Kelantan. Jauh sungguh rupanya! Sedangkan jika menaiki kenderaan pun sudah terasa jauh, inikan pula berjalan kaki!
“Dekat je... jalan kaki pun boleh..”
Terngiang-ngiang lagi kata-kata Faisal. Aduh, nampaknya Faisal sudah lupa yang saya sudah bersara dari dunia anarkis. Hu hu hu hu hu... Namun, ini tidak berjaya mematahkan semangat perkelanaan saya. Saya melintasi jalan yang disibukkan dengan kenderaan-kenderaan laju itu untuk pergi ke bulatan itu. Tujuan saya untuk menikmati seni monumen-monumen dan menangkap gambar.
Tiba-tiba, Faisal SMS saya lagi.
“Ko dah sampai mana? Jumpa tak?”
“Aku dah sampai bulatan...”
“Oh, dah dekat ah tu... Aku tunggu”
Saya tahu, tinggal suku sahaja lagi hendak sampai ke UITM itu. Saya meneruskan perjalanan. Saya sempat singgah sebentar ke Muzium Negeri Kelantan, akan tetapi, hanya di perkarangan sahaja kerana waktu sudah pukul 4.00pm.
Saya meneruskan lagi langkah penuh bergaya saya di sisi jalan yang agak sibuk itu sehingga saya ternampak satu bangunan cantik yang unik. Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Bangunan bertemakan warna merah sebagai warna utama itu memang agak cantik dan menarik pada pandangan mata saya. Di bahagian hadapan bangunan itu juga disenaraikan aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang tahun di Kelantan memandangkan tahun 2008 adalah tahun melawat Kelantan.
Sambil menikmati kecantikannya, saya sempat duduk berehat untuk mengatur kembali kekuatan untuk melangkah setelah lebih sejam berjalan kaki.
Saya teruskan lagi perjalanan setelah puas berlabuh punggung. Hati saya mula girang apabila sudah ternampak bangunan UITM itu, walaupun dari jauh. Harapan yang disangkakan palsu pada awalnya sudah muncul kembali. Langkah diteruskan sambil membaca-baca nama Allah SWT dan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang terdapat di tengah-tengah pembahagi jalan.
Sampai sahaja di bangunan UITM itu, saya terus duduk di bangku perkarangan bangunan dan menghantar SMS kepada Faisal yang saya sudah sampai. Sambil duduk, dapat saya lihat kaki saya yang sudah mula keluar urat-urat jantannya.
Sambil duduk berehat, saya sempat melemparkan sedekah senyuman kepada pelajar-pelajar yang turun keluar dari bangunan itu. Senyuman manis saya dibalas mesra oleh mereka. Ini membuatkan bertampah cepat hilang penat saya.
Keletihan tadi hilang dibawa angin yang sepoi-sepoi bahasa. Angin sepoi-sepoi itu mulai kuat, dan rupanya langit pun sudah mulai gelap menandakan hujan akan membasahi bumi pada bila-bila masa.
Tidak lama kemudian, Faisal pun turun.
“weh, ikut aku amik ayah aku dulu nak?”
“orait babeh”
Saya tanpa banyak bertanya dan bicara, menurut sahaja mengikut Faisal menaiki keretanya. Sepanjang perjalanan kami didendangkan dengan lagu-lagu dari Homocide. Sesudah hampir separuh jalan, baru lah saya mula bertanya. Hujan pun mula turun dengan lebatnya.
“Kita nak pergi mana ni sebenarnya?”
“Amik ayah aku jap, kat rumah, nak bawak pergi hospital”
“Rumah kau kat mana?”
“Nilam Puri”
Ya, baru saya tahu, sebenarnya rumah Faisal terletak di Nilam Puri. Nilam Puri juga terkenal dengan Masjid Kampung Laut, masjid yang dinobatkan sebagai antara masjid yang tertua di Asia Tenggara. Akan tetapi, sayang sekali saya tidak sempat menziarahi masjid itu kerana waktu dan keadaan yang kesuntukan.
Sampai di rumah Faisal, kami menanti ayah beliau bersiap dan solat Asar. Sambil menanti, kami berbual-bual lagi. Kami tidak berbual kosong. Perbualan kami turut disertakan dengan hidangan teh panas, keropok goreng juga sebakul buah rambutan.
Faisal juga memberikan saya sekeping pelekat dari zine ‘SEPERAK’ (zine komunitas punk Indo) yang dia bawa khas dari
Setelah ayah Faisal siap, kami sempat berbual dahulu sambil minum teh. Ternyata, kini saya tahu dari mana Faisal mewarisi sifat sopan dan ramah beliau. Ayah Faisal perlu menjalani pemeriksaan jantung di hospital KBMC ‘Kota Bharu Medical Centre’. Selesai minum teh, saya mengikuti Faisal menghantar ayahnya ke KBMC.
Sepanjang perjalanan saya menikmati pemandangan indah, sawah bendang, dan juga bangunan-bangunan yang ada. Hujan masih lagi turun lebat.
Samapi sahaja di KBMC, kami terus duduk di ruang menanti sambil menonton televisyen. Akan tetapi, saya yang lebih gemar merayau, mula melilau-lilau di dalam dan persekitaran KBMC itu.
Setelah itu, baru saya perasan yang tangan saya masih berbau belacan. Akibat dari makan tengahari saya tadi, yang dicuci tanpa sabun. Memang agak kuat belacan di kedai makan tadi. Saya pun masuk ke tandas untuk mencuci tangan dengan bersih menggunakan sabun. Apa lah saya ni.. kah kah kah kah...
Sesudah selesai urusan dengan KBMC, Faisal pun hendak menghantar saya ke Perhentian Bas Langgar kerana beliau masih ada kerja yang perlu di selesaikan di UITM. Jam sudah menunjukkan pukul 6.00pm.
Kami pun terus bertolak ke Perhentian Langgar dan berpisah dengan Faisal dan Ayahnya di situ. Oleh kerana masih ada 3 jam lagi sebelum ketibaan bas saya iaitu pada pukul 9.00pm, saya ingin merayau lagi. Tapi, apa
Setelah kebosanan menanti di perhentian itu, sempat saya berbual-bual dengan seorang gadis yang juga menanti bas untuk ke
Setelah azan Maghrib, saya pun pergi ke surau. Oleh kerana bau tubuh saya pun sudah menghampiri aroma lipas, akibat dari perjalanan seharian, saya mandi dahulu di bilik air yang ada di situ sebelum menunaikan solat secara Jamak dan Qasar.
Selesai solat, perut saya mula terasa lapar. Jadi dengan rakusnya saya telah membeli sebiji benjo, dan sebiji burger ayam sebagai makan malam. Saya juga sempat membeli 2 pek kuaci marjerin, sebotol coca-cola dan sebungkus gula-gula getah sebagai bekal kunyahan di dalam perjalanan nanti. Memang agak rakus bunyinya
Pada tepat jam 9.00 malam, bas yang patut saya naiki pun tiba. Saya sebagai seorang pemuda kampung yang mudah terperanjat, kagum dan kaget melihat bas yang akan saya naiki. Sebuah bas dua tingkat! Wah, ini pengalaman pertama saya menaiki bas ekspress dua tingkat! Saya yang ibarat orang gasar, begitu galak menangkap gambar bas itu.
Sesudah bas bergerak, saya melambaikan tangan kepada orang-orang yang berada di luar. Walaupun saya tahu, mereka bukan melambaikan tangan kepada saya, tetapi saya tidak peduli. Saya membawa seribu kenangan untuk pulang ke Gombak.. semoga saya akan kembali... Tamat!
1 ulasan:
Terngiang-ngiang lagi kata-kata Faisal. Aduh, nampaknya Faisal sudah lupa yang saya sudah bersara dari dunia anarkis.- BOB HADI
saje jek nak suruh ko kembali merasai semangat anarkis yang sanggup berjalan jauh giler. hehehehe. :p
Catat Ulasan