Isnin, 8 September 2008

Satu malam berlibur di Uniten KSHAS


Atas jemputan dari pihak Citra Seni melalui Yati, Saya telah berjaya mengheret 3 kerabat Astena yang lain iaitu Faris, Man dan Zul untuk menjadi tetamu ke Muadzam bagi majlis pertandingan bakat yang mereka telah usahakan.



Perjalanan kami yang sepatutnya bermula tepat jam 4.00 pm meleret sehingga jam 5.00 pm kerana Zul yang lembab telah memungkiri janjinya untuk menamatkan kertas ujian beliau dalam masa sejam sahaja. Kami yang menanti bak beruk di perkarangan COIT sempat diperli oleh Dr. Syarifah Mumtazah kerana meletakkan kenderaan di tempat Ketua Jabatan. Sepatutnya rombongan kami terdiri dari 2 kereta, namun akibat sebab-sebab yang tertentu, kami terpaksa mengurangkan jumlah kereta dan Ammzar kami biarkan mengerekot membusuk di bilik.



Kami memilih lebuhraya Karak kerana risaukan kesesakan lalulintas dan risau tidak tahan melalui jalan-jalan di Senawang, budak-budak ini akan muntah dan mengotorkan kereta Faris. Terpaksalah kami naik kereta yang berbau muntah sepanjang perjalanan.



Setelah berhenti sebentar di RnR Temerloh, kami telah membeli beberapa bekalan makanan ringan dan separa berat. Saya terasa amat tertipu kerana maruku yang biasa saya beli dahulu, kini isinya tidak sampai suku paket. Sepanjang pengunyahan saya, mulut saya juga tidak berhenti-henti mengomel.




Perjalanan mula terasa sangat jauh apabila hari mula gelap. Pinggang mula rasa sakit dan mata mula layu. Akan tetapi, kerana saya yang agak fobia, tidak berani melelapkan mata meninggalkan Faris memandu bersendirian. Setelah kebosanan hampir menyelubungi jiwa, akhirnya kami sampai ke Tol Gambang. Menurut dari sahabat saya Ayu, kami akan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai dari Gambang.



Masuk sahaja dari Gambang, saya terasa sedikit kesayuan. Jalan yang gelap, sempit, jauh, dikelilingi hutan, serta penuh dengan lori-lori yang besar. Saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Uniten KSHAS, jadi saya agak terasa simpati dengan mereka yang walau pada hakikatnya satu Universiti dengan saya, akan tetapi, pada pandangan mata, mereka ibarat dianaktirikan. Ditempatkan nun ceruk di dalam hutan dengan jalan yang tiada satu lampu kalan pun. Kasihan dan simpati mula muncul.



Pada mulanya kami tersesat sedikit kerana termasuk dalam kompleks pentadbiran (mereka mempunyai kawasan berlainan untuk kompleks pejabat pentadbiran). Setelah saya menghubungi Yunie (wakil yang dipinta Yati), barulah kami jumpa jalan kebenaran...



Sampai sahaja di kampus utama, segala simpati tadi hilang dan bertukar dengan perasaan dengki. Umang haih! Cantik betul kampus mereka! Dengan perpustakaan yang cantik, struktur arca bulat-bulat yang aneh, susur gajah yang panjang... Belum lagi ketika kami mula masuk ke Auditorium utama meraka. Kedengkian saya mengalahkan tahap dengkinya Israel terhadap Palestin.



Ketibaan kami disambut oleh Yunie yang cantik menawan. Faris dan Man terus tergoda. Cuma Zul sahaja yang kurang tergoda. Maklumlah, selera Zul agak berbeza sedikit. Kami diberi keistimewaan duduk di tempat belakang VVIP. Terima kasih terhadap layanan mesra anda semua! hehehehe.




Malam itu juga saya sempat berbual dengan TNC KSHAS secara rapat. Ternyata beliau adalah seorang yang peramah dan juga mesra dengan pelajar. Yati dan Yunie sempat juga mempertemukan saya dengan presiden kelab Citra Seni. Dalam dewan itu, saya berkesempatan untuk duduk bersama-sama dengan Gafur dan Ayu. Meraka tiba agak lewat kerana ada perperiksaan pada malam itu. Sanggup juga mereka singgah dahulu untuk bertemu dengan saya. Memang saya terharu dengan layanan mereka.




Setelah majlis selesai, kami pun bermesra-mesra dengan para penggiat Citra Seni. Saya juga bertemu kembali dengan sahabat sodoku saya, Yanti. Akan tetapi, sayangnya saya tidak dapat berjumpa dengan Yong, insan yang bertanggungjawab memperkenalkan sodoku kepada saya. Kami sempat berfoya-foya dan menangkap gambar bersama. Agak hiruk juga dewan itu akibat karenah kami yang bising dan memekak. Akan tetapi kerana kami memang tidak tahu malu, kami biarkan aja...




Pihak Citra Seni mengajak kami untuk makan malam bersama-sama dengan mereka, namun saya terpaksa menolak kerana sudah berjanji untuk makan malam dengan Ayu. Perjanjian itu sudah dibuat sejak hari Rabu lagi. Jadi kami pun mengikut Ayu untuk makan di luar. Ayu sudah mula naik darah menanti kami yang tidak sudah-sudah berfoya-foya.



Saya ikut naik kereta Ayu bersama Gafur dan seorang lagi kawan Ayu, Riz. Wajah Riz mengingatkan saya tentang seseorang. Puas saya memerah otak, dan ketika sudah sampai ke Bangi baru saya teringat. Wajah Riz seiras betul dengan sahabat dan setiausaha saya di Bangi, Mastot. Owh, ada juga orang lain serupa dengan Mastot.



Sebelum bergerak ke tempat makan yang sesuai, Ayu membawa kami berpusing-pusing sekitar Pekan Muadzam Shah yang amat kecil tetapi lengkap dengan pelbagai keperluan. Kami merayau-rayau dan membuat kecoh di Dataran Dara dan juga Jalan Dara.




Setelah puas membuat hangar dan menganggu ketenteraman penduduk di sana, kami lekas menuju ke kedai makan. Perut kami masing-masing sudah mula dihiasi dengan pelbagai bunyi-bunyian yang ternyata tidak melalaikan. Pada asalnya, Ayu ingin membawa kami makan di kedai makan istimewa daging bakar, akan tetapi, kedai itu tutup, kami pergi ke kedai lain.




Kami makan dengan berpada-pada kerana masih menjaga tatasusila kami di tempat orang. Sedikit pun nasi tidak tertinggal dan tertumpah… Makan malam kami ditaja sepenuhnya oleh Gafur. Terima kasih saya rakamkan buat beliau. Terima kasih juga atas layanan mesra dari pihak Citra Seni, Ayu dan rakan-rakan Muadzam Shah lain. Seterusnya kami berpisah di situ dan memilih kembali menerusi jalan-jalan yang gelap dan berkebarangkalian besar untuk bertemu babi melintas… kah kah kah kah…!


1 ulasan:

Zarith Naquiah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.